Proton telah mengumumkan bahawa jualannya untuk bulan Mei meningkat semula selepas permulaan yang perlahan pada suku kedua tahun 2023. Menerusi gabungan bagi pasaran domestik dan eksport, pengeluar kereta nasional ini telah menjual sebanyak 13, 268 unit pada bulan lalu, sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 40.9% berbanding bulan April, serta 35.5% lebih tinggi daripada yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Bagi lima bulan pertama tahun ini, Proton telah mencatatkan jualan mencecah 62,970 unit, dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 38.9%, sekaligus mencatatkan penumbuhan tertinggi bagi mana-mana jenama dalam pasaran automotif Malaysia.
Sementara itu, Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan meningkat semula sebanyak 32.2% pada bulan Mei, dengan jualan 61,600 unit dan hasilnya, pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 21.5% untuk bulan tersebut dan 20.9% untuk tahun ini.
Proton turut berkata, pada bulan lalu juga, pihaknya telah memasuki pasaran eksport baharu iaitu pasaran pertamanya untuk tahun 2023 dan ke-12 secara keseluruhan, dengan memasarkan SUV X70 dan X50 di Mozambique.
Selain memasuki pasaran baharu, bulan Mei juga merupakan bulan terbaik untuk jualan eksport setakat ini untuk tahun 2023 dengan 217 unit dihantar kepada pengedar antarabangsa, yang didahului oleh model Saga. Sorotan pasaran eksport lain untuk bulan itu termasuk jualan 50 unit di Brunei, yang merupakan bulan jualan terbaik di pasarannya, melebihi 43 unit yang dijual pada bulan April 2021
Bagi jualan keseluruhan, Saga turut mengekalkan kedudukannya sebagai model terlaris dengan 5,819 unit terjual pada bulan Mei. Pencapaian itu meletakkannya di tempat kedua secara keseluruhan untuk sedan segmen A dengan 27,214 unit terjual setakat ini, peningkatan yang luar biasa sebanyak 51% berbanding tahun sebelumnya.
Tambah Proton, terdapat tiga modelnya yang masih menerajui jualan keseluruhan segmen iaitu
X50 yang terus mendahului segmen-B dan keseluruhan SUV dengan 2,801 unit terjual pada bulan Mei. Selain itu, Persona pula kekal di tangga teratas sedan segmen-B, walaupun is menduduki tempat kedua untuk jualan dengan 2,290 unit. Manakala MPV Exora pula mencapai 440 jualan untuk kekal di tangga teratas pasaran MPV segmen-C.
Pertumbuhan jualan YTD bagi tiga peneraju segmen ialah 31% untuk X50, Persona mencapai 78% dan 39% bagi Exora, membuktikan permintaan untuk model Proton kekal kukuh walaupun ada saingan daripada pesaing baharu. Selain itu, Iriz pula mencatatkan jualan sebanyak 732 unit pada bulan lalu, sekaligus membantu Proton mencapai peningkatan sebanyak 47% dalam jualan YTD.
Bagi X70 pula, ia telah mencatatkan jualan sebanyak 929 unit pada Mei lalu, manakala X90 yang serba baharu menamatkan tiga minggu pertamanya dengan 257 unit terjual, yang meletakkannya di tempat kedua dalam pasaran SUV segmen-D.
“Bulan Mei tidak dapat dilupakan oleh Proton bukan sahaja dari segi pencapaian jualan tetapi juga kerana kami melancarkan Proton X90 dan meraikan ulang tahun ke-40 pada bulan yang sama. Kami berasa rendah diri dengan angka yang dipaparkan dan peningkatan 40% dalam jualan adalah ganjaran yang adil untuk usaha kami, tetapi masih ada tujuh bulan lagi bagi tahun 2023 dan syarikat sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak lagi.
“Syarikat juga akan mengadakan lebih banyak pelancaran produk baharu dan memperkenalkan kemas kini kepada model kami yang sedia ada serta membuat penampilan pertama kami dalam pasaran EV melalui anak syarikat kami Pro-Net, jadi terdapat banyak aktiviti untuk sepanjang tahun 2023,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.