Sedar tak sedar, siri perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge yang diadakan bersama Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Festival kini sudahpun masuk musim ke-enam.
Pelancaran musim baharu berkenaan telah dibuat di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat malam, 17 Februari 2023 serentak bersama pelancaran lima model GR (GR Corolla, GR 86, GR Supra MT, Corolla Cross GR Sport, Hilux GR Sport), dan perlumbaan pusingan pertama ini berlangsung pada Sabtu dan Ahad.
Seperti juga musim-musim sebelumnya, Vios Challenge masih menampilkan empat kategori berbeza iaitu Promotional (untuk selebriti), Rookie (untuk bakat-bakat muda yang lahir dari perlumbaan simulator dan kart), Sporting (amatur) dan juga Super Sporting (profesional). Bagi kategori Promotional, beberapa muka-muka lama sebelum ini telah menarik diri dan digantikan dengan beberapa muka baharu.
KATEGORI SUPER SPORTING
Race 1
Kategori ini menyaksikan dua pemandu muda pasukan Axle Sports berada di grid baris pertama – anak kepada bekas pemandu F1 kebangsaan Alex Yoong, Alister Yoong mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan, diikuti rakan sepasukan Naquib Azlan. Pelumba berpengalaman, Eddie Lew berusia 49-tahun dari pasukan Laser Motor Racing berada di tempat ketiga, dan diikuti rakan sepasukan yang baru berumur 17-tahun, Putera Adam (bekas pelumba kelas Rookie sebelum ini) di tempat keempat.
Sebaik sahaja dilepaskan, persaingan tempat pertama tertumpu pada Alister Yoong dan Naquib Azlan. Namun disebalik pertarungan di kelompok pertama tersebut, Mitchell Cheah dari pasukan Prima Pearl TD Racing yang bermula dari petak keenam secara perlahan-lahan memanjat hingga ke tempat ketiga, dan kemudian mula ‘mengacau’ kedudukan Naquib Azlan.
Pertarungan sengit antara Mitchell, Naquib dan Alister berlangsung sehingga ke pusingan terakhir dengan kedudukan pendahulu perlumbaan bertukar-tukar antara ketiga-tiga pelumba berkenaan dan menyaksikan aksi ‘dog fight’ yang sangat agresif. Tetapi akhirnya Mitchell yang berjaya menamatkan perlumbaan 20-lap berkenaan di tempat pertama, diikuti Naquib dan Alister.
Walau bagaimanapun, atas beberapa insiden sentuh-menyentuh antara tiga pelumba berkenaan, Mitchell dikenakan penalti 10-saat menyebabkan dia jatuh ke tempat keenam, manakala Alister pula hilang terus kelayakan kerana melanggar undang-undang teknikal. Ini membolehkan Naquib diiktiraf juara sebenar Race 1, diikuti Putera Adam di tempat kedua dan Eddie Lew di tempat ketiga.
“Saya ada kelebihan jarak di hadapan tetapi hujan mula turun sedikit dan itu yang mengkucar-kacirkan saya pada lap-lap terakhir. Tekanan dari belakang dan tayar yang mula bocor sedikit demi sedikit menjadi tiga lap terakhir lebih kacau-bilau,” kata Naquib.
Ini merupakan musim pertama Naquib bertanding dalam kategori tertinggi ini setelah berjaya menjadi juara kelas Rookie pada 2021, dan ditabalkan juara kelas Sporting musim lalu.
Race 2
Selepas “ditendang” hingga ke tempat keenam dengan penalti pada Race 1, bermakna Mitchell Cheah akan memulakan Race 2 pada grid paling hadapan dengan format reverse grid, dan bakal dicabar oleh juara kelas Super Sporting musim lalu iaitu Hayden Haikal dari pasukan Axle Sports di grid kedua dan William Ho dari pasukan Toyotsu Racing di grid ketiga.
Sebaik sahaja lampu bertukar hijau, Mitchell berlepas dengan baik dan meluru kehadapan bagi memimpin perlumbaan. Babak-babak awal menyaksikan Hayden cuba menyerang Mitchell yang berada di hadapan, meninggalkan kelompok kedua dengan Putera Adam, Naquib Azlan dan rakan sepasukan Mitchell iaitu Tengku Djan Ley bertarung merebut tempat ketiga.
Namun masuk lap ke-4, serangan dari Hayden mula lemah, membolehkan Mitchell semakin selesa di hadapan. Akhirnya pada lap ke-10, Putera Adam mula tiba rapat di belakang Hayden menyebabkan mod menyerang Mitchell bertukar kepada bertahan dari serangan Putera Adam yang mahu merebut tempat kedua.
Putera Adam tidak mengambil masa yang lama untuk melemahkan Hayden di mana dia berjaya memintas pada selekoh pertama lap ke-11. Selepas dipintas oleh Putera Adam, Hayden semakin kucar-kacir menerima serangan dari rakan sepasukannya iaitu Naquib Azlan pula bagi mempertahankan kedudukan podium berkenaan.
Kedudukan ini tidak berubah sehingga tamat 20-lap perlumbaan dengan Mitchell berjaya menang tempat pertama, diikuti Putera Adam di tempat kedua dan Hayden Haikal di tempat ketiga. Namun keputusan akhir menunjukkan Putera Adam bersama Naquib Azlan yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat dikenakan penalti, membolehkahn Hayden berada di tempat kedua dan Tengku Djan naik ke tempat ketiga walaupun menghabiskan perlumbaan di tangga kelima.
“Rasa seronok untuk naik semula ke podium. Secara teknikalnya saya menang kedua-dua perlumbaan tetapi penalti menyebabkan saya hilang kemenangan pada Race 1. Race 2 lebih mencabar dari apa yang saya jangkakan kerana pelumba-pelumba lebih muda adalah sangat laju,” kata Cheah.
“Saya terpakasa bertahan dengan kereta yang mula understeer pada akhir-akhir perlumbaan dan saya perlu lakukan semuanya untuk mempertahankan kedudukan,” tambahnya lagi.
KATEGORI SPORTING
Race 1
Untuk kategori Sporting, perlumbaan dilangsungkan dalam cuaca hujan. Ia bermula dengan adik kepada Naquib, Nabil Azlan dari pasukan Axle Sports yang juga juara kategori Rookie musim lalu berada di grid pertama setelah mencatatkan masa terpantas di dalam sesi kelayakan pada sebelah pagi.
Ia diikuti dua lagi pelumba muda, Abdul Miqail dari pasukan 23 Motors berada di kedudukan kedua dan Bradley Banedict Anthony dari pasukan Crestmax Motorsport di grid ketiga. Nabil terus berada di hadapan apabila perlumbaan bermula, dan agak malang bagi Miqail yang telibat dalam insiden di selekoh kedua lap ke-2 menyebabkan dia tertinggal di kelompok belakang.
Dengan keadaan litar yang basah, Tarmimi Tahang dari pasukan Zaquin Boulevard Motorsports yang bermula dari petak ke-lapan menggunakan kemahirannya untuk secara perlahan-lahan mara ke kelompok hadapan. Dan pada babak-babak akhir perlumbaan, Miqail berjaya tiba di kelompok utama bagi memberikan cabaran kepada Tarmimi dan Bradley.
Namun akhirnya Nabil kekal ditempat pertama, meninggalkan Miqail di tempat kedua dengan kelebihan 8 saat. Manakala Tarmimi Tahang berjaya mendapatkan podium pertamanya untuk musim ini walaupun diasak oleh Bradley di tempat keempat.
Walau bagaimanapun selepas siasatan oleh pengendali perlumbaan, Miqail diberikan penalti 30-saat dalam insiden yang melibatkannya, menyebabkan dia jatuh ke tangga ke-sembilan. Ini membolehkan Tarmimi naik ke tempat kedua dan Bradley disahkan pemenang tempat ketiga.
“Saya sentiasa lebih gemarkan perlumbaan kering. Bila hujan turun saya jadi sedikit gementar kerana saya tidak ada pengalaman yang cukup untuk berlumba dalam keadaan basah. Sasaran dalam perlumbaan ini adalah untuk memastikan tiada kesilapan dibuat dan elakkan dari terlibat dalam masalah,” kata Nabil.
Untuk Abdul Miqail yang baru berumur 17-tahun, ini merupakan musim keduanya dalam perlumbaan Vios Challenge. Dengan prestasi yang ditunjukkan dalam perlumbaan pertama musim ini, Miqail mungkin akan menjadi antara pilihan utama untuk menjuarai kategori Sporting untuk musim ke-enam.
“Musim kelima merupakan proses belajar dan mendapatkan pengalaman buat saya. Tahun ini, saya harap untuk menggunakan semuanya dalam latihan dan berharap untuk mendapat juara keseluruhan kejohanan. Ia tidak mudah kerana persaingan sangat sengit. Kami hanya perlu melihat bagaimana situasi perlumbaan kali ini,” kata Miqail.
Race 2
Untuk Race 2, Mohd Syafiq Samsudin dari pasukan Race Rally KL berada di grid pertama dan terus berada hadapan. Manakala Bradley Bendict yang bermula dari petak keempat berjaya menyusup dikesesakan trafik kelompok hadapan untuk berada di tempat kedua dan tertinggal 1.7 saat di belakang Syafiq pada lap pertama.
Namun hanya selepas satu lap perlumbaan bemula, safety car terpaksa keluar memimpin perlumbaan sebanyak tiga lap disebabkan oleh kemalangan yang melibatkan Shanmuganathan dari pasukan Kashash Vina Motorsports Racing. Ini menyebabkan usaha Syafiq untuk menjarakkan dirinya dengan kelompok belakang menjadi sia-sia.
Selepas safety car masuk semula ke laluan pit, Bradley terpaksa bertahan dengan asakan dari Nabil Azlan yang berada di belakang untuk merebut tempat kedua. Malang sekali lagi untuk Syafiq, pengarah perlumbaan mengeluarkan arahan kepadanya untuk menerima penalti drive through kerana didapati melakukan kesalahan ketika memulakan perlumbaan, menyebabkan dia terus jatuh ke kelompok belakang.
Dengan ketiadaan Syafiq, persaingan pertarungan tiga tempat pertama berlangsung antara Bradley, Nabil dan juga Abdul Miqail yang secara tidak sedar sudah berada di kelompok hadapan walaupun hanya bermula dari petak ke kesembilan. Perlumbaan yang masih belangsung sebanyak 20 lap ini akhirnya dimenangi oleh Bradley, diikuti Nabil dengan 0.7 saat di belakang serta Miqail di tempat ketiga.
“Saya sentiasa diberikan tekanan dari mula sehingga bendera penamat. Saya lihat Abdul Miqail sentiasa mengejar. Dia bermula dari grid kesembilan tetapi pada pertengahan perlumbaan dia sudahpun bertarung untuk kedudukan kedua” kata Bradley.
“Saya hanya melakukakan yang terbaik untuk menjaga tayar bagi memastikan saya dapat tahap cengkaman yang saya perlukan untuk menghasbiskan perlumbaan,” katanya lagi.
KATEGORI PROMOTIONAL
Race 1
Dalam kategori ini, dua pelumba ‘orang lama’ iaitu Zizan Razak dan Shukri Yahaya masih mendominasi perlumbaan dengan masing-masing berada di tempat pertama dan kedua. Manakala pendatang baru, Ezzrin Loy berjaya membuat kejutan dengan berada di tempat ketiga.
“Nampaknya saya masih ada lagi tugas yang belum selesai dari musim lalu. Saya sangat berpuas hati dengan keputusan Race 1 ini. Saya diberikan tekanan dari Shukri dari mula tetapi ini merupakan perlumbaan yang bersih sehingga habis,” kata Zizan.
“Sejujurnya ini merupakan perlumbaan pertama yang mencabar, saya tidak ada sebarang sasaran untuk habis di atas podium,” kata Ezzrin yang sebelum ini mempunyai pengalaman berlumba motosikal dalam kelas 250 cc dan 1,000 cc.
“Perlumbaan empat-roda sangat berbeza dan saya tiada pengalaman sebelum ini. Objektif saya adalah untuk menghabiskan perlumbaan dan syukur saya berjaya melakukannya dan dalam proses berkenaan saya dapat naik ke podium,” tambahnya lagi.
Antara muka baru lain dalam kategori Promotional bagi musim ini termasuk pelakon wanita Syaidatul Afifah; pelakon, hos television dan penyampai radi Hot FM Imran Aqil; penyampai radio Hefny Sahad; dan pelakon serta model Reen Rahim.
Race 2
Tak banyak yang berubah pada kategori Promotional untuk Race 2 ini. Walaupun kaedah reverse grid memberikan peluang kepada Ain Edruce, Hefny Sahad dan Imran Aqil masing-masing bermula dari petak pertama, kedua dan ketiga, perlumbaan ini masih dimenangi oleh Zizan Razak, diikuti Shukri Yahaya di tempat kedua dan Ezzrin Loy di tempat ketiga.
“Saya jangkakan pertarungan seperti ini dalam litar akan berterusan sepanjang musim ini. Saya perlu mengaku Zizan merupakan pelumba yang lebih baik. Amat susah buat saya bukan sahaja untuk memotongnya bahkan untuk menjarakkan diri darinya apabila saya mendahului perlumbaan. Tak seperti Zizan, pendedahan saya dalam sukan bermotor hanyalah dalam enam musim bersam GR Vios Challenge,” kata Shukri.
KATEGORI ROOKIE
Race 1
Dalam kelas Rookie, perlumbaan pertama ini sudah menyaksikan penguasaan pelumba-pelumba simulator; Iman Danish menamatkan perlumbaan di tempat pertama, diikuti Elson Lew dan Nazmir Azlan – ketiga-tiga datang dari dunia simulator.
“Peluang untuk memandu dan berlumba sebagai pelumba muda yang diberikan ini adalah luar biasa dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Toyota. Ini merupakan satu peluang untuk membuktikan kemampuan kami. Saya tidak menjangkakan perlumbaan ini berlangsung dengan baik kerana saya telah mengalami beberapa isu ketika kelayakan dan saya berasa sedikit kecewa ketika perlumbaan bermula,” kata Danish Iman yang baru berumur 16-tahun.
Elson Lew yang berumur 19-tahun juga berasa gementar dalam perlumbaan pertama ini, tetapi masih mampu mempertahankan kedudukan keduanya sepanjang perlumbaan 20 lap berkenaan. Nazmir Azlan, yang merupakan pelumba paling muda kali ini dengan baru berumur 15-tahun juga berkongsi sentimen yang sama.
“Pertama sekali saya mahu ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Toyota kerana memberikan peluang untuk semua enam Rookies bagi menyertai acara yang berprestij ini. Saya tidak dapat permulaan yang baik dan hampir membuatkan enjin kereta mati.
“Melihat beberapa kereta berlanggar pada selekoh pertama juga menyebabkan saya lebih gementar. Memandangkan ini merupakan kali pertama saya berlumba dan bersama pelumba lain di atas litar, saya sangat bersyukur kerana dapat mengekalkan kedudukan saya,” kata Nazmir, yang juga adik paling bongsu kepada Naquib dan Nabil – dua pelumba kelas Rookie yang kini bertanding dalam kelas lebih tinggi.
Race 2
Untuk Race 2 dalam kelas Rookie ini dimenangi oleh Ariff Azmi. Dua pemenang podium pada Race 1 iaitu Nazmir Azlan dan Iman Danish juga masih kembali ke podium Race 2 ini dengan masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.
“Semalam saya mendahului tetapi dalam pertengahan perlumbaan saya mengalami kerosakan sistem ABS menyebabkan saya jatuh ke tempat ke enam dan itu bukan keputusan yang saya harapkan selepas mendapat pole position,” kata Ariff. Tidak seperti Nazmir dan Iman yang berasal dari perlumbaan Sim, Ariff bermula sebagai pemandu go-kart dan pernah menjuarai kejohanan Rotax Max Malaysia pada 2019.
“Transisi dari memandu kart kepada kereta saloon agak mencabar tetapi dengan banyak pertolongan yang saya dapat menerusi Program Pembangunan Bakat Muda GR dan dari ramai orang di atas grid adalah sangat baik. Ia memudahkan saya di dalam kereta dengan lebih baik berbanding hanya membawa saya berlumba tanpa program pembangunan,” katanya lagi.
“Race 2 seperti menaiki roller coaster buat saya. Saya terlibat dalam kemalangan tapi saya masih dapat meneruskan perlumbaan. Secara keseluruhan, ia amat menyeronokkan,” kata Iman Danish.
Menurut UMW Toyota, seramai 3.5 juta penonton yang mengikuti siaran langsung pelumbaan pusingan pertama ini yang disiarkan secara atas talian pada hari Sabtu dan Ahad minggu lalu. Dan pelumba-pelumba muda yang lahir sama ada dari kategori Sporting dan Rookie pada musim-musim sebelum ini sudah mula mengenepikan pelumba-pelumba yang jauh lebih berpengalaman.
“Sukan permotoran bukan sahaja memberi impak yang mendalam kepada jenama tetapi kami amat gembira kerana kami telah dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada pembangunannya, iaitu dengan kemunculan pemandu muda,” kata Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran K.
“Pada permulaan perlumbaan musim ke-6 ini, anda sudah boleh melihat kumpulan pemandu muda yang sangat besar mula menggunakan penguasaan mereka terutamanya dalam Kelas Super Sporting dan Sporting yang masing-masing untuk pelumba profesional dan amatur. Ini adalah perkembangan yang sangat positif untuk sukan ini,” tambahnya lagi
Pusingan kedua GR Vios Challenge musim ke-enam ini akan berlangsung dari 2 hingga 4 Jun 2023, dan ia masih akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.