Art of Speed 2023: Proton ‘Wira Schumacher’ 1.8 EXi DSR kembali jadi kereta rali dengan livery Shell Helix

Art of Speed 2023: Proton ‘Wira Schumacher’ 1.8 EXi DSR kembali jadi kereta rali dengan livery Shell Helix

Kisah Proton Wira 1.8 EXi DOHC yang dipandu oleh Micheal Schumacher dengan kelajuan 236 km/j rasanya tak perlu lagi kami ceritakan. Kisah ini sudahpun tular sejak penulis berada di bangku sekolah, disiarkan menerusi artikel-artikel akhbar.

Kalau anda masih belum tahu kisah tersebut, bolehlah dengar dari mulut pemilik Wira itu sendiri iaitu Suriya Sankaran menerusi video YouTube yang disiarkan oleh saluran Dream Street Restoration (DSR) pada PAUTAN INI. Dan kalau anda nak tengok sendiri ‘Wira Schumacher’ tersebut, ianya kini dipamerkan di Art of Speed (AOS) 2023 yang bakal dibuka kepada orang awam esok!

Wira ini diletakkan di reruai DSR yang berada dalam No Equal Motorsport Showcase di Dewan C Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) Serdang. Kenapa DSR? Ini kerana Suriya Sankaran merupakan pengasas pakar restorasi model-model Proton berkenaan yang kini diuruskan bersama anak lelakinya, Dharveen Suriya.

Sebenarnya sudah lama Wira ini tidak diberikan livery perlumbaan. Namun memandangkan reruai DSR diletakkan di Motorsport Showcase yang mempamerkan kereta-kereta lumba sebenar, Suriya mengambil keputusan untuk mengembalikan semula Wira tersebut sebagai sebuah kereta rali sebenar.

Art of Speed 2023: Proton ‘Wira Schumacher’ 1.8 EXi DSR kembali jadi kereta rali dengan livery Shell Helix

Anda mungkin tahu sebelum menubuhkan DSR, Suriya pernah berkhidmat dalam sayap perlumbaan Proton iaitu Proton R3. Namun sebelum itu, Suriya sebenarnya merupakan pelumba Kejohanan Rali Malaysia dari penghujung era 90’an hingga awal era Y2K dengan memandu Proton Wira ‘tiang gol’ ini.

Dan apa yang lebih menarik, Suriya adalah peserta privateer, dan Proton Wira ini bukan hanya digunakan untuk berlumba rali, malah kereta ini merupakan kenderaan hariannya untuk ke tempat kerja dan sebagai pengangkutan utama keluarganya!

Wira berkenaan dibeli baru oleh Suriya pada tahun 1996, dan dia menyatakan ia dibeli kerana Wira 1.8 tersebut memang kereta idamannya. Seperti yang kita tahu, Proton Wira 1.8 EXi DOHC ini dibina sebagai model ‘homologation special’ yang telah didaftar oleh Proton kepada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan dihasilkan hanya 2,500 unit untuk tujuan tersebut.

Jadi sebaik sahaja keluar dari bilik pameran, anda hanya perlu pasangkan rollcage dan tukarkan suspensi yang lebih sesuai, Wira 1.8 ini sememangnya sudah layak untuk menyertai kelas Group N dalam mana-mana perlumbaan rali seliaan FIA.

Dan itulah yang dilakukan oleh Suriya – kereta yang dibeli untuk kegunaan harian tersebut dipasangkan dengan rollcage, tukar suspensi dan tayar, dilengkapi sumpguard untuk melindungi bahagian bawah enjin serta menerima ubahsuai ringan lain seperti proses port & polish pada kepala silinder, kemudian ia sudah bersedia untuk mengharungi laluan batu kerikil paaa SS rali.

Suriya mula berlumba dalam Kejohanan Rali Malaysia bermula pada musim 1997 hingga 2001, dan menentang pelumba nama-nama besar dalam negara seperti Saladin Mazlan dan Karamjit Singh yang memandu untuk pasukan-pasukan besar dalam negara ketika itu.

Walaupun tidak sepantas pasukan-pasukan besar, Suriya mempamerkan keputusan yang konsisten dan berada dalam kelompok atas pungutan mata kejohanan. Pada tahun 1999, Suriya menerima tajaan sepenuhnya dari majikannya iaitu Shell untuk berlumba sepanjang musim berkenaan.

Dan yang paling manis, pada Kejohanan Rali Malaysia 1999 tersebut, Suriya menang tiga dari empat pusingan untuk kategori Group N. Dan walaupun dia tidak menyertai pusingan terakhir kerana kekurangan dana, mata yang telah dikutip dalam tiga pusingan sebelum itu sudah cukup untuk membolehkan Suriya dinobatkan sebagai juara keseluruhan Group N musim 1999!

Livery Shell Helix yang digunakan oleh Suriya di AOS ini adalah versi yang digunakan pada musim 1999 tersebut, memaparkan nama juru arahnya ketika itu iaitu Allahyarham Muhammad Al-Zubaidy. Ia menampilkan grafik yang sama digunakan oleh kereta lumba Ford Falcon Dick Johnson Racing dalam perlumbaan Kejohanan Touring Car Australia era 90’an.

Selain itu ia turut ditambah dengan beberapa perincian kecil seperti airbrush tandatangan Micheal Schumacher pada penutup hud depan, yang diambil dari sampel sebenar tandatangan Schumi pada pelapik bumbung Wira ini selepas beliau memandu ujinya dahulu.

Selain dari Wira Schumacher ini, DSR turut membawa dua lagi jentera yang sukan permotoran bersejarah ke AOS tahun ini iaitu model konsep Proton Satria Neo S2000 yang dihasilkan oleh Proton R3 dan menerima sentuhan restomod dari DSR, serta Proton Putra WRC Concept – replika kereta WRC Proton yang pernah dihasilkan oleh firma kejuruteraan British, Prodrive satu ketika dahulu.

Khas untuk AOS 2023 ini juga DSR turut menawarkan diskaun 20% untuk komponen-komponen prestasi Proton keluarannya yang dibawa seperti komponen casis tingkat taraf untuk model-model Proton C99 (Wira 1.8 Limited, Satria GTi dan Putra), kit badan Satria Neo, komponen material plastik diperkukuh gentian karbon kevlar (CFKRP) seperti bumbung Putra dan bonet hadapan Satria Neo, set pedal aluminium, tombol gear Delrin dan banyak lagi.

GALERI: Koleksi gambar dan keratan akhbar peribadi Suriya Sankaran untuk Proton Wira Schumacher 1.8 EXi

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required