Jualan 2023 Proton sehingga Julai sudah melebihi 90,000 unit, X90 kekal paling laris dalam segmennya

Jualan 2023 Proton sehingga Julai sudah melebihi 90,000 unit, X90 kekal paling laris dalam segmennya

Proton telah merekodkan jualan sebanyak 13,326 unit (domestik + eksport) untuk bulan Julai 2023, menjadikan jualan kumulatifnya untuk tahun ini kini mencapai 90,647 unit. Menurut syarikat automotif nasional itu, ini kali pertama angka jualan tahunan melebihi 90,000 unit hanya dalam masa tujuh bulan pertama selepas kali terakhir prestasi yang sama dicatatkan pada tahun 2012.

Jualan pada bulan lalu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 16.1% berbanding Julai 2022, dan pegangan pasarannya bagi Julai 2023 pula dianggarkan berada pada 20.5%. Manakala untuk jualan kumulatif tahunan pula mencatatkan peningkat 12.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dengan jumlah volum industri (TIV) dianggarkan sebanyak 64,864 unit untuk bulan Julai, angka jualan Proton pada bulan lalu dilihat telah mengatasi industri sebanyak 14%.

Bagi pecahan jualan mengikut model, SUV segmen-D Proton iaitu X90 terus mengungguli kelasnya, mencatatkan jualan sebanyak 886 unit bagi bulan Julai. Oleh itu sejak ianya dilancarkan pada 7 Mei lalu, sebanyak 2,225 unit X90 telah terjual dalam masa hanya 86 hari.

Jualan 2023 Proton sehingga Julai sudah melebihi 90,000 unit, X90 kekal paling laris dalam segmennya

Untuk Persona pula, ia telah tejual sebanyak 1,953 unit sepanjang Julai, dan jualan tahunannya kini sudahpun mencecah 14,533 unit. Menurut Proton, angka berkenaan telah meletakkan Persona sebagai sedan segmen-B paling laris di Malaysia untuk tujuh bulan pertama tahun ini, dan ia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 107.1% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Manakala bagi X50, Proton telah berjaya menjual sebanyak 2,630 unit SUV segmen-B tersebut sepanjang Julai 2023, menjadikan jualan keseluruhannya tahun ini mencapai 20,192 unit. Jualan bulanan yang dicatatkan oleh X50 bukanlah terbaik dalam kelasnya untuk Julai, namun menurut Proton untuk jualan keseluruhan tahunan X50 masih bukan sahaja SUV terlaris dalam kelas segmen-B, malah masih yang paling popular untuk segmen SUV secara keseluruhan setakat ini.

Terdapat juga peningkatan permintaan untuk MPV segmen-C Proton Exora dimana ia telah terjual 374 unit bulan lalu, menjadikan jumlah jualan tahunannya sehingga Julai sudah mencapai 2,741 unit, atau naik 13.1% berbanding tahun sebelumnya.

Bagi model terlaris Proton iaitu sedan segmen-A Saga, sebanyak 5,926 unit telah terjual pada bulan Julai. Ini menjadikan jualan kumulatif tahunannya sehingga Julai telah mencecah 39,251 unit, naik 40.2% berbanding tempoh sama tahun lalu. Walaubagaimanapun angka tersebut hanya meletakkan Saga di tempat kedua dalam kelasnya bagi bulan kedua berturut-turut.

Hatchback segmen Proton Iriz juga mencatatkan peningkatan jualan dengan 676 unit telah diserahkan kepada pelanggan bulan lalu. Secara keseluruhan Iriz telah terjual sebanyak 4,708 unit tahun ini, naik 80.7% berbanding tahun lalu, tetapi ia hanya berada di tempat keempat dalam kelasnya.

Untuk SUV segmen-C Proton X70 pula, sebanyak 881 unit telah dijual bulan lalu, meletakkannya di tempat kedua keseluruhan dalam segmennya dengan 6,997 unit terjual setakat ini bagi tahun 2023.

“Jualan automotif di Malaysia terus kukuh bagi tahun 2023 tanpa penurunan dalam permintaan dalam empat bulan selepas tamat tempoh penghantaran kereta di bawah skim insentif Penjana. Terdapat banyak pengenalan model baharu pada tahun ini dan ini bersama-sama dengan pengumuman berprofil tinggi yang dibuat di ruang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) serta sokongan kerajaan untuk menarik OEM baharu ke negara ini telah mengekalkan minat yang tinggi di kalangan pembeli,” kata CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

“Proton sudah tentu memainkan peranan dalam peningkatan TIV. Dari segi peratusan, pertumbuhan jualan kami adalah lebih daripada dua kali ganda daripada industri setakat ini dan ini boleh dikaitkan dengan pembeli kereta yang tertarik dengan teknologi, kualiti, keselamatan dan nilai yang ditawarkan oleh barisan model kami. Dengan Proton X90 yang sudah pun mendahului kelasnya selepas hanya 3 bulan, model baharu yang akan dilancarkan dan kemasukan syarikat ke pasaran EV pada tahun 2023 melalui smart Malaysia, kami yakin dapat mencapai sasaran akhir tahun kami,”tambahnya lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required