Bagi membendung gejala lumba motosikal haram, kerajaan merancang untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bertujuan menaikkan hukuman bagi kesalahan yang melibatkan pengubahsuaian enjin dan ekzos motosikal, termasuk menaikkan jumlah denda iaitu daripada RM300 pada masa ini kepada RM10,000.

Selain itu, mereka yang menyertai lumba motosikal haram juga akan dikenakan hukuman penjara jika didapati bersalah di mahkamah, manakala ibu bapa yang membenarkan anak mereka mengubahsuai motosikal untuk lumba haram, serta pemilik bengkel yang bertanggungjawab melakukan modifikasi tersebut juga berhadapan dengan hukuman.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, tindakan sedemikian diperlukan untuk membanteras gejala ini, laporan New Straits Times. Tambah beliau, perlumbaan haram harus ditakrifkan secara lebih meluas, bukan setakat menyertai perlumbaan sahaja, bahkan memodifikasi ekzos dan enjin motosikal bagi membolehkan individu terbabit melakukan aksi berbahaya di jalan raya.

“Adalah perlu untuk menaikkan denda kerana ramai anak muda secara terang-terangan melanggar undang-undang dan menyertai perlumbaan motosikal secara haram pada masa kini. Mereka mampu membayar denda RM300, dan sebab itu kita cadangkan untuk mengenakan penalti sebanyak RM10,000 bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya lumba haram,” katanya.

Tambah beliau lagi, ibu bapa yang membernak anak mereka menyertai lumba haram serta pemilik bengkel yang terlibat dengan modifikasi ini juga perlu dikenakan hukuman yang sewajarnya.

Isham berkata, cadangan pindaan itu akan dibentangkan di parlimen pada suku ketiga tahun hadapan. Buat masa ini, ia berada di peringkat “amalan kawal selia yang baik”, yang melibatkan beberapa siri penglibatan dan rundingan dengan pihak berkepentingan.

Jelasnya, ini dilakukan kerana kementerian mahu memastikan undang-undang itu dapat dilaksanakan dengan berkesan selepas mengambil kira pandangan semua pihak. “Kami tidak mahu membuat pusingan U selepas memperkenalkan peraturan baharu. Kami mahu ia dilaksanakan secara berkesan dengan sokongan majoriti pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau turut berkata, walau pun penguatkuasaan yang berkesan adalah penting untuk membendung kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal, namun menaikkan penalti boleh menjadi salah satu salusi untuk menangani isu tersebut.