Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

Selepas beberapa teaser disiar sebelum ini, ini dia versi paling berkuasa untuk Acura Integra generasi baharu iaitu Integra Type S didedahkan secara rasmi di Amerika Syarikat! Dan seperti yang dijangka sebelum ini, jika Integra standard adalah kembar kepada Civic Si, model Type S ini pula merupakan kembar kepada Civic Type R FL5.

Jadi selain dibina berasaskan plaform yang sama dengan Civic Type R, Integra Type S ini turut menerima enjin K20C1 2.0 liter VTEC Turbo yang menghasilkan 320 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 420 Nm. Ini menjadikan Integra Type S 2024 ini merupakan Integra produksi paling berkuasa pernah dihasilkan selepas Integra Type R DC5 dengan enjin K20A 2.0L DOHC i-VTEC yang menjana 220 hp/206 Nm.

Enjin tersebut turut menerima sistem ekzos yang didakwa kurang rintangan serta menampilkan tiga tip ekzos di belakang seiras Type R FL5. Menurut Acura, ekzos ini akan memberikan bunyi berlainan mengikut mod pemanduan yang dipilih oleh pemandu menerusi injap aktif yang dibekalkan, dan ia akan menghasilkan ‘letupan’ pops and bangs pada mod Sport+.

Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

Kuasa dari enjin dihantar ke gandar hadapan menerusi hanya satu pilihan kotak gear iaitu manual enam-kelajuan, yang dilengkapi short-shifter serta dibekalkan dengan unit LSD jenis helical membolehkan kedua-dua tayar hadapan mengigit permukaan jalan dengan lebih mencengkam ketika mengambil selekoh. Juga sama seperti Civic FL5, kotak gear manual Integra Type S ini turut diberikan sistem rev-match bagi membolehkan aksi heel & toe dibuat secara automatik.

Perincian casis dan pengendalian pada Integra Type S ini juga seiras dengan Civic Type R. Ia menampilkan sistem suspensi dua paksi pada bahagian hadapan bagi menghilangkan kesan torque steer semasa memecut. Jarak trek roda juga lebih lebar berbanding Integra standard (90 mm di hadapan dan 48 mm di belakang) bagi memberikan kestabilan dan cengkaman tayar lebih tinggi.

Bar penstabil hadapan juga ditukar dengan unit yang berketebalan 29 mm, iaitu 2 mm lebih tebal dari unit pada Integra biasa bagi memberikan respon yang lebih baik.

Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

Integra Type S 2024 ini datang dengan penyerap hentak jenis adaptif (ADS) secara standard. Penyerap hentak tersebut dikawal oleh Integrated Dynamics System (IDS) dan akan menampilkan karekter redaman yang berbeza mengikut mod pemanduan Comfort, Sport dan Sport+ yang dipilih pemandu. Ia sedikit berbeza dengan Civic Type R yang hadir dengan mod Comfort, Sport dan R+.

Pada bahagian roda, Integra Type S ini diberikan rim dalam saiz serta jenis tayar yang sama seperti Civic Type R tetapi dengan rekaan lebih tersendiri. Rim Shark Gray 10-jejari 19-inci dengan lebar lebar 9.5-inci berkenaan direka diinspirasikan dari rim NSX Type S, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S 265/30R19. Acura menyatakan bahawa walaupun rim ini lebih besar dari rim 18-inci pada Integra standard, ia sebenarnya adalah hampir satu kg lebih ringan.

Bagi memberhentikan kereta ini, ia dilengkapi dengan cakera brek 350 mm bersama angkup aluminium monoblok empat omboh dari Brembo – berbanding hanya logo Brembo diletak pada angkup brek hadapan Civic Type R, unit pada Integra Type S ini menampilkan logo Acura yang lebih besar. Manakala di belakang, sistem brek untuk Type S ini terdiri dari cakera 305 mm.

Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

Acura Integra generasi baharu ini bukan sekadar Civic dengan muka dan lampu belakang berbeza. Ia dihasilkan selaras dengan bentuk tradisi sebuah Integra iaitu liftback dengan pintu hatch yang diintegrasikan dari bahagian but hingga cermin belakang, berbanding Civic yang tampil dalam badan sedan dan hatchback.

Versi Type S ini masih menampilkan perincian sebuah Acura sebenar dengan lampu hadapan LED JewelEye bersama gril Diamond Pentagon serta tulisan ikonik ‘Integra’ seperti diukir di bawah lampu kiri, tetapi diberikan bampar hadapan dengan apron yang lebih agresif. Gril bahagian bawah menyerlahkan unit intercooler yang “tersenyum” disebaliknya, manakala liang udara sisi yang berfungsi mengalirkan udara bagi menyejukkan sistem brek hadapan.

Sama seperti Civic Type R, bonet aluminium hadapan Integra Type S ini juga diberikan liang udara bersaiz besar. Menurut Acura, gandingan gril hadapan dan juga liang pada bonet ini menghasilkan aliran udara 170% lebih baik untuk mengeluarkan haba dari ruang enjin.

Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

Dengan tetapan suspensi menampilkan trek roda lebih lebar, ia turut menyebabkan Integra Type S ini nampak lebih ‘gemuk’ dengan pemadanan fender hadapan dan belakang yang 70 mm lebih lebar. Di belakang, ia masih hadir dengan unit lampu yang sama seperti Integra standard bersama spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but, manakala bahagian bawah bampar menerima kemasan diffuser yang lebih agresif.

Logo-logo Type S pula dilekat pada gril hadapan, fender hadapan dan juga pada penutup but belakang. Acura turut menawarkan beberapa aksesori penggayaan asli luar untuk Integra Type S ini iaitu penutup cermin sisi dan spoiler belakang yang diperbuat dari gentian karbon, logo hadapan Acura bernyala dalam kemasan hitam serta rim dalam kemasan tembaga metalik.

Pada sebelah dalam, model Type S menampilkan perincian-perincian yang nampak lebih mewah, berbanding Civic Type R yang diberikan karekter seperti jentera lumba sebenar. Ia masih diberikan roda stereng dengan logo Type S yang dibalut oleh alcantara bersama tombol gear kemasan anodized, tetapi pembeli boleh memilih opsyen tombol gear aluminium yang diinspirasikan dari model-model Integra Type R terdahulu.

Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

Ia turut diberikan paparan instrumen digital dengan skrin 10.2-inci yang digelar Acura Precision Cockpit, tetapi tidak diberikan lampu tukaran gear LED ala-kereta lumba pada sebelah atas seperti pada Civic Type R. Integra Type S ini juga tidak menerima tempat duduk bucket merah seperti Type R, sebaliknya menerima tempat duduk sport yang dibalut material Ultrasued yang turut diberikan fungsi pemanas serta menampilkan logo Type S pada perehat kepala.

Perincian-perincian lain yang dibekalkan pada kokpit Integra Type S ini termasuk but tuil gear alcantara dengan serlahan jahitan merah, paparan head-up, pengecas tanpa wayar, skrin sesentuh sembilan-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto yang boleh dihubungkan tanpa wayar, serta sistem bunyi premium 3D ELS Studio 530-watt dengan 16-pembesar suara.

Tiga warna tema kabin ditawarkan bagi model ini iaitu merah, hitam dan Orchid. Manakala untuk keselamatan, Integra Type S ini masih dibekalkan dengan pakej sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) AcuraWatch.

Tidak seperti Honda Civic Type R yang kini diproduksi di kilang Yurii Honda di Jepun, Integra Type S 2024 ini pula dihasilkan secara ekslusif di Marysville Auto Plant, Ohio, Amerika Syarikat iaitu kilang milik Honda yang turut memproduksi model Acura TLX dan TLX Type S.

Enjin VTEC Turbo K20C1 pada model ini pula dibekalkan oleh kilang yang sama menghasilkan enjin pada perut Civic Type R, iaitu di Anna Engine Plant, juga terletak di Ohio.

Acura Integra Type S ini akan membuat kemunculan sulungnya dikhalayak umum ketika berlangsungnya Acura Grand Prix of Long Beach, di California pada 14 hingga 16 April nanti. Jualannya di Amerika Syarikat pula akan bermula pada bulan Jun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required