Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

Nama Karamjit Singh sudah sinonim dengan Proton – beliau telah mendominasi dunia rali di Malaysia sejak era 90’an serta merangkul enam kejuaraan pada peringkat Asia Pasifik dan juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) kategori Produksi pada tahun 2002, kesemuanya dengan memandu Proton.

Namun menurutnya sejak pengurusan Proton bertukar tangan selepas perjanjian kerjasama strategik bersama Geely pada 2017, divisi perlumbaan Proton iaitu Proton R3 sudah tidak dapat peruntukan untuk perlumbaan rali. Kecewa dengan perkembangan tersebut, hari ini Karamjit mengumumkan beliau bakal memandu Perodua Myvi untuk Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) bermula musim tahun ini.

Kali terakhir Karamjit memandu untuk pasukan Proton R3 adalah pada tahun 2015 dengan memandu Satria Neo pacuan roda hadapan. Dengan jentera berkenaan, Karamjit telah memenangi Kejuaraaan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk kategori 2WD pada tahun 2011 dan 2012, serta merangkul gelaran juara 2WD dalam Kejohanan Rali Malaysia dari 2013 hingga 2015.

Beliau menyatakan bahawa R3 sudahpun membina Proton Iriz 1.6 liter turbo untuknya pada 2016, namun sehingga kini jentera berkenaan terus direhatkan di fasiliti R3 di Shah Alam dan tidak digunakan untuk berlumba walaupun sudah siap sepenuhnya.

Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

Karamjit kemudiannya membeli Proton Gen2 4WD Turbo yang digunakannya buat masa sekarang pada 2017, dan sudah menghabiskan kira-kira RM500,000 untuk merestorasi semula jentera berkenaan untuk berlumba di dalam dan luar negara. Proton Gen2 tersebut sebelum ini telah digunakan oleh Felda Rally Team yang membuat kemunculan pada tahun 2007, dipandu oleh Saladin Mazlan ketika itu.

Ia menggunakan enjin 2.0L Turbo 4G63T dan juga sistem pacuan semua roda yang diambil dari Mitsubishi Lancer Evolution VI. Namun dengan usia yang sudah mencecah 15 tahun, kerangka Gen2 berkenaan sudah “penat” dan Karamjit perlu mencari jentera lain yng lebih kompetitif.

Beliau sebelum ini sudah cuba beberapa kali untuk berbincang dengan Proton untuk membina jentera baharu yang lebih kompetitif, namun langsung tiada jawapan yang diberikan oleh Proton. Oleh itu untuk MNRC tahun ini, Karamjit bersama pasukannya Cisco Racing bercadang untuk membangunkan sendiri jentera rali baharunya, dengan mengambil Perodua Myvi generasi ketiga sebagai asas!

“Saya sememangnya peminat Proton. Dari tahun 1988 sampai sekarang memang saya hanya memandu kereta Proton. Tapi sayangnya, kami tak dapat sokongan dari Proton. Dari tahun 2017 saya beli kereta ni (Gen2) saya dah belanja lebih dari RM500,000 wang sendiri. Sampai wang EPF saya pun semua sudah habis,” luah Karamjit ketika majlis penyampaian hadiah MNRC 2022 di Hotel Sama-Sama, Sepang pagi tadi.

Tambahnya, pasukannya kini memang sedang mencari penajaan untuk membangunkan kereta baru, dan bos pasukan Cisco Racing sendiri menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk melupakan Proton dan beralih ke Perodua.

“Saya pun memang sayang nak bertukar sebab saya memang peminat Proton. Tapi apa boleh buat, mereka tidak beri sokongan kepada kami, jadi terpaksa la kami bertukar jenama,” luahnya lagi.

Karamjit turut mendedahkan bahawa rancangannya untuk memandu Proton Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) dari United Kingdom sebelum ini menelan belanja yang terlalu tinggi dan tidak dapat direalisasikan.

Beliau menjelaskan bahawa tawaran paling rendah yang diberikan oleh MEM kepadanya untuk Iriz R5 berkenaan adalah RM900,000, dan ia tanpa sebarang bekalan alat ganti. Bagi pakej lengkap jentera tersebut, kosnya mencecah RM1.5 juta hanya untuk perlumbaan dalam tempoh satu tahun. Dan sekiranya jentera berkenaan digunakan untuk berlumba di semua pusingan APRC, kosnya boleh mencecah sehingga RM4 juta.

Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

Menurut bos pasukan Cisco Racing, Rabin Nijhar pula, spesifikasi untuk Myvi berkenaan masih belum dimuktamadkan. Namun pasukannya bercadang untuk menghasilkan sebuah Myvi generasi ketiga dengan enjin 2.0 liter turbo dan dilengkapi sistem pacuan semua roda, dengan spesifikasi yang hampir dengan AP4.

Namun disebabkan sasaran awal Myvi ini hanya untuk perlumbaan dalam negara iaitu MNRC, ia bukanlah jentera AP4 sebenar yang menerima homologasi dari FIA. Rabin menjelaskan untuk perlumbaan luar negara seperti pusingan APRC di Indonesia, Cisco Racing mungkin akan menggunakan jentera Skoda dari luar bagi menjimatkan kos perbelanjaan seperti kos pengangkutan dan sebagainya.

Karamjit kemudiannya mendedahkan kos pembangunan untuk Myvi baharunya nanti akan menelan belanja paling kurang RM500,000. Dari segi spesifikasi, Karamjit menyatakan Myvi berkenaan mungkin akan disumbat dengan enjin dan sistem pacuan semua roda dari jenama lain seperti Mitsubishi atau Toyota.

Gambar hiasan.Perodua Myvi pasukan JV Motorsport

Namun disebabkan Perodua mempunyai kaitan rapat dengan Toyota, Karamjit memberitahu Myvi ralinya nanti mungkin akan diberikan enjin dan sistem pacuan semua roda dari Toyota. Untuk rekod, buat masa sekarang unit rangkaian kuasa Toyota dengan enjin 2.0 liter dan AWD yang memang khas dibangunkan untuk rali ialah enjin 3S-GTE yang pernah digunakan pada Toyota Celica GT-Four dan Caldina GT-Four.

Bagi jentera rali homologasi FIA tebaharu Toyota iaitu Toyota GR Yaris, ia kini sudah beralih ke enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo yang mampu menghasilkan kuasa sama seperti 2.0L turbo, bersama sistem pacuan semua roda GR-Four.

Karamjit juga menjelaskan bahawa ini merupakan projek Cisco Racing sendiri, dan ia boleh disiapkan dalam masa sekitar tiga bulan, sempat sebelum bermulanya pusingan pertama MNRC 2023 pada bulan Jun nanti. Walau bagaimanapun, pihaknya bakal berjumpa dengan Perodua dalam masa terdekat untuk menunjukkan konsep rekaan kereta rali tersebut dan berharap turut bakal diberikan penajaan dari jenama kereta nasional kedua itu.

Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

Jika projek ini berjaya kelak, ini sebenarnya bukan kali pertama Perodua muncul dalam arena rali negara. Pada era 90’an, Perodua telah menubuhkan pasukan rali Perodua Castrol Rally Team yang diketuai oleh lagenda Gary Chua. Pasukan berkenaan telah menghasilkan jentera-jentera seperti Kancil 4WD Turbo dan Kelisa 4WD Turbo yang dipandu Kan Chee Hong untuk bertarung dengan Karamjit yang ketika itu mewakili pasukan Proton PERT.

Malah pada tahun 2006, Kelisa 4WD Kan Chee Hong telah digantikan dengan Perodua Myvi 4WD Turbo. Jentera tersebut diasaskan dari Myvi generasi pertama dan menerima enjin K3VET 1.3 liter turbo, kotak gear dog-box dan juga sistem pacuan semua roda dari Daihatsu Boon X4.

Apa dah jadi dengan Proton R3? Bukan sahaja rali, malah pasukan berkenaan sudah tidak berlumba dalam Sepang 1000km (S1K) dan juga Malaysia Championship Series (MCS) sejak tahun 2020. Malah pelumba pasukan tersebut yang juga juara dua kali S1K dengan Proton Iriz iaitu Farique Hairuman turut membuat penampilan pertamanya dengan Perodua Myvi pasukan JV Motorsport dalam S1K tahun lalu.

GALERI: Proton Gen2 4WD Turbo yang dipandu Karamjit Singh

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required