Ketika majlis menandatangani kerjasama bersama Aapico sebentar tadi, CEO Proton Dr Li Chunrong ada menyatakan bahawa syarikatnya kini sedang membangunkan sebuah model sedan baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Dalam ucapan tersebut Dr Li merujuk sedan berkenaan dengan kod dalaman SS11. Sebelum ini Geely pernah menggunakan kod yang sama bagi merujuk sedan segmen-B baharunya untuk pasaran China, yang kemudiannya dikenali sebagai Geely Emgrand generasi keempat dan telah dilancarkan di sana pada 2021.
Malah Proton juga telah beberapa kali dilihat menguji sebuah sedan yang mirip dengan Emgrand di atas jalan raya awam di Malaysia akhir-akhir ini. Malah dalam imej intipan terbaharu prototaip berkenaan, ia nampaknya sudah pun dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan serta mengenakan gril signatur infinite weave Proton.
Belum ada pengumuman rasmi dari Proton bahawa model ini akan digelar sebagai Proton S50. Namun SS11 ini kerap dirujuk sebagai S50 selepas Proton dilihat mendaftarkan nama tersebut di di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 2019.
Di pasaran China dan Filipina, Emgrand dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder tanpa pengecas turbo, digandingkan dengan kotak gear CVT – perincian setara yang membolehkan ia bertanding dengan model seperti Vios dan City. Tetapi untuk pasaran Malaysia kelak, S50 dijangka bakal dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa digandingkan dengan kotak gear DCT tujuh kelajuan.
Ini kerana setakat ini Proton tidak membayangkan akan menggunakan enjin 1.5L NA dari Geely berkenaan untuk mana-mana model baharu, sebaliknya menyatakan enjin 1.5L Turbo yang kini sudahpun dipasang di Tanjung Malim akan menjadi enjin utama untuk model-model baharunya yang akan dilancarkan pada 2023 dan 2024.
Enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo serta dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut akan menggantikan tugas enjin 1.6 liter Campro Turbo sebelum ini yang telahpun ditamatkan terus pembangunannya.
Emgrand juga mempunyai kelebihan dari segi saiz berbanding model segmen-B lain. Ia menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm. Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton yang sudah tidak lagi ditawarkan iaitu Proton Preve.
Jadi ada kemungkinan S50 ini akan menjadi model yang menggantikan Preve – harga yang ditawarkan seperti model-model segmen-B Jepun, tetapi ia hadir dengan perincian seperti model segmen-C. Malah dalam imej-imej intipan sebelum ini juga S50 dilihat diberikan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan dan trade plate yang digunakan pada bahagian hadapan mempunyai lubang empat segi yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter.
Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, ini menunjukkan S50 mungkin bakal dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong. Sistem ini juga tidak ditawarkan pada Emgrand pasaran China dan Filipina.
Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala sedan segmen-B Proton Persona yang masih ditawarkan di bilik pameran dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.
Jadi kami jangkakan varian paling rendah untuk Proton S50 ini kelak mungkin boleh dijual bermula RM60k untuk varian paling asas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Kalau c segment,and guna 3cyl tgdi.civic,altis will he s50 nasi lemak je la