Hyundai Elantra facelift 2023 didedahkan di Korea

Hyundai Elantra <em>facelift</em> 2023 didedahkan di Korea

Hyundai Elantra generasi ketujuh (CN7) sudah pun berada sekitar tiga tahun dalam pasaran selepas diperkenalkan buat pertama kali pada Mac 2020. Jadi ia perlu menjalani facelift fasa pertama; ini dia, versi 2023 untuk sedan segmen-C berkenaan telah didedahkan di Korea Selatan di mana ia dikenali sebagai Avante di sana.

Model yang disegarkan ini menerima muka yang diolah semula memberikan rupa yang lebih garang dan tajam. Ia diberikan lampu baharu dengan rekaan berbeza menyebabkan fender hadapannya juga perlu ditukar. Gril parametric signatur Hyundai masih diterapkan, tetapi kali ini gril atas dan juga gril bampar sudah diasingkan.

Digandingkan dengan liang kemasan sisi yang turut diubah lebih besar dan bersegi, bahagian hadapan Elantra 2023 ini nampak lebih lebar dan lebih sporty dari sebelum ini.

Garis-garis badan yang tegak dan tajam pada bahagian sisi Elantra ini masih tidak berubah. Selain dari bentuk lampu hadapan pada fender yang tidak sama, model 2023 ini juga dapat dibezakan dengan rekaan baharu diberikan pada rim aloi.

Hyundai Elantra <em>facelift</em> 2023 didedahkan di Korea

Pada bahagian belakang, lampunya masih nampak sama. Perubahan besar dibuat adalah pada bampar di mana bahagian kemasan diffuser direka lebih besar dari sebelum ini. Ia turut diberikan jalur perak berbentuk-U merentangi sepenuhnya bahagian diffuser tersebut yang kelihatan seperti spoiler dan diberikan sirip-sirip menegak di bawahnya.

Rekaan asas bahagian kabin juga masih lagi sama, dengan papan pemuka menampilkan skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci; satu untuk paparan instrumen digital dan satu lagi untuk infotainmen. Bagi model kemaskini ini, Hyundai menawarkan opsyen upholsteri berwarna hijau seperti yang didedahkan dalam gambar awalan berkenaan.

Untuk pasaran Korea Selatan ini, Elantra ditawarkan dengan beberapa pilihan unit rangkaian kuasa. Pertama ialah enjin petrol Smartstream 1.6 liter NA empat-silinder berkuasa 123 PS (121 hp atau 90 kW) dan tork maksima 154 Nm, dipadankan dengan kotak gear IVT (CVT yang beroperasi dengan rantai bagi menggantikan tali sawat) yang diberikan lapan-kelajuan maya. Ini merupakan gandingan yang sama diberikan pada Elantra pasaran Malaysia.

Hyundai Elantra <em>facelift</em> 2023 didedahkan di Korea

Selain itu, ia juga menerima versi hibrid menampilkan enjin Smartstream 1.6 liter yang dipadankan dengan motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 141 PS (139 hp atau 104 kW) dan tork maksima 265 Nm. Pelanggan turut ditawarkan dengan varian yang digerakkan oleh bahan api gas petroleum cecair (LPG) dengan enjin Gamma 1.6 liter empat silinder berkuasa 120 PS (118 hp atau 88 kW) dan tork maksima 152 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan konvensional.

Versi lebih berkuasa juga ditawarkan menerusi model Elantra N Line dan Elantra N. Model N Line menerima enjin petrol Smartstream 1.6 liter yang disuap pengecas turbo menghasilkan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork maksima 265 Nm, bersama pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

Manakala untuk model prestasi penuh Elantra N, ia berkongsi enjin dengan model N lain seperti i30 N dan Kona N, menampilkan unit petrol turbo Theta 2.0 liter berkuasa 280 PS (276 hp atau 206 kW) dan tork maksima 392 Nm, digandingkan dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau lapan-kelajuan DCT.

GALERI: Hyundai Elantra 2021 pasaran Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required