Enjin 1.5L Turbo akan jadi enjin utama pada model-model baharu Proton – sedan & SUV X90 selepas ini?

Enjin 1.5L Turbo akan jadi enjin utama pada model-model baharu Proton – sedan & SUV X90 selepas ini?

Selain dari membawa media melihat sendiri fasiliti terbaharunya di Tanjung Malim, Perak yang kini memasang enjin tiga-silinder 1.5L Turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI) secara tempatan, Proton turut mengumumkan bahawa ia turut akan mula memasang enjin dari keluarga yang sama tetapi dalam versi dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (PFI) di barisan produksi yang sama.

Enjin 1.5 Turbo PFI berkenaan kini boleh ditemui dalam perut Proton X50 varian Premium, Executive dan Standard; berbanding versi T-GDI pada X50 Flagship dan X70 MC 2022 yang mampu menghasilkan 177 PS/255Nm, enjin 1.5 Turbo PFI ini hanya menjana 150 PS/226 Nm. Dua varian berbeza ini membolehkan Proton meletakkan enjin berkenaan masing-masing pada model lebih premium dan juga model yang lebih mampu milik.

Ketika berucap di majlis lawatan media ke kilang enjin berkenaan pagi tadi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah turut menyatakan bahawa kedua-dua enjin 1.5L Turbo ini akan menjadi enjin utama untuk Proton bagi model-modelnya yang akan datang – dan perancangan paling hampir, Proton bakal melancarkan tiga model baharu dalam tempoh 2023 hingga 2024, serta sekurang-kurangnya dua dari tiga model berkenaan akan menggunakan enjin tiga-silinder baharu ini.

Enjin 1.5L Turbo akan jadi enjin utama pada model-model baharu Proton – sedan & SUV X90 selepas ini?

Unit ujian Proton X90 yang dilihat semakin kerap diuji

Apa yang kami faham setakat ini, Proton sudahpun ada dua model yang bakal dilancarkan pada tahun hadapan, dan kedua-duanya berkemungkinan besar akan menggunakan enjin berkenaan iaitu SUV tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari Geely Haoyue/Okavango yang bakal digelar Proton X90, serta sebuah sedan baharu yang akan menerima sentuhan rekaan luaran dan dalaman sepenuhnya dari Proton sendiri.

Bagi Proton X90, ia sebelum ini dirancang akan dilancarkan pada tahun ini, dan unit-unit ujiannya juga kelihatan kerap diuji di atas jalan raya awam di Malaysia. Namun disebabkan pelbagai masalah yang disebabkan pandemik Covid-19 termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kekurangan bekalan cip semikonduktor yang menyebabkan banyak tempahan pelanggan tertangguh, pelancaran X90 juga terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan.

Di China, Geely Haoyue ditawarkan dengan enjin 1.8 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, sama seperti Proton X70 1.8 TGDI di sini. Namun di Filipina SUV tersebut dikenali sebagai Geely Okavango, diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm, dan dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

Enjin 1.5L Turbo akan jadi enjin utama pada model-model baharu Proton – sedan & SUV X90 selepas ini?

Enjin 1.5L TGDI dengan sistem hibrid ringkas BSG yang dipamerkan di Galeri Inspirasi, Pusat Kecemerlangan Proton

Ada kemungkinan, Proton X90 bakal dijana oleh enjin 1.5 liter TGDI. Namun menurut Proton dalam majlis siang tadi, fasiliti baharu mereka di Tanjong Malim ini turut tidak mempunyai masalah untuk memasang enjin 1.5L Turbo dengan sistem hibrid ringkas tersebut.

Malah apa yang menarik, unit rangkaian kuasa hibrid ringkas berkenaan telah pun dipamerkan di Galeri Inspirasi, yang terletak di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang. Proton menamakan unit rangkaian kuasa berkenaan sebagai 1.5L TGDI dengan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG). Menurut maklumat yang diberikan Proton, unit 1.5L TGDI dengan BSG tersebut menghasilkan kuasa yang sama seperti enjin 1.5L TGDI. Jadi tidak mustahil, Proton X90 ini mungkin model pertama Proton yang akan dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid.

Bagi sedan yang dikhabarkan sedang dibangunkan oleh Proton pula, ia berkemungkinan akan diasaskan dari Geely Emgrand. Namun berbanding model X70 dan X50 yang diberikan rekaan seiras dengan kembarnya di China dan hanya diberikan perubahan kecil seperti gril, sedan baharu Proton ini dikatakan akan menampilkan rekaan luaran dan dalaman yang lebih tersendiri dan hanya menggunakan platform B-Segment Modular Architecture (BMA, juga sama dengan asas platform X50) dan sistem mekanikal yang sama dengan Emgrand.

Enjin 1.5L Turbo akan jadi enjin utama pada model-model baharu Proton – sedan & SUV X90 selepas ini?

Geely Emgrand pasaran China – sedan baharu dari Proton nanti mungkin menampilkan rupa yang jauh berbeza, direka sendiri oleh Proton di Malaysia

Ini adalah berdasarkan laporan sebelum ini yang mengesahkan bahawa Proton bakal membangunkan model secara tempatan menggunakan platform BMA, dan sudah pun menerima kelulusan untuk menggunakan enjin 1.5L Turbo untuk disumbatkan pada model berkenaan.

Jika dilihat pada saiz Emgrand, Ia menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm. Walaupun dikelaskan sebagai sedan segmen-B, dimensi Emgrand ini sebenarnya adalah menghampiri saiz sebuah sedan segmen-C.

Jadi ada kemungkinan, sedan tersebut bukan sahaja akan tampil sebagai model gantian kepada Proton Persona sedia ada, malah varian tertingginya mungkin akan menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Proton Preve dengan kelengkapan sebuah sedan segmen-C termasuk enjin 1.5 liter turbo tersebut, dalam masa yang sama dijual pada julat harga sebuah sedan segmen-B.

Sebelum ini juga Proton ada menyebut bahawa mereka kini masih dalam perbincangan untuk menghasilkan Proton Exora yang diberikan kemaskini besar, termasuk dipadankan dengan enjin 1.5L Turbo berkenaan bersama kotak gear DCT tujuh-kelajuan. Proton juga telah sebelum ini mengesahkan bahawa pembangunan untuk semua varian enjin Campro S4PE (1.3L) dan S4PH (1.6L) termasuk versi turbo Campro CFE sudah pun berada di penghujung, dan akan ditamatkan pengeluarannya secara berperingkat.

GALERI: Kilang pemasangan enjin Proton 1.5L T-GDI di Tanjung Malim

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required