Jualan tahunan Proton pada Okt 2022 cecah 115,366 unit, lebih tinggi dari angka tahunan keseluruhan 2022

Jualan tahunan Proton pada Okt 2022 cecah 115,366 unit, lebih tinggi dari angka tahunan keseluruhan 2022

Proton mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 13,013 unit (domestik + eksport) sepanjang bulan Oktober 2022, menjadikan jualan kumulatif tahunannya kini sudahpun mencecah sebanyak 115,366 unit. Ini bermakna angka jualan tersebut sudah pun mengatasi jumlah jualan keseluruhan sepanjang tahun lalu sebanyak 114,708 unit dengan berbaki lagi dua bulan untuk melengkapkan tahun ini.

Menurut Proton, ini merupakan rekod jualan tahunan terbaik pernah dicatatkannya sejak 2014, dan dengan angka berkenaan juga jumlah jualan kumulatif syarikat tersebut dari Januari hingga Oktober meningkat sebanyak 33.10% berbanding tempoh sama pada 2021.

Walau bagaimanapun, Proton masih menduduki tempat kedua bagi bulan Oktober dalam pasaran dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 21.1%, manakala angka pegangan pasaran dari Januari hingga Oktober telah merosot sedikit kepada 19.9%. Keseluruhan Jumlah Volum Industri (TIV) untuk Oktober dianggarkan melebihi 60,000 unit untuk bulan ketiga berturut-turut dan pasaran automotif Malaysia dilihat bakal memecahkan satu lagi rekod jumlah jualan tahun ini.

Untuk pecahan model, Saga masih kekal sebagai model Proton paling laris. Sebanyak 5,262 unit sedan segmen-A berkenaan telah diserahkan kepada pelanggan sepanjang Oktober, menjadikan jumlah jualan kumulatifnya kini mencapai 45,965 unit tahun ini. Angka ini juga menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 42% berbanding tahun sebelumnya, dan Proton mendakwa ia bukti bahawa model kemaskini Saga yang dilancarkan pada 12 Mei lalu adalah lebih popular berbanding model sebelumnya.

Seperti biasa juga, model-model SUV antara yang banyak memberikan hasil jualan buat Proton. Sepanjang bulan lalu sebanyak 3,602 unit X50 telah diserahkan kepada pelanggan, menjadikan jumlah jualan setakat ini mencapai 33,193 unit. Proton menyatakan bahawa ini membolehkan X50 menjadi SUV segmen-B paling laris dan juga SUV paling laris di Malaysia secara keseluruhan.

Manakala Proton X70 pula mencatatkan jualan sebanyak 1,391 unit bulan lalu. Ini membolehkan X70 mencapai jualan 15,536 unit dari Januari hingga Oktober 2022 dan kini berada di tangga kedua sebagai SUV segmen-C paling laris di Malaysia. Ini bermakna Proton telah menjual hampir 50,000 unit SUV tahun ini dengan jumlah jualan keseluruhan X50 dan X70 mencapai 48,729 unit untuk 2022.

Kembar segmen-B sedan Persona dan hatchback Iriz pula dijual masing-masing sebanyak 1,697 unit dan 661 unit bulan lalu, dan mencatatkan jumlah jualan tahunan setakat ini masing-masing 12,484 unit dan 4,780 unit. Satu-satunya MPV dari Proton iaitu Exora berjaya dijual sebanyak 400 unit bulan lalu, dan kekal sebagai MPV segmen-C paling laris dengan jualan terkumpul tahunan kini mencapai 3,508 unit.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required