Trailer filem Transformers: Rise of the Beasts baru sahkan Porsche 911 adalah Mirage, bukan Jazz!

<em>Trailer</em> filem Transformers: Rise of the Beasts baru sahkan Porsche 911 adalah Mirage, bukan Jazz!

Mungkin disebabkan fasa pandemik yang dilihat sudah berakhir di kebanyakkan negara, pelbagai filem menarik bakal tiba ke pawagam tahun ini. Bagi ‘kaki-kereta’, selain dari siri terbaharu The Fast and The Furious iaitu Fast X, satu lagi filem yang ditunggu untuk ditayangkan di pawagam tahun ini sudah tentulah Transformers: Rise of the Beast.

Ini merupakan filem sambungan dari spin-off Bumblee Bee, dan sudah tentu ramai yang tidak sabar untuk melihat Optimus Prime beraksi dalam versi yang sama seperti versi asal generasi pertama animasi Transformers (Transformers G1), iaitu dalam penyamaran sebagai trak Freightliner FL86.

Namun selain dari Optimus, ramai juga tertanya-tanya siapa watak Autobot yang berselindung disebalik Porsche 911 964 Carerra seperti yang boleh ditonton pada trailer sebelum ini? Mungkin ramai yang meneka ia adalah Jazz kerana watak tersebut muncul sebagai Porsche 935 Turbo ‘Moby Dick’ dalam animasi Transformers G1, namun dalam trailer terbaharu filem tersebut mendedahkan Porsche 911 berkenaan adalah sahabat kepada Jazz iaitu Mirage!

Mirage (juga dikenali sebagai Dino) sebelum ini pernah muncul dalam filem Transformers: Dark of the Moon sebagai sebuah Ferrari 458. Manakala dalam animasi Transformers G1, Mirage adalah sebuah jentera Formula 1 Ligier JS11 lengkap dengan livery perlumbaan ‘Gitanes’ seperti yang pernah dipandu oleh Jacques Laffite pada tahun 1979.

Untuk filem Transformers: Rise of the Beast, Porsche sendiri mengesahkan bahawa Mirage adalah 911 964 Carerra RS 3.8, iaitu model yang hanya dihasilkan sebanyak 55 unit. Model ini diperkenalkan pada 1993 berasaskan 911 Carerra RS, namun ia menerima enjin dengan kapasiti 200 cc lebih besar iaitu 3.8 liter.

Selain enjin yang lebih berkuasa, 911 Carrera RS 3.8 ini juga dibina seringan mungkin dengan menggunakan hud dan pintu aluminium, cermin yang lebih nipis, dan tempat duduk belakang dibuka. Ini membolehkan model lebih agresif berkenaan ditimbang sekitar 270 kg lebih ringan dari Carrera biasa.

Filem Transformers: Rise of the Beasts ini dikatakan adalah berasaskan siri kartun Transformers: Beast Wars, jadi filem ini juga turut akan menampilkan watak Optimus Primal dan Rhinox dari pihak Maximals. Ia juga akan menceritakan bagaimana Optimus Prime mula berasa bertanggungjawab untuk melindungi manusia di bumi.

Penggambaran filem berkenaan dibuat di Brooklyn, Amerika Syarikat dan juga dibeberapa bahagian di Peru. Antara pelakon yang membintangi filem ini termasuk Anthony Ramos, Dominique Fishback, Luna Lauren Vélez dan Tobe Nwigwe. Peter Cullen akan kekal sebagai suara Optimus Prime manakala suara Ron Perlman akan digunakan bagi watak Optimus Primal.

Filem ini dijangka bakal ditayangkan di pawagam seluruh dunia bermula bulan Jun ini. Selain Porsche 911 964, sebuah Nissan Skyline R33 juga bakal beraksi dalam filem berkenaan. Siapa watak yang berselindung disebalik R33 tersebut? Sama-sama kita nantikan!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required