VW Golf Mk3 Rallye – lawan Lancer Evo, Impreza WRX yang tak sempat diproduksi di bawa ke SEMA 2022

VW Golf Mk3 Rallye – lawan Lancer Evo, Impreza WRX yang tak sempat diproduksi di bawa ke SEMA 2022

Tidak seperti nama besar seperti Lancia, Ford, Mitsubishi mahupun Subaru, Volkswagen mempunyai sejarah pendek tetapi sangat berjaya dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC). Pembuat kereta dari Jerman berkenaan membuat penampilan sulung dalam WRC pada musim 2013 dengan Polo R WRC dan menarik diri pada penghujung musim 2016 – tetapi pemandu utamanya, Sebastien Ogier berjaya merangkul gelaran juara dunia empat kali berturut-turut dari 2013 hingga 2016!

Sebelum masuk ke kategori utama berkenaan, Volkswagen pernah menyertai WRC untuk kelas-kelas lebih rendah, antaranya menghasilkan jentera Golf Kit Car untuk bertanding dalam kelas F2. Namun mungkin ramai yang tidak tahu, VW sebenarnya pernah cuba untuk masuk ke kelas utama WRC pada era awal 90’an untuk bertanding dengan Mitsubishi Lancer Evolution, Subaru Impreza WRX, Toyota Celica GT-Four dan Ford Escort RS Cosworth.

Ketika itu WRC masih menggunakan undang-undang Group A untuk kategori utama kejohanan berkenaan, atau lebih spesifik Group A8 iaitu jentera dengan enjin 2.0 liter turbo bersama sistem pacuan semua roda, dan ia perlu dihasilkan dalam versi produksi jalan raya bagi dijual di bilik pameran bersama unit rangkaian kuasa dan rupa yang sama, sebanyak 2,500 unit untuk menerima homologasi dari FIA.

VW Golf Mk3 Rallye – lawan Lancer Evo, Impreza WRX yang tak sempat diproduksi di bawa ke SEMA 2022

Untuk itu, Volkswagen telah pun menghasilkan prototaip untuk model produksi berkenaan berasaskan Golf Mk3, yang digelar sebagai VW Golf Mk3 Rallye. Prototaip tersebut dikenali dengan kod nama A59, dan ia sebenarnya dihasilkan oleh Schmidt Motorsport (SMS) yang berpangkalan di Cadolzburg, Jerman pada tahun 1993, dengan rancangan untuk menyertai WRC bermula musim 1994.

Berbanding Golf GTI Mk3 biasa yang dijana enjin 2.0 liter NA 16 injap berkuasa 152 PS/180 Nm ketika itu, prototaip Golf A59 Rallye ini menerima enjin 2.0 liter dengan blok aluminium sepenuhnya, disuap dengan pengecas turbo Garret T3 menghasilkan 275 PS dan tork maksima 370 Nm. Kuasa berkenaan adalah lebih besar dari Lancer Evo I yang dibekalkan kuasa 247 PS dan Impreza WRX STI Version berkuasa 250 PS ketika itu.

Golf isitimewa ini menerima kotak gear enam-kelajuan manual berbanding Evo dan WRX yang ketika itu masih dibekalkan dengan transmisi lima-kelajuan manual. Sistem pacuan semua roda yang dilengkapkan pula menampilkan LSD pada gandar belakang bersama unit differential tengah yang dikawal oleh hidraulik. Tiada masa pecutan 0-100 km/j pernah diumumkan, tetapi ia didakwa mampu mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

VW Golf Mk3 Rallye – lawan Lancer Evo, Impreza WRX yang tak sempat diproduksi di bawa ke SEMA 2022

Untuk casis, Golf A59 Rallye ini menerima penyerap hentak prestasi dari Bilstein yang memberikan jarak pergerakan strok yang lebih jauh. Ia turut menampilkan lengan kawalan yang lebih panjang di hadapan bagi memberikan jarak trek roda yang lebih lebar, manakala suspensi belakang jenis trailing arm yang digunakan pada Golf Mk3 biasa tidak lagi digunakan dan digantikan dengan suspensi multilink yang lebih jitu.

Dengan suspensi yang menyebabkan trek rodanya lebih lebar, Golf A59 ini turut menerima kit badan lebih lebar dan secara tidak langsung memberikan rupa yang lebih ganas. Ruang roda pada prototaip jentera rali jalan raya ini diisi dengan set roda menggandingkan rim aloi Speedline SL817 berdiameter 16-inci bersama tayar 225/45R16. Ia juga menerima kit brek dari Brembo yang menampilkan angkup dan juga cakera ditebuk yang lebih besar dari Golf standard.

Kesemua fender untuk kit badan lebar prototaip Golf A59 Rallye ini diperbuat dari material gentian karbon, manakala penutup bonet hadapan pula dihasilkan dari gentian kaca GRP. Selain itu rupa garang kereta ini turut disumbang dari bampar hadapan dengan liang udara lebih besar bersama spoiler dagu di bawahnya, spoiler belakang lebih besar dan juga tip ekzos berkembar.

Pintu hatch belakang, cermin tingkap belakang dan juga tingkap sisi belakang A59 ini diperbuat dari plastik bagi mengurangkan beratnya. Dan berbeza dengan Golf Mk3 biasa yang menampilkan perumah nombor plat belakang di pintu hatch, nombor plat Golf A59 ini dialihkan pada bahagian bampar bagi memberikan ruang kepada logo VW lebih besar di atas.

Kabin prototaip Golf A59 ini menampilkan gaya yang diispirasikan dari kereta lumba sebenar. Ia diberikan paparan instrumen digital perlumbaan, sepasang tempat duduk bucket Recaro A8 di hadapan, plat penahan kaki aluminium pada ruang kaki penumpang hadapan, roda stereng tiga jejari, dan juga rollcage separa pada kabin belakang.

Dapat dilihat bateri kereta ini telah dialihkan ke but belakang, terletak berhampiran dengan sistem pencegah kebakaran. Dan mungkin kerana bahagian suspensi belakang kini lebih rumit dengan sistem multilink serta gandar pacuan semua roda, tayar gantian terpaksa diletakkan pada bahagian atas lantai but.

VW Golf Mk3 Rallye – lawan Lancer Evo, Impreza WRX yang tak sempat diproduksi di bawa ke SEMA 2022

Walau bagaimanapun, rancangan Volkswagen untuk ke WRC tidak mendapat lampu hijau – tiada kelibat Golf Mk3 Group A dilihat di Monte Carlo Rally pada Januari 1994 untuk pusingan pertama WRC musim berkenaan, dan versi prototaip ini tidak dibawa untuk diproduksi. Schmidt Motorsport sebenarnya telaj membina dua prototaip Golf A59 Rallye ini – satu hanya untuk mock-up tanpa enjin, dan satu lagi versi yang berfungsi sepenuhnya.

Satu-satunya unit prototaip sebenar Volkswagen Golf A59 Rallye berkenaan kini berada di reruai Volkswagen pada acara SEMA 2022 yang sedang berlangsung di Las Vegas Convention Center. Acara ubahsuai kenderaan terbesar di Amerika Syarikat itu telah pun bermula pada 2 November lalu dan bakal berakhir esok, 5 November 2022.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required