Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia – dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

Mengotakan janjinya untuk melancarkan Nissan Leaf facelift 2023 hari ini, pengedar rasminya di pasaran tempatan, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan kenderaan elektrik (EV) penuh ini
ditawarkan dengan harga atas jalan RM168,888 termasuk pengecualian cukai jualan dan cukai jalan tetapi tidak termasuk insurans.

Malahan sempena pelancarannya juga, ETCM turut menawarkan Program Langganan LEAF demi memberikan pengalaman pemilikan tanpa kerisauan. Dengan Program Langganan, tiada bayaran terdahulu diperlukan dan pemilik hanya membayar ansuran bulanan sebanyak RM1,800 untuk kontrak selama tiga tahun (tertakluk pada terma dan syarat).

Menurut ETCM, dengan Pelan Langganan LEAF ini, pelanggan tanpa perlu dibebani dengan kereta jangka panjang kerana tempoh langganan yang pendek. “Bagi pelanggan yang ingin menaik taraf kepada model Nissan lain apabila tempoh program langganan tamat, pelanggan tidak perlu risau pelupusan kereta; pulangkan Nissan LEAF dan pilih kereta Nissan lain atau tamatkan sahaja kontrak tiga tahun,” ujar ETCM.

Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

Untuk pasaran Malaysia, Leaf facelift 2023 hanya ditawarkan dengan varian tunggal yang dilengkapi bateri lithium-ion 40 kWh. Seperti mana model yang dilancarkan pada tahun 2019, versi 2023 ini juga masih diberikan motor elektrik tunggal EM57 pacuan roda hadapan yang mampu mencapai sehingga 148 hp (150 PS atau 110 kW) dan tork 320 Nm, dan boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum cecah 155 km/j.

Dengan satu cas penuh, EV ini mampu untuk bergerak sejauh 311 km dalam kitaran ujian NEDC.
Seperti model terdahulu, Leaf direka bagi membolehkan ia dicas semula dengan dua jenis penyambung iaitu Type 1 (pengecas AC dengan kadar cas maksima 6.6 kW) dan CHAdeMO (pengecas DC pantas dengan kadar cas maksima 50 kW dalam masa sekitar 60 minit) – kedua-dua soket berkenaan terletak pada “hidung” kereta ini.

Dengan kaedah cas biasa menerusi wallbox pada kadar 6.6 kW, bateri Leaf memerlukan lima hingga tujuh jam untuk mendapatkan kuasa penuh. Jadi jika Nissan Leaf dicas menggunakan pengecas awam 230V/16A 3.7 single-phase atau 230V/13A 3.0 kW single-phase di Malaysia, ia mungkin mengambil masa sekitar 10 hingga 12 jam.

Leaf 2023 kini ditampilkan dengan gril hadapan aero hitam sepenuhnya, dengan padanan bampar bawah yang direka semula, sekaligus memberikan gaya yang lebih kemas. Selain itu, ia juga menampilkan lampu utama dengan kamaşan dalaman hitam baharu. Menyerlahkan lagi imejnya, ia diberikan aero spoiler yang direka semula, diffuser dengan serlahan kelabu dan set rim aloi lima-jejari 17-inci yang lebih sporty.

Ciri lain yang dikekalkan termasuklah lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED bentuk boomerang, dan lampu belakang kombinasi LED. Sama seperti model terkini Nissan yang lain, Leaf 2023 turut menggunakan lencana Nissan baharu untuk penampilan luaran dan dalaman termasuk pada bampar hadapan dan belakang serta pada roda stereng.

Menjengah bahagian kabinnya, tiada perubahan yang dilakukan. Walau bagaimana pun, Nissan memberikannya skrin sesentuh infotainmen lapan-inci baharu dengan fungsi Apple CarPlay, Android Auto, Bluetooth dan pengesan suara, Selain itu, cermin pandangan belakang pintar baharu juga diberikan. Selain itu, ruang dalaman juga masih mengekalkan kemasan balutan kulit Alcantara, pendingin hawa automatik dengan fungsi pemasa (timer), kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin.

Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

Dengan tempat duduk belakang direbahkan, ruang barangan yang tersedia mencecah 1,176 liter dalam keadaan tempat duduk penumpang belakang dibaringkan dan sekitar 435 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua ditegakkan.

EV ini juga mengekalkan ciri e-Pedal yang membolehkan pemandu menggunakan hanya satu pedal kaki – tekan untuk bergerak dan lepaskan untuk membrek – dan mengaplikasikan kaedah regenerative braking. Aspek keselamatan yang diberikan masih kekal dengan sistem Nissan Safety Shield yang kini ditambah dengan ciri Intelligent Lane Intervention dan Intelligent Lane Departure, Intelligent Rear View Mirror dan Bantuan Lampu Tinggi.

Selain itu, ia masih mengekalkan enam beg udara SRS, amaran pertukaran lorong, brek kecemasan pintar, amaran titik buta, pengesanan papan tanda trafik, amaran lintasan trafik di belakang, peninjau pintar 360-darjah serta bantuan kecemasan bagi kesilapan aplikasi pedal pemijak selain ciri standard seperti kawalan kestabilan, ABS dengan Bantuan Brek dan Bantuan Mula Mendaki.

Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

Model baharu ini juga telah pun menerima penarafan keselamatan lima-bintang daripada Program
Penilaian Kereta Baharu Jepun (JNCAP). Ini merupakan penarafan tertinggi untuk penilaian
termasuk ujian perlanggaran kenderaan serta prestasi pelbagai sistem keselamatan aktif. Selain itu, Leaf juga lulus dalam ujian perlindungan kejutan elektrik JNCAP yang mengukur aspek
khusus EV.

Leaf 2023 ditawarkan dengan tujuh pilihan warna luaran dengan setiap satunya digandingkan dengan warna Super Black untuk bahagian bumbung. Warna tersebut ialah Stealth Grey, Akatsuki Sunrise Copper, Opera Mauve, Vivid Blue, Midnight Black, Burgundy dan Pure White Pearl. Manakala dua pilihan warna premium untuk kabin masih kekal dengan Graphite Black dan Stone Grey.

Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

Ia turut hadir dengan waranti kenderaan selama tiga tahun atau 100,000km serta waranti bateri lithium-ion selama lapan tahun atau 160,000km. Dengan selang servis berjadual 20,000 km, Leaf hanya memerlukan sekitar RM300 setahun dan kos penyelenggaraan ini boleh dianggap amat berpatutan.

“Untuk tempoh terhad, ETCM turut menawar pemilik kereta dengan ganjaran istimewa. Di mana bagi
pelanggan yang membeli Leaf boleh mendapatkan keahlian JomCharge selama 12 bulan secara percuma (bernilai RM600) untuk mengecaskan kenderaan elektrik di stesen pegecas awam (107 pengecas AC Type 2 dan 30 pengecas pantas DC CHAdeMO dengan 600 kredit seluruh negara) serta tinting sejuk percuma bernilai RM2,200.

“Manakala, pelanggan yang memilih program langganan turut menikmati diskaun 50% bagi tinting sejuk dan RM300 subsidi bagi keahlian JomCharge selama 12 bulan,” kata ETCM lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required