Kerajaan Pahang berikrar untuk mengambil tindakan segera sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam bagi setiap aduan dan makluman daripada orang ramai berkaitan kerosakan jalan raya di negeri tersebut.

Walau bagaimana pun, ia bergantung kepada tahap kerosakan jalan di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, kata Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff seperti yang dilaporan Harian Metro.

Menurut Mohammad Fakhruddin, tindakan itu diambil susulan pelbagai aduan diterima berhubung permasalahan jalan rosak di seluruh negeri.

“Kerajaan negeri berusaha untuk menyelesaikan setiap aduan dalam tempoh sekurang-kurangnya 24 jam selaras dengan ketetapan piagam pelanggan JKR Malaysia. Arahan sudah dikeluarkan kepada pihak JKR supaya mengambil tindakan yang lebih proaktif dan segera terhadap segala aduan awam yang diterima,” katanya.

Tambah beliau, kerosakan jalan terutama keadaan jalan yang berlubang perlu dibaiki segera kerana mengundang bahaya kepada pengguna terutama penunggang motosikal sekiranya hujan lebat dan di waktu malam.

“Di media-media sosial, rakyat terus mengadu dan mengeluh mengatakan mereka cedera terlanggar lubang akibat takungan air terutamanya penunggang motosikal. Jadi saya amat berharap pihak konsesi dapat mengambil tindakan segera terhadap isu keselamatan dan kerosakan jalan raya ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin berkata, kerajaan negeri turut menjalin kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau pergerakan lori lebih had muatan yang turut menyumbang kepada kerosakan jalan raya di negeri berkenaan.

“Saya harap semua konsesi dapat beri kerjasama bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna di jalan raya demi memastikan kemalangan jalan raya akibat jalan yang rosak berkurangan,” katanya.