PANDU UJI: BYD Atto 3 – crossover elektrik yang praktikal & sedap dipandu; setanding kualiti & harga

PANDU UJI: BYD Atto 3 – crossover elektrik yang praktikal & sedap dipandu; setanding kualiti & harga

BYD antara pengeluar kereta dari China yang membawa masuk kenderaan elektrik (EV) ke pasaran Malaysia, menerusi pengedar rasminya di sini, BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM), sebahagian daripada Sime Darby Motors. Mempertaruhkan model Atto 3 sebagai permulaan pengenalan jenama ini di sini yang dilancarkan pada 8 Disember lalu, sambutan terhadap SUV crossover elektrik segmen-B ini boleh dikatakan begitu memberangsangkan. Malah dalam tempoh 10 hari ia dilancarkan, sebanyak lebih 1,000 unit tempahan Atto 3 telah diterima.

Untuk pasaran tempatan, dua varian Atto 3 ditawarkan iaitu Standard Range (SR) dengan bateri 49.92 kWh yang memberikan jarak perjalanan 410 km (NEDC, 345 km WLTP), dan Extended Range (ER) dengan bateri 60.48 kWh, dengan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP).

Varian SR ini dijual pada harga RM149,800 sementara varian ER pula pada harga RM167,800. Harga bagi EV ini dikecualikan daripada duti, dan merupakan harga atas jalan tidak termasuk insurans.

PANDU UJI: BYD Atto 3 – crossover elektrik yang praktikal & sedap dipandu; setanding kualiti & harga

Bulan lalu, team Paultan.org diberi kesempatan untuk memandu uji Atto 3 dan diberikan varian ER untuk dilenjan seharian secara bergilir-gilir dengan Danny Tan dan Jason Chung hingga ke Tanjung Malim, Perak.

Pemanduan kami merentasi Lebuhraya Utara-Selatan hingga merentasi laluan kampung di beberapa kawasan Felda di daerah berkenaan yang mempunyai corak jalan yang mengujakan. Memang benar-benar menguji ketangkasan Atto 3.

Sebelum bercerita mengenai pengalaman pemanduan dan pengendalian, kami teliti bahagian luaran dan dalamannya terlebih dahulu. Diberikan gaya rekaan yang tidak begitu sarat, moden dan mempunyai perincian yang menarik, sememangnya imej yang diperagakan oleh Atto 3 ini antara penyebab utama ia menjadi pilihan pembeli.

Untuk bahagian hadapannya, walau pun tidaklah kelihatan fancy, namun ia masih diberikan sentuhan gaya yang sedap mata memandang. Kemasan satin dengan palang krom pada bahagian bamparnya yang tertera perkataan BYD cukup menyerlahkan lagi wajah Atto 3 ini. Lampu utama dengan unit LED projektor berkembar dengan serlahan biru serta dengan fungsi “Follow Me Home” menampakkan imej yang moden.

Pada bahagian sisinya, roda aloi potongan berlian 18-inci diberikan rekaan fancy, yang dibaluti tayar Atlas Batman A51 215/55R18. Kalau diikutkan, tayar jenama ini bukanlah mantap sangat pun, apatah lagi bunyi seretan agak bising dan tidak memberikan cengkaman yang padu. Atto 3 juga tidak diberikan fungsi keyless entry dan hanya ada butang fizikal untuk ditekan bagi membuka pintu, bukannya butang sensor yang lebih moden seperti mana kebanyakan model EV yang lebih canggih.

Manakala pada bahagian belakangnya pula, perincian rekaannya juga agak ringkas. Permukaan pada tiang-D dengan corak ala sisik ikan bersama kemasan krom menampakkan sentuhan yang lebih moden. Atto 3 ini turut diberikan jaluran krom yang merentangi lampu belakang LED yang nampak agak bergaya, selain menampilkan spoiler belakang bersama antena sirip jerung.

PANDU UJI: BYD Atto 3 – crossover elektrik yang praktikal & sedap dipandu; setanding kualiti & harga

Namun di atas jaluran krom tersebut, tertera ayat Build Your Dreams atau itulah maknanya BYD. Agak kacau pula pada pandangan mata melihat barisan ayat tersebut, mungkin Kalau setakat letakkan perkataan ‘BYD’ sahaja sudah mencukupi. Di bawahnya, kelihataan permukaan kosong yang agak besar, agak bosan pada pandangan mata. Setakat ada perkataan Atto 3 pada sudut kanan permukaan terbabit.

Atto 3 ini mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar daripada Proton X50. Dengan 4,455 mm panjang dan 1,875 mm lebar, EV BYD ini 125 mm lebih panjang daripada X50, dan 75 mm lebih lebar. Jarak antara rodanya pula ialah 2,720 mm, 120 mm lebih panjang berbanding X50. Ruang butnya pula ialah 440, 110L lebih besar daripada X50.

Menjengah bahagian kabinnya, perkataan ‘wow’ terus meluncur dari mulut saya. Jika bahagian luarannya, serba ringkas, namun ia kontra pada ruang dalam kabin. Unik dan ergonomik. Dua perkataan yang paling tepat digambarkan untuk kabin Atto 3.

PANDU UJI: BYD Atto 3 – crossover elektrik yang praktikal & sedap dipandu; setanding kualiti & harga

Perkara pertama yang saya lakukan sebaik sahaja melabuhkan punggung ke tempat duduk pemandu adalah menyentuh permukaan atas papan pemuka. Ingatkan ia dari material plastik keras, rupanya sangkaan saya meleset. Kabin Atto 3 ini dibaluti kulit premium sentuhan lembut, tidak seperti kebanyakan jenama dari China yang tidak begitu mengendahkan kualiti material yang digunakan. Hanya bahagian panel pintu sahaja dilitupi material plastik.

Susun atur setiap komponen di dalam kabin juga boleh dikatakan kemas dengan perincian yang wajar menerima pujian. Papan pemuka separa bulat dengan corak beralun bagaikan otot manusia, ditambah pula dengan skrin sesentuh ala tablet bersaiz 12.8-inci yang boleh dipusing (dengan butang kawalan pada roda stereng) sama ada secara menegak atau melintang. Skrin berkenaan juga bertindak sebagai alat kawalan untuk beberapa fungsi kawalan termasuk hiburan, pendingin hawa, paparan untuk kamera (termasuk on-board camera)

Manakala corong pendingin hawa yang agak besar memang memuaskan, dan butang kawalan pada konsol tengah agak ringkas, tidak menambahkan sarat di dalam kabin. Panel gear pula bukannya unit tombol biasa, tetapi dah macam alat tuil kawalan dalam kapal terbang pula.

Bentangan corak beralun ala otot manusia juga menjalari bahagian sisi panel pintu hingga ke belakang. Untuk membuka pintu, ada pemegang pintu bulat yang agak sedikit pelik rekaannya. Di bawahnya, poket pintu dihadang dengan ‘guitar string’ dan kalau bosan, bolehlah ‘petik gitar’ sebab ia ada mengeluarkan bunyi tanpa ritma yang agak perlahan.

Ciri lain yang diberikan untuk bahagian dalam termasuklah roda stereng dengan butang kawalan bersama logo BYD yang agak besar di tengah (kalau logo itu lebih kecil, lebih sedap mata memandang), butang start-stop enjin, lapan-pembesar suara (sistem audio Atto 3 ni memang gempak, beb), ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta Bluetooth, pendingin hawa automatik zon-tunggal dengan corong di belakang, soket kuasa (termasuk 2 USB di hadapan, 2 USB di belakang), pencahayaan ambien, pengecas tanpa wayar Qi, bumbung panoramik dan brek parkir elektronik.

Untuk tempat duduknya pula, ia menerima balutan kulit premium dan ternyata ia sangat memberikan keselesaan yang jitu. Rasa macam duduk dalam sebuah kereta jenama mewah pula. Ruang kaki dan ruang kepala untuk tempat duduk penumpang belakang juga boleh dikatakan agak luas. Gabungan warna putih, biru, hitam dan jahitan kontras merah memang cukup kena dengan tempat duduk ala premium ini.

Dari segi keselamatan juga, Atto 3 diberikan ciri yang agak lengkap. Ia hadir dengan tujuh beg udara, brek parkir elektrik, enam sensor parkir, sistem pengesan tekanan tayar, ABS dan kawalan kestabilan, sistem kawalan cengkaman, EBD, kawalan menuruni curam, kawalan melayar adaptif kelajuan penuh dengan Stop & Go, brek kecemasan sendiri (AEB), amaran perlanggaran belakang (RCW), pengesan titik buta (BSD), amaran buka pintu (DOW) dan amaran lintasan trafik di belakang. Malah ia juga diberikan tiga cagak Isofix iaitu satu unit untuk tempat duduk penumpang hadapan dan dua unit lagi di tempat duduk belakang.

Okay, kita masukkan pula bab pemanduan dan pengendalian Atto 3 ini. EV ini digandingkan dengan bateri Blade EV berkapasiti 60.5 kWh keluaran BYD sendiri, yang disambung kepada motor elektrik tunggal di depan dengan janaan kuasa cecah 204 PS dan tork 310 Nm. Jika dibandingkan dengan pencabar terdekatnya, GWM Ora Good Cat, Atto 3 mempunyai kelebihan tujahan kuasa sebanyak 60 PS dan 100 Nm.

Walau pun tengok jumlah kuasa yang mampu dicapai, mungkin tidak begitu memuaskan bagi sesetengah antara kita. Namun sebenarnya enjin ini begitu tangkas menghasilkan kelajuan yang kita inginkan. Ia mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat.

Adakalanya mengendalikan Atto 3 ini umpama sedang memacu sebuah hot hatch, walau pun kuasa yang dihasilkan tidak ‘semewah’ jentera padu itu, tetapi keterujaan mengendalikannya seakan lebih kurang sama. Dalam pemanduan mod ECO Normal, kuasa yang diberikan masih kekal tangkas.

PANDU UJI: BYD Atto 3 – crossover elektrik yang praktikal & sedap dipandu; setanding kualiti & harga

Jika bercakap mengenai keselesaan pemanduan, Atto 3 menggunakan tetapan suspensi topang MacPherson di hadapan, dan jenis multilink di belakang. Tidak seperti Ora Good Cat yang mudah terasa olengan badannya, bila berada di dalam Atto 3, sama ada sebagai pemandu mahu pun penumpang, rasa tersebut begitu minimal.

Walau pun merentasi corak permukaan jalan yang kurang rata, beralun mahu pun ketika melayan jalan berselekoh, agak kurang terasa ‘terbuai’ atau pun boleh menyebabkan motion sickness (ini kelemahan saya). Walau bagaimana pun, dengan kelajuan sekitar 90 km/j, bunyi angin dan seretan jalan jelas menerobos ke dalam kabin.

Atto 3 boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2), dengan kadar maksimum antara 70 kW atau 80 kW, mengikut kapasiti baterinya. Dengan input lebih tinggi, kadar pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa 45 minit. Dengan pengecasan penuh, varian ER ini dikatakan mampu mencapai jarak 480 km hingga mengikut kitaran WLTP.

Berbanding dengan kebanyakan EV lain, jarak pacuan EV yang diberikan untuk Atto 3 ini boleh dikatakan mampu dicapai 100% mengikut angka yang didakwa. Sedangkan kebanyakan EV lain, cuma boleh mencapai 80%-90% daripada angka jarak pacuan EV yang didakwa oleh pengeluarnya.

PANDU UJI: BYD Atto 3 – crossover elektrik yang praktikal & sedap dipandu; setanding kualiti & harga

Secara konklusinya, BYD Atto 3 memang pilihan yang bijak untuk memiliki sebuah EV dengan harga di bawah RM170k. Walau pun imej luarannya agak ringkas, dalaman yang futuristik dan bersifat premium, tetapi pengendaliannya memang superb dan selesa selain efisien.

Jika memandu di sekitar bandar, memang inilah EV yang tepat untuk dijadikan pilihan. Kalau melayan pemanduan di lebuhraya, ia juga boleh menimbulkan keterujaan, namun jika memandu di jalan yang berbukit seperti di Karak, skala kepuasannya setakat sederhana.

Atto 3 didatangkan dalam lima pilihan warna — Ski White, Boulder Grey, Forest Green, Parkour Red dan Surf Blue. Crossover ini didatangkan dengan jaminan selama enam tahun atau 150,000 km, dengan jaminan bateri pula selama lapan tahun atau 160,000 km.

Untuk pengetahuan anda, selain GWM Ora Good Cat (RM140k-RM170k), BYD Atto 3 ini juga bersaing dengan Hyundai Kona Electric (RM156k-RM208k), Hyundai Ioniq 5 versi Lite 58 kWh (RM270k), Renault Zoe (RM163k-RM175k) dan Nissan Leaf (RM170k).

GALERI: BYD Atto 3 Extended Range

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required