Pembuat automotif dari Hiroshima, Mazda dikesan telah memfailkan paten untuk sebuah kereta sport dengan enjin Wankel Rotary di Pejabat Paten dan Tanda Perniagaan Amerika Syarikat baru-baru ini. Paten berkenaan sebenarnya telah pun difailkan pada Jun 2021, namun ia baru dijumpai oleh The Drive selepas ia disiarkan kepada umum minggu lalu.
Mazda memang terkenal menghasilkan kereta-kereta sport dengan enjin Wankel Rotary bermula dengan Mazda Cosmo Sport pada 1967, dan diakhiri dengan model RX-8 yang diproduksi bermula 2003 sehingga ditamatkan pengeluaran pada 2012 kerana enjin berkenaan tidak mampu lagi untuk lulus ujian emisi yang semakin ketat.
Bagi paten terbaharu yang dilihat difailkan oleh Mazda ini, rekaan berkenaan nampaknya mempunyai solusi untuk ‘menghalalkan’ kembali enjin rotary untuk digunakan pada kereta sports, iaitu dengan dipadankan bersama sistem elektifikasi!
Dalam fail berkenaan, dapat dilihat kereta sport tersebut diberikan enjin pembakaran dalaman yang diletakkan pada sebelah hadapan dan memacu roda belakang. Mazda menyebut secara spesifik ia adalah enjin Rotary, dan dilihat sangat kompak dan diletakkan hampir dengan bahagian tengah badan sama seperti kereta-kereta sport Rotary Mazda sebelum ini.
Dalam dokumen tersebut Mazda turut menyebut bahawa unit rangkaian kuasa ini turut boleh menggunakan enjin salingan (enjin yang berfungsi dengan omboh biasa) selain dari enjin Rotary. Kemudian dapat dilihat, enjin tersebut turut digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 36 hp (25 kW) bagi bersama-sama memacu roda belakang.
Tidak cukup dengan itu, gandar hadapan turut menerima sepasang motor elektrik masing-masing berkuasa 23 hp (17 kW) bagi memacu roda hadapan. Ini bermakna, kereta sport ini merupakan jentera pacuan semua roda dengan bantuan elektrifikasi, seakan konsep yang digunakan pada Honda NSX generasi baharu.
Walau bagaimanapun, sistem hibrid yang digunakan ini bukanlah sistem yang menggunakan voltan tinggi, dan ia dilihat menggabungkan dua voltan berbeza dan mampu berfungsi secara bervariasi. Ia menggabungkan empat modul bateri 48-volt dalam satu pakej, namun jika lebih kuasa diperlukan, dua modul akan bergabung bagi beroperasi sebagai sistem 96-volt.
Mazda menerangkan dalam fail paten berkenaan, rekaan ini dapat menghasilkan sistem yang ringan untuk sebuah kereta sports yang mempunyai satu enjin pembakaran dalaman, tiga motor elektik dan juga satu modul bateri hibrid.
Adakah dengan terdedahnya fail paten ini kita boleh menjangkakan Mazda bakal menghasilkan semula kereta sport Rotary bagi menyambung legasi RX-2, RX-3, RX-4,RX-7 dan dan RX-9 sebelum ini? Sebenarnya ini bukan kali pertama Mazda memfailkan rekaan-rekaan yang mengujakan seperti ini.
Sebelum ini Mazda pernah memfailkan paten untuk rekaan hampir seperti ini di Jepun, serta memfailkan paten enjin Wankel Rotary Turbo generasi baharu yang dijangka akan digelar sebagai enjin SkyActiv-R. Malah Mazda turut pernah mendedahkan model konsep yang digelar RX-Vision ketika berlangsungnya Tokyo Motor Show 2015, membayangkan rupa sebuah kereta sport Rotary generasi baharu.
Namun hakikatnya dengan keadaan syarikat buat masa sekarang, Mazda mengakui ia masih belum mampu untuk menghasilkan kereta sport dengan enjin Rotary kerana pelaburan yang perlu dikeluarkan sangat tinggi dan ia tidak boleh dijual dalam jumlah yang banyak seperti model-model penumpang biasa.
Penolong pengurus divisi pembangunan rangkaian kuasa Mazda, Yoshiaki Noguchi dalam laporan Autocar Januari lalu menyatakan bahawa jurutera-jurutera Mazda masih ‘mengidam’ untuk menghasilkan kereta sport Rotary, tetapi sekarang bukan masanya.
“Apabila situasi syarikat lebih baik [berkaitan dengan melengkapkan pelancaran model-model elektriknya], kami boleh fikirkan impian tersebut sekali lagi,” katanya.
Awal tahun ini Mazda telah memperkenalkan semula enjin Wankel Rotary pada model produksinya. Namun enjin generasi baharu yang dikenali dengan kod 8C, menampilkan hanya satu rotor berkapasiti 830 cc tersebut hanyalah sebagai enjin penambah jarak pada crossover hibrid PHEV Mazda MX-30 R-EV.
Enjin rotary 8c itu berfungsi hanya untuk mengecas bateri lithium ion seperti tugas “generator pasar malam”, manakala MX-30 R-EV tersebut bergerak sepenuhnya dipacu motor elektrik.
Namun menerusi enjin berkenaan, Mazda telah membuat pelbagai pembaharuan termasuk memberikan sistem suntikan bahan api terus, menggunakan bahan aluminium untuk binaan perumah rotor serta apex seal pada setiap bucu rotor direka lebih tebal dengan ukuran 2.5 mm bagi mengatasi masalah apex seal yang selalu ‘bocor’ pada enjin-enjin rotary sebelum ini.
Jadi untuk masa terdekat, Mazda mungkin tidak akan muncul dengan model produksi kereta sport yang dipacu oleh enjin Wankel Rotary. Walau bagaimanapun, impian jurutera-jurutera Mazda untuk menghasilkan model sedemikian tidak pernah luntur seperti yang disebut oleh Noguchi.
Sebab itulah Mazda akan terus membuat penambahbaikkan pada enjin Wankel Rotary tersebut apabila berpeluang, dan sentiasa menghasilkan pelbagai paten supaya apabila “tiba masanya” nanti, idea-idea tersebut boleh terus dipakai tanpa bermula dari awal.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.