Art of Speed 2023: Proton Putra WRC Concept oleh DSR – jelmaan jentera Putra WRC oleh Prodrive?

Art of Speed 2023: Proton Putra WRC Concept oleh DSR – jelmaan jentera Putra WRC oleh Prodrive?

Proton Putra WRC binaan Prodrive kini bukan lagi rahsia. Terlalu banyak gambar yang tular dan ia telah diisytihar sebagai harta kekal Proton Motorsports serta diperakui oleh Prodrive bahawa ia adalah projek yang dibuat oleh firma kejuruteraan British yang turut bertanggungjawab membina jentera-jentera WRC untuk Subaru itu.

Dan ini, mungkin anda tidak pernah lihat lagi – pakar restorasi Proton, Dream Street Restoration (DSR) telah membawa sebuah replika Putra Prodrive WRC yang digelar Putra WRC Concept ke Art of Speed (AOS) 2023 yang bakal dibuka kepada orang awam esok!

Anda boleh lihat Putra yang dipamerkan di reruai DSR yang berada dalam No Equal Motorsport Showcase di Dewan C Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) Serdang ini, ia menampilkan kit badan yang sangat-sangat serupa dengan Putra WRC sebenar.

Ia diberikan ruang roda yang lebih lebar pada keempat-empat sudut, bersama bampar hadapan dengan liang udara besar pada sebelah tengah, bampar belakang yang lebih sesuai dengan badan yang lebih lebar serta spoiler bersaiz gergasi pada but belakang yang agak seiras dengan spoiler Subaru Impreza WRCar 1997.

Art of Speed 2023: Proton Putra WRC Concept oleh DSR – jelmaan jentera Putra WRC oleh Prodrive?

Bumbung logam Putra ini telah digantikan dengan bumbung dari material plastik diperkukuh gentian karbon kevlar (CFKRP) – ia dihasilkan sendiri oleh DSR, dan bumbung ini sememangnya dijual oleh DSR untuk pemilik-pemilik Putra di luar sana. Ia juga menerima skup bumbung dan liang udara penutup bonet depan yang turut diperbuat dari gentian CFKRP yang sama.

Replika ini tidak menerima rim O.Z Racing 18-inci seperti jentera WRC sebenar, sebaliknya ia dipadankan dengan rim 17-inci dari Advanti. Untuk pengetahuan anda, Advanti adalah pengeluar rim aloi ringan dari Malaysia yang sebelum ini membekalkan rim-rim istimewa untuk Proton R3, dan DSR turut menjadi pengedar rasmi untuk rim jenama Advanti ini.

Bagi memastikan stance kereta ini nampak seperti sebuah jentera rali yang bersedia menawan SS permukaan tar seperti Rally Monte Carlo atau Rallye San Remo, ia dipadankan dengan penyerap hentak boleh laras sepenuhnya dari Fawster Motorsport, yang juga vendor casis dan suspensi untuk DSR.

Jika Putra WRC sebenar sehingga kini masih belum mengenakan sebarang livery perlumbaan, replika yang dihasilkan oleh DSR ini nampaknya seperti sudah bersedia dengan grafik badan untuk berlumba. Menurut pengasas bersama DSR, Suriya Sankaran, livery perlumbaan pada Putra WRC Concept ini mendedahkan rekaan grafik badan yang akan digunakan oleh DSR jika mereka menyertai mana-mana perlumbaan.

Art of Speed 2023: Proton Putra WRC Concept oleh DSR – jelmaan jentera Putra WRC oleh Prodrive?

Jangan tak tahu, Suriya bukan sahaja pernah mengembara ke seluruh dunia ketika menjadi salah seorang ahli pasukan Proton R3 yang menyertai pelbagai kejohanan rali antarabangsa dengan Proton Satria Neo S2000, malah dia juga merupakan seorang pemandu rali yang bertanding dalam Kejohanan Rali Malaysia dari 1997 hingga 2001 dengan memandu Proton Wira 1.8 EXi DOHC Limited!

Proton Wira berkenaan masih berada dalam jagaannya, dan khas untuk edisi AOS 2023, Wira yang terkenal kerana pernah dipandu oleh Micheal Schumacher tersebut diberikan kembali livery perlumbaan Shell Helix seperti yang digunakan oleh Suriya pada tahun 1997 dan 1999 untuk dipamerkan di reruai DSR.

Kembali ke Putra WRC Concept ini, ia diberikan livery dengan warna merah-putih-kelabu-hitam. Kalau anda perasan, huruf ‘R’ pada logo DSR untuk grafik badan Putra ini berwarna hitam, berbanding merah seperti pada kereta-kereta yang telah direstorasi oleh DSR sebelum ini.

Menurut Suriya, huruf ‘R’ berwarna hitam tersebut selepas ini akan diberikan pada kereta-kereta DSR yang digunakan pada perlumbaan litar atau rali (juga akan dikenali sebagai Black Edition), sementara huruf ‘R’ berwarna merah adalah untuk kereta yang direstorasi untuk digunakan di atas jalan raya.

Art of Speed 2023: Proton Putra WRC Concept oleh DSR – jelmaan jentera Putra WRC oleh Prodrive?

Pada sebelah kabin, replika ini turut dilengkapi dengan set rollcage lengkap – ia bukan rollcage ‘cikai’ atau ‘buat sendiri’, sebaliknya ia adalah produk sebenar keluaran Cusco. Ia juga lengkap dengan tempat duduk bucket pelumbaan dari Beltenick serta tali pinggang perlumbaan, roda stereng tiga jejari, plat perehat kaki juruarah aluminium, komputer trip rali dan juga beberapa alat pemadam api.

Walau bagaimanapun untuk sistem rangkaian kuasa, Putra WRC Concept ini masih dijana oleh enjin asal 4G93P 1.8 liter NA empat silinder DOHC tanpa sebarang ubahsuai bersama kotak gear manual lima-kelajuan manual.

Bagi Putra WRC sebenar, cerita berkenaan jentera tersebut sehingga kini masih lagi tergantung. Bila projek tersebut dimulakan dan mengapa ia dihentikan sebelum ia sempat menyertai mana-mana pusingan WRC masih belum terjawab dengan kenyataan rasmi.

Namun jika melihat pada spesifikasi, Putra WRC berkenaan berkemungkinan dibina oleh Prodrive sekitar tahun 1997 hingga tahun 2000. Jika anda masih belum tahu, selepas rali Group B diharamkan pada penghujung 1986 setelah berberapa orang penonton dan pemandu yang terkorban kerana kereta-kereta yang bertanding terlalu berkuasa, FIA telah menggantikan kelas berkenaan dengan kelas Group A sebagai kategori tertinggi dalam WRC.

Secara asas, Group A ini merupakan kelas ‘Production Modified‘, atau kategori di mana pasukan yang bertanding perlu menggunakan kereta-kereta produksi sebenar yang dijual di bilik pameran, dan kemudian diubahsuai mengikut had-had yang telah digariskan dalam undang-undang.

Atau secara spesifiknya, FIA menetapkan bahawa mana-mana pengeluar yang mahu bertanding dalam WRC, mestilah menghasilkan sekurang-kurangnya 5,000 unit versi produksi ‘homologation special’ (kemudian diturunkan hanya 2,500 unit pada tahun 1993) menggunakan enjin, sistem pacuan dan rupa luaran yang sama dengan kereta yang mahu digunakan pada perlumbaan sebenar, seperti Mitsubishi Lancer Evolution dan Subaru Impreza WRX.

Walau bagaimanapun, Group A hanya bertahan sehingga tahun 1996. FIA mahukan kereta yang lebih berkuasa tanpa sekatan-sekatan tertentu dan memudahkan banyak pengeluar lain untuk menyertai WRC. Oleh itu, bermula pada 1997 undang-undang WRCar mula diperkenalkan dan bertahan sehingga 2021 dengan beberapa pindaan. Manakala bermula 2022, WRC telah menggunakan undang-undang Rally1 untuk kelas tertinggi yang menggunakan unit rangkaian kuasa hibrid.

Menerusi undang-undang WRCar yang digunakan bermula 1997, tidak ada lagi syarat homologasi produksi seperti Group A diperlukan. Jadi pengeluar bebas untuk menggunakan kerangka asas sebuah kereta produksi yang dihasilkan sekurang-kurangnya 25,000 unit untuk dijual dalam setahun, digandingkan dengan teknologi prototaip pada jentera lumba mereka.

Undang-undang ini dilihat berjaya kerana selepas itu lebih banyak model-model produksi biasa dengan enjin tanpa turbo dan hanya memacu roda hadapan (biasanya model-model paling popular untuk setiap jenama) seperti Peugeot 206, Skoda Octavia, Citroen Xsara, Toyota Corolla dan Hyundai Accent dijelmakan dalam spesifikasi WRCar dan bertanding dalam WRC.

Dan undang-undang ini juga nampaknya berjaya untuk menarik minat Proton bagi bertanding di kelas utama dalam WRC selepas menunjukkan prestasi yang baik dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) menggunakan jentera Group N Mitsubishi Lancer Evolution yang dihomogasikan sebagai Proton Wira 4WD ketika itu.

Dengan kebebasan yang diberikan oleh FIA, Prodrive telah membina semula enjin 4G93T 1.8 liter tersebut dengan menaikkan sesarannya kepada 2.0 liter, disuap dengan pengecas turbo dengan unit restrictor udara 34 mmm, bersama sistem anti-lag bagi menghasilkan kuasa sekitar 300 hp.

Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan dari Hewland, serta sistem pacuan empat roda sepenuh masa kepada Putra WRC ini. Dan berdasarkan undang-undang FIA pada era tersebut, sistem pacuan empat roda Putra WRC ini juga mungkin dilengkapi dengan unit differential aktif kawalan komputer untuk bahagian tengah dan belakang.

Seperti kereta-kereta WRCar lain pada zaman tersebut, badan Putra ini dilebarkan lagi bagi membolehkan sistem suspensi dengan geometri lebih mesra rali dipadankan serta memenuhi dimensi maksima yang dibenarkan undang-undang FIA iaitu lebar maksima adalah 1770 mm, manakala trek roda hadapan dan belakang pula tidak boleh melebihi 1,550 mm.

Ia turut menerima sistem brek perlumbaan dari AP Racing, serta rim O.Z Racing berdiameter 18-inci, dibaluti tayar rali tarmac Pirelli P-Zero. Berat keseluruhan jentera ini juga menepati undang-undang WRCar FIA iaitu 1,230 kg.

Ya, memang sehingga kini kita masih belum tahu kenapa projek ini tidak diteruskan. Namun jika kita tengok balik undang-undang WRCar yang ditetapkan oleh FIA, ada satu aspek yang mungkin menyebabkan Putra ‘tidak lulus’ untuk WRC, iaitu unit produksi minima yang diperlukan.

Seperti yang disebut tadi, walaupun FIA tidak mensyaratkan pengeluar untuk menghasilkan model prestasi ‘homologation special’ sebanyak 2,500 unit, kerangka model asas yang digunakan perlu dihasilkan sekurang-kurangnya 25,000 unit setahun. Sementara untuk Putra, sepanjang ia diproduksi dari 1996 hingga 2000, dipercayai ia dihasilkan dalam jumlah hanya sekitar 5,000 unit – sebab itulah agak sukar untuk kita lihat Putra dipandu di atas jalan raya berbanding Satria GTi.

Oh ya, dalam banyak-banyak gambar Putra WRC yang tular, pasti anda perasan bahawa ia sebenarnya ada satu lagi ‘kembar’ kan? Unit tersebut juga merupakan unit yang dibina oleh Prodrive, tetapi ia hanya menampilkan perubahan pada sebelah luar dengan mengenakan kit badan lebar yang sama.

Unit tersebut adalah unit ‘mock-up’ yang dirancang untuk dipamerkan di mana-mana acara disertai Proton, sama seperti mock-up Proton Iriz R5 yang dihasilkan oleh Mellors Elliot Motorsport dan telah dipamerkan dikhalayak ramai di MAEPS pada April 2018.

Memandangkan unit mock-up Putra WRC yang dilihat di Ibu Pejabat R3 tersebut kelihatan begitu seiras dengan unit yang dibawa oleh DSR ke AOS 2023 ini, mungkin ada kaitan ke antara kedua-dua unit tersebut?

GALERI: Unit sebenar Proton Putra WRC binaan Prodrive yang kini disimpan di Proton R3, Shah Alam

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required