Hari Bebas Kenderaan PJ untuk edisi tahun 2023 bakal dilaksanakan pada Ahad ini, 28 Mei, bertempat di Laman MBPJ, Seksyen 52. Untuk menjayakan pelbagai acara yang telah diaturkan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengumumkan beberapa jalan di sekitar PJ akan ditutup.
Menurut MBPJ, penutupan jalan membabitkan lokasi program iaitu di sepanjang Jalan Yong Shook Lin iaitu bermula dari IJM Land hingga Menara Choy Fook On pada tarikh berkenaan dari jam 6 pagi hingga 12 tengahari.
Manakala penutupan sebelah jalan berperingkat turut dilaksanakan bagi menjayakan salah satu programnya iaitu PJ Fun Purple Walk. Acara larian ini akan bermula di Laman MBPJ dan melalui Jalan Selangor-Jalan Sultan-Jalan Penchala-Jalan Templer-Jalan Selangor-Jalan Sultan-Jalan Yong Shook Lin dan tamat di Laman MBPJ. Penutupan jalan terbabit adalah secara berperingkat dari jam 6 pagi hingga 9 pagi.
Untuk acara Hari Bebas Kenderaan PJ ini, orang ramai berpeluang menyertai pelbagai acara yang dianjurkan, selain bebas untuk berlari, berbasikal dan meluncur di jalan raya yang bebas dari laluan trafik, sepanjang pentupan jalan pada waktu yang ditetapkan.
Selain PJ Fun Purple Walk, acara lain yang turut dianjurkan termasuklah pertandingan lato-lato, pertandingan memasak, pertandingan mewarna, permainan tradisional, Teater Bangsawan, zumba, jualan barangan terpakai, saringan kesihatan dan banyak lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.