Selain dari WR-V dan CR-V generasi ke-enam, Honda Thailand turut membawa Civic Type R generasi terbaharu ke Bangkok International Motor Show (BIMS) 2023. Tempahan bagi hot-hatch ini dibuka bermula hari ini, dan ia diumumkan dijual pada harga 3,990,000 baht, atau sekitar RM520k!
Civic Type R FL5 ini di bawa ke Thailand dalam jumlah yang terhad, dan sesiapa yang mahu menempahnya perlu meletakkan nama mereka di laman sesawang rasmi Honda Thailand bermula pukul 10 pagi hari ini. Walaupun harganya mencecah lebih setengah juta ringgit, dijangka kesemua unit yang dibawa tersebut akan direbut secepat mungkin oleh pelanggan di Thailand.
Seperti yang diketahui sebelum ini, Type R FL5 diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback. Ia masih menggunakan enjin K20C1 2.0 liter VTEC Turbo yang sama seperti generasi FK8 sebelum ini, namun diberikan talaan baharu yang 10 PS/20 Nm lebih berkuasa – model pasaran Jepun menghasilkan 330 PS dan tork maksima 420 Nm.
Peningkatan kuasa ini dibuat menerusi kemaskini pada pengecas turbo yang dihasilkan dengan saiz, bentuk serta jumlah bilah turbin yang dioptimakan bersama bentuk aliran udara dari salur kemasukan, serta sistem ekzos yang lebih efisien. Model baharu ini juga menerima injap aktif pada sistem ekzos yang memberikan operasi lebih baik pada Active Sound Control.
Selain itu, rekaan gril hadapan dengan ruang kemasukan udara lebih besar membolehkan radiator beroperasi pada kadar 48% lebih baik dari FK8. FL5 masih lagi mengekalkan prinsip hanya dihasilkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, bagi memastikan ia dibeli oleh mereka yang betul-betul minat memandu.
Transmisi manual bersama tombol aluminium ikonik Type R yang lengkap dengan LSD berkenaan dipertingkat menerusi roda tenaga yang lebih ringan, perisian sistem rev-match (heel & toe automatik) yang diperkemas, serta tuil dan pagar “H-pattern” yang dioptimakan bagi memberikan penukaran gear yang lebih jitu.
Tidak seperti FK8 yang diproduksi di United Kingdom sebelum ini, produksi FL8 sudah kembali ke Jepun kerana kilang Honda Swindon telahpun ditutup. Jadi semua unit FL8 untuk pasaran seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia dan ASEAN adalah dari kilang Yorii di Saitama, Jepun.
Minggu lalu Honda Malaysia sudah pun mengesahkan bahawa Civic Type R FL5 ini akan turut dilancarkan di sini tahun ini. Namun adakah harganya juga akan melebihi RM500k di Malaysia? Mungkin kita boleh ambil Toyota GR Corolla sebagai perbandingan – hot-hatch Toyota ini dilancarkan di Thailand pada November 2022 dan dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500k), namun apabila ia tiba di Malaysia, UMW Toyota menjualnya pada harga RM355k.
Jadi mungkin Honda Civic Type R ini akan dijual di Malaysia pada harga sekitar RM350k-RM360k? Sama-sama kita tunggu pengumuman dari Honda Malaysia sendiri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.