GALERI: Proton Iriz Active dan Persona Premium facelift 2022 sebelah menyebelah – gaya lebih segar

GALERI: Proton Iriz Active dan Persona Premium facelift 2022 sebelah menyebelah – gaya lebih segar

Proton Iriz dan Persona facelift 2022 telah pun dilancarkan pada Ogos lalu – ketika itu kebanyakkan negeri masih lagi berada dalam Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), jadi jangankan nak pandu uji, nak ke bilik pameran untuk kami ambil gambar kedua-dua model ini juga masih tidak boleh.

Sekarang semakin banyak negeri sudah pun berada di Fasa 3 dan 4 PPN. Oleh itu, kehidupan sudah mula kembali hampir normal dan kami sudah dibenarkan semula untuk mengambil unit-unit pandu uji. Nah, ini dia kami sediakan satu set galeri khas untuk anda bagi membandingkan secara sebelah menyebelah pasangan sedan dan hatchback segmen-B Proton ini dalam varian tertinggi, iaitu Proton Iriz Active dan Persona Premium facelift 2022.

Untuk Iriz Active, ia dijual pada harga atas jalan RM54,800, manakala Persona Premium pula dijual pada harga RM55,800. Harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, tetapi sudah termasuk pengecualian cukai 100% untuk model-model pemasangan tempatatan (CKD) yang sedang berjalan sehingga 31 Disember ini.

GALERI: Proton Iriz Active dan Persona Premium facelift 2022 sebelah menyebelah – gaya lebih segar

Mungkin ada lagi yang belum tahu, Iriz dan Persona ini merupakan kereta yang sama, berbeza hanya pada bahagian belakang. Proton menghasilkan Iriz terlebih dahulu sebagai sebuah hatchback, kemudian disusuli dengan Persona dengan hanya menambah bahagian but belakang bagi menjadikan ia sebuah sedan. Sebab itulah, rupa asas Persona ini seakan ada yang tidak kena.

Dalam dua versi sebelum ini, Iriz dan Persona diberikan muka yang lebih tersendiri antara satu sama lain – Iriz 2014 diberikan lampu hadapan lebih besar manakala Persona 2016 menerima lampu hadapan lebih tirus. Namun untuk facelift MC1 2019, Iriz sudah mula menggunakan lampu hadapan yang sama dengan Persona, tetapi kedua-duanya masih dibezakan dengan rekaan bampar dan juga gril.

Bagi versi facelift MC2 2022, nampaknya Iriz dan Persona sudahpun berkongsi lampu, gril dan juga bampar, tetapi hanya dibezakan dengan berberapa kemasan kecil. Bagi model tingkat taraf terkini ini, kedua-dua hatchback dan sedan berkenaan menerima gril infinite weave menampilkan elemen rekaan sama dengan Proton X50, bersama bampar dengan apron yang lebih agresif, juga hampir seperti X50.

Iriz diberikan lebih perincian menyerupai X50 dimana jalur di atas lampu dan gril menerima kemasan hitam berkilat, manakala jalur bawah gril pula datang dengan kemasan merah. Tetapi untuk Persona, kesemua bahagian yang sama diberikan kemasan krom. Kedua-duanya model ini sudahpun menerima logo ‘kepala harimau’ baharu Proton dengan latar belakang bulat sepenuhnya.

Namun pada bahagian belakang, Iriz dan Persona facelift 2022 hanya diberikan sedikit perubahan. Untuk Iriz, perubahan yang dilihat hanyalah jalur kemasan pada bahagian panel diffuser yang ditukar dari krom/hitam berkilat sebelum ini kepada merah. Manakala pada Persona, lampunya kini telah digelapkan sedikit.

Bagi Iriz, kini tiada lagi varian 1.6 Premium di mana model tertinggi tersebut kini digantikan dengan varian ala-SUV yang digelar 1.6 Active. Ia menampilkan kemasan yang membuatkan rupanya lebih lasak yang terdiri dari rel bumbung, dan pelindung plastik sekeliling badan di kesemua ruang roda dan bendul sisi, serta bahagian bawah bampar hadapan dan belakang diberikan kemasan seakan skid plate.

Iriz Active ini juga menerima lampu hadapan LED (tiada pada model Executive dan Standard), gril bampar dengan elemen sarang lebah serta kemasan hitam berkilat pada bumbung dan spoiler belakang bagi melengkapkan tema dua-tona. Model Active dan Executive pada Iriz kini diberikan rim bersaiz 16-inci (kedua-duanya berlainan corak), dan model Standard juga sudah pun dipadankan dengan rim aloi 15-inci.

Pada bahagian dalaman, Iriz dan Persona menerima panel konsol tengah yang direka semula membolehkan skrin infotainmen berdiri sendiri yang lebih besar bersaiz lapan-inci diberikan (tujuh-inci sebelum ini).

Bagi model Iriz Active dan Persona Premium, sistem infotainmen pada skrin tersebut kini telah menggunakan Geely Key User Interface (GKUI) dan eSIM membolehkan ia memberi fungsi navigasi online, streming muzik, hubungan Wi-Fi serta sistem arahan suara “Hi, Proton” yang turut sudah boleh mengoperasikan tingkap pemandu dan sistem pendingin hawa.

Proton Iriz Active (kiri) dan Persona Premium 2022 (kanan)

Rekaan semula terhadap konsol tersebut turut menampilkan liang pendingin hawa tengah yang kini direka melintang. Manakala di bawahnya terdapat panel kawalan pendingin hawa dengan skrin digital, serta suis kawalan dengan butang seperti kekunci piano. Konsol terowong juga menerima rekaan baharu yang lebih tinggi, serta menampilkan pemegang cawan rekaan baharu dan kini sudahpun dilengkapi dengan perehat tangan tengah.

Perincian lain yang turut berubah termasuk susunan suis penderia parkir hadapan dan sistem kestabilan elektronik (juga diletakkan bersama butang mod ECO baharu) yang kini berada di hadapan tuil gear, serta tiga port USB (satu untuk data) diletakkan di bawah konsol tengah serta satu lagi port USB berhampiran cermin pandang belakang untuk memudahkan kamera perakam digital dipasang.

Lampu kabin turut telah ditukar dengan lampu peta menggunakan LED yang diambil dari Saga 2019, manakala unit beg udara pada stereng juga telah ditukar menampilkan logo baharu Proton.

Sama seperti sebelum ini, bahagian dalaman Iriz dan Persona dibezakan dengan tema warna. Iriz diberikan tema hitam keseluruhannya termasuk pada tempat duduk dan juga pelapik bumbung. Namun bagi varian Active, ia ditambah dengan serlahan-serlahan merah pada benang jahitan, kemasan-kemasan pada papan pemuka dan konsol terowong, serta sulaman logo Active pada perehat belakang tempat duduk hadapan dan kesemua panel pintu.

Proton Iriz Active (kiri) dan Persona Premium 2022 (kanan)

Varian tertinggi untuk Iriz ini juga diberikan tali pinggang keledar merah, balutan gandingan fabrik dan kulit sintetik pada tempat duduk, serta set pedal aluminium. Manakala bagi Persona Premium, pelapik bumbung masih kekal berwarna kelabu, dengan kemasan-kemasan perak pada papan pemuka, manakala tempat duduk kini kelihatan lebih mewah dengan balutan kulit sintetik berwarna perang seperti pada Proton X70.

Persona kekal ditawarkan dengan hanya enjin 1.6 liter, tetapi kini model asas Persona Standard tidak lagi ditawarkan dengan kotak gear manual lima kelajuan. Bagi Iriz pula, varian Active dan Executive ditawarkan dengan enjin 1.6 liter, manakala model yang dijana oleh enjin 1.3 liter kini hanya boleh dipilih dalam varian Standard. Tiada lagi Iriz 1.3 Executive, dan model 1.3 Standard tidak lagi ditawarkan dengan kotak gear manual.

Bagi model-model 1.6L, kedua-dua hatchback dan sedan ini menerima enjin petrol empat silinder S4PH 1.6 liter VVT berkuasa 109 PS dan tork maksima 150 Nm. Manakala Iriz 1.3 Standard pula digerakkan dengan enjin S4PE 1.3 liter VVT berkuasa 95 PS dan tork maksima 120 Nm. Kedua-dua enjin ini juga masih digandingkan dengan kotak gear automatik CVT Punch.

Anda boleh membaca spesifikasi penuh semua varian Proton Iriz facelift MC2 2022 pada PAUTAN INI, dan spesifikasi penuh untuk semua varian Persona Premium pada PAUTAN INI. Kami juga telah menyiarkan artikel pandu uji terhadap Proton Iriz Active yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.

GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022

GALERI: Proton Persona 1.6 Premium 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required