Acura mengesahkan bahawa model generasi baharu Integra dalam versi paling berkuasa iaitu Integra Type S bakal membuat kemunculan sulungnya bulan hadapan, ketika berlangsungnya Acura Grand Prix of Long Beach di California pada 14 hingga 16 April.
Satu video teaser berdurasi 10-saat turut disiarkan memaparkan bahagian muncung kembar tiga ekzos Acura Type S berkenaan yang nampak sama seperti pada Honda Civic Type R FL5, serta memberikan bunyi yang mengujakan dengan ‘letupan’ kecil terhasil apabila pedal pendikit di angkat.
Acura turut telah mengesahkan bahawa Integra Type S ini dijana oleh enjin 2.0 liter VTEC Turbo yang akan menghasilkan kuasa 320 hp dan tork maksima 420 Nm, bebanding Integra standard yang berkongsi enjin 1.5L VTEC Turbo dengan Civic Si berkuasa 200 hp/260 Nm.
Angka kuasa yang didedahkan berkenaan nampak sama dengan angka pada Civic Type R FL5, menandakan kedua-dua model ini berkongsi enjin 2.0L VTEC Turbo berkenaan sepenuhnya. Menurut Acura lagi, ini membolehkan Integra Type S mencapai nisbah kuasa kepada berat terbaik dalam kelasnya.
Bukan hanya enjin, Integra Type S juga dilihat berkongsi transmisi manual enam-kelajuan dengan short-shifter bersama unit LSD yang sama dengan Civic Type R FL5.
Dua gambar turut disertakan dalam teaser kali ini iaitu bahagian fender hadapan yang lebih lebar dan diberikan lencana Type S, serta bahagian perumah roda belakang yang menerima overfender bagi membuatkan ia lebih lebar (berbanding Civic Type R yang diberikan panel sisi belakang yang sememangnya lebih lebar) dan juga spoiler ‘ekor itik’ gentian karbon pada but belakang.
Acura Integra generasi baharu ini sememangnya dihasilkan berasaskan platform Honda Civic generasi ke-11. Berbanding Civic yang muncul dengan badan sedan dan hatchback, Integra direka sebagai sebuah fastback dengan pintu liftback di belakang.
Ia juga menerima perincian sebuah Acura sebenar dengan lampu hadapan LED JewelEye, gril Diamond Pentagon dan juga lampu belakang yang direka dengan konsep sama seperti lampu hadapan. Disember lalu Acura telah mendedahkan rupa luaran Integra Type S ini, tetapi masih dibalut sepenuhnya dengan pelekat penyamaran.
Walaupun ia masih berselindung, Integra Type S ini jelas tampil dengan rupa yang jauh lebih garang berbanding Integra biasa. Lampu hadapan dan gril masih nampak sama, tetapi ia diberikan bampar yang direka dengan apron lebih agresif menampilkan kemasan kemasukan liang udara sisi lebih besar.
‘Pipi’ model Type S ini juga nampak lebih ‘tembam’ dengan fender yang lebih lebar dan menampilkan jarak trek yang lebih kurang sama lebar dengan Civic Type R FL5. Di belakang, ia turut menerima bampar dengan rekaan diffuser yang lebih agresif, dan turut menempatkan tiga-tip ekzos di tengah.
Turut kelihatan, Integra Type S ini dipadankan dengan rim lima jejari berkembar 19-inci yang dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S. Brek hadapannya menampilkan angkup besar berwarna merah dengan pita pelekat ditampal di tengah, berkemungkinan menggunakan set brek Brembo yang sama seperti Civic Type R.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.