VIDEO: Ulangtahun ke-50 enjin Wankel Rotary Mazda

Pada 30 Mei 1967, Mazda Cosmo Sport (dikenali juga sebagai 110S untuk pasaran eksport) dilancarkan di Jepun secara rasmi. Model berkenaan bukan sahaja kereta sport pertama dari Mazda, malah ia juga merupakan model pertama yang diberikan enjin Wankel Rotary.

Mazda membawa teknologi berkenaan ke peringkat produksi setelah menandatangani perjanjian bersama NSU, pembuat kereta dan motosikal dari Jerman yang membangunkan enjin rotary rekaan juruteranya – Dr Felix Wankel – dan setelah Mazda sendiri berjaya menyelesaikan masalah mampatan pada kebuk pembakaran dengan menghasilkan ‘apex seal‘ baharu pada setiap sudut rotor.

Semalam, genap 50 tahun enjin rotary wankel Mazda berada dalam pasaran. Dengan ciri unik yang diberikan enjin tersebut – saiz yang sangat kompak, respon yang begitu pantas, bunyi yang mengujakan dan mampu mencapai rpm yang tinggi dengan hanya pengubahsuaian mudah – ia jelas menjadi salah satu keseronokan dalam dunia automotif pada kelasnya yang tersendiri.

Cosmo Sport menjadi pencetus kepada model-model sport rotary Mazda yang lain selepas itu dengan Mazda R100 dan diikuti siri RX selepasnya iaitu Capella RX-2, RX-3, RX-4, SA22 RX-7, FC3S RX-7, FD3S RX-7, dan yang terakhir, RX-8 – dihentikan pengeluarannya setelah enjin rotary tidak lagi mampu memenuhi piawaian emisi di Eropah.

VIDEO: Ulangtahun ke-50 enjin Wankel Rotary Mazda

Mazda turut membuktikan kehebatan enjin rotary ini di litar perlumbaan seluruh dunia. Mazda RX-7 SA22 misalnya, ia telah mendominasi perlumbaan IMSA Amerika Syarikat dalam kelasnya pada era 80’an. Kejayaan terbesar Mazda hadir menerusi jentera 787B dalam perlumbaan Le Mans 24 Jam pada tahun 1991.

Jentera perlumbaan yang diberikan enjin rotary empat-rotor 2.6 liter berkuasa 710 hp tersebut telah menjadi juara perlumbaan endurance terulung berkenaan, seterusnya mencatatkan rekod sebagai enjin tanpa omboh pertama serta jenama dari Asia pertama dinobatkan sebagai juara.

Mazda mendakwa semangat mereka dalam meneroka sesuatu yang berlainan ini telah mendorong mereka mempelopori pula barisan teknologi-teknologi Skyactiv (terdiri dari teknologi badan kerangka ringan, unit janakuasa, dan juga platform) yang terdapat pada model-model terbaharu mereka.

Walau bagaimanapun, sebelum ini Mazda mengesahkan bahawa model konsep siri kereta sport rotary generasi baharu mereka iaitu RX-Vision tidak akan dijelmakan dalam bentuk produksi (walaupun mereka telah mempatenkan enjin rotary turbo baharu yang mungkin dijenamakan sebagai Skyactiv-R), sebaliknya teknologi rotary ini akan diteruskan pada kenderaan hibrid dan bertindak sebagai enjin penambah jarak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required