Tanggal 29 Januari 2023, genap 60 tahun umur legenda sukan rali tempatan, Karamjit Singh. Dalam usia yang kebanyakkan orang menganggapnya sebagai ‘umur emas’, Karamjit masih berlumba dan sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan penaja bagi membolehkan dia terus beraksi dalam laluan Super Stage perlumbaan rali.

Ini menyebabkan ada suara-suara yang mengatakan Karamjit perlu bersara, dan memberi peluang pada muka-muka baharu. Namun hakikatnya, Karamjit masih lagi pantas. Oktober tahun lalu Karam ke Indonesia bagi menyertai pusingan keempat Kejurnas Rally Sprint Indonesia pusingan ketiga dan keempat Kejurnas Rally Indonesia yang berlangsung Sirkuit Suwarnadwipa Nusantara, Muara Bungo, Jambi.

Karamjit menang besar dalam perlumbaan berkenaan. Dia muncul juara untuk kelas M3 dan kelima secara keseluruhan dalam Rally Sprint, juara kelas M3 dan kelima keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan ketiga, serta juara kelas M3 dan keempat secara keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan keempat!

Di Malaysia, Karamjit baru sahaja dinobatkan sebagai juara Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022, membuktikan dia masih bertahan sebagai pemandu rali paling laju dalam negara buat masa sekarang.

Dan kesemua pencapaian ini dicapai dengan sebuah kereta lama iaitu Proton Gen2 Turbo 4WD yang berusia 15 tahun dan jauh ketinggalan dari jentera-jentera rali moden buat masa sekarang. Bayangkan sekiranya Karamjit diberikan jentera terkini dalam spesifikasi Rally2/R5 atau AP4.

“Perlumbaan rali telah menjadi minat saya selama lebih 35 tahun. Dalam tempoh berkenaan, saya sentiasa melakukan yang terbaik kearah mencapai kejayaan untuk negara dan pasukan saya. Sekarang pada umur 60 tahun, apabila orang bertanya bila saya akan bersara, dengan mudah saya mengatakan saya akan bersara apabila saya dah tak boleh menang,” kata Karamjit Singh dalam kenyataan selepas menerima trofi MNRC 2022 di Hotel Sama-Sama, Sepang semalam.

“Perlumbaan rali ialah hidup saya. Ia adalah tempat di mana saya boleh memaksimakan bakat dan kepakaran saya. Ada masa-masa sukar yang perlu ditempuhi, tetapi tanpa rendah, kita tidak akan merasa tinggi. Apa yang terus memacu saya adalah sokongan peminat di Malaysia yang menyapa saya di mana sahaja. Saya tahu saya sedang buat sesuatu yang betul,” tambahnya lagi.

Bukan hanya Karamjit seorang sahaja pelumba veteran yang masih bertanding secara kompetitif dalam usia sedemikian. Juara WRC dua kali Carlos Sainz misalnya, juga menyambut hari jadi yang ke-60 tahun ini tetapi masih berlumba dalam rali paling lasak di dunia iaitu Rali Dakar.

Untuk tahun ini, Karamjit masih bersama dengan pasukan Cisco Racing yang telah diwujudkan bersama Rabin Nijhar pada 2021, dan terus berganding dengan juruarahnya, Jagdev Singh. Gandingan berkenaan merancang untuk bertanding dalam musim penuh MNRC 2023 bermula Jun ini, serta merancang untuk menyertai rali-rali diperingkat antarabangsa.

Antara rali di luar negara yang dirancang adalah untuk menyertai pusingan di Kejurnas Rali dan Rali Sprint di Indonesia, pusingan untuk APRC 2023 dan juga satu rali di India.

Cisco Racing juga bercadang untuk menyewakan Proton Gen2 yang dipandu oleh Karamjit kepada pelumba rali dari luar negara sekiranya mereka mahu untuk menyertai mana-mana pusingan MNRC 2023 di sini. Sementara untuk Karamjit, pasukan berkenaan bercadang untuk membangunkan satu jentera baru khas untuk MNRC yang diasaskan dari kerangka Perodua Myvi generasi ketiga.

Myvi berkenaan dirancang untuk disumbatkan dengan enjin 2.0 liter turbo bersama sistem pacuan semua roda; butirannya boleh anda baca pada PAUTAN INI. Sementera untuk rali antarabangsa, Cisco Racing bercadang untuk menggunakan jentera dari Skoda yang tidak berada disini bagi menjimatkan kos seperti kos pengangkutan dan sebagainya.