Proton Exora 2023 dilancar – logo baru, tempat duduk balutan leatherette penuh, ESC standard, dari RM63k

Proton Exora 2023 dilancar – logo baru, tempat duduk balutan leatherette penuh, ESC standard, dari RM63k

Selepas sedikit teaser, Proton akhirnya melancarkan Exora 2023, yang menerima beberapa peningkatan kecil seperti yang dilaporkan Mei lalu. Ini adalah kali keempat MPV tujuh tempat duduk itu diberi peningkatan, sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009.

Exora baru ini sekali lagi ditawarkan dalam dua varian, bermula dengan Executive yang berharga RM62,800 tidak termasuk insurans, sementara di atasnya adalah varian Premium yang dijual pada harga RM69,800. Jika dibandingkan dengan model tahun 2019, harga ini adalah RM3,000 lebih tinggi.

Kedua-dua varian masih lagi dipacu oleh enjin petrol empat silinder 1.6 liter Campro turbo yang sama seperti sebelum ini, meskipun pada awalnya terdapat khabar angin bahawa ia akan diganti dengan enjin X70/X50. Kuasa yang mampu dihasilkan juga masih 140 PS pada 5,000 rpm dan 205 Nm pada 2,000 hingga 4,000 rpm, dihantar ke roda hadapan melalui kotak gear CVT.

Proton Exora 2023 dilancar – logo baru, tempat duduk balutan leatherette penuh, ESC standard, dari RM63k

Berkenaan perubahannya, bahagian luar Exora baru ini menampakkan penggunaan logo terkini Proton pada gril hadapan serta tailgate belakang, sementara varian Premium mendapat lagi tambahan lampu DRL LED serta rim 16 inci dua tona. Sama seperti sebelum ini, varian Premium juga menjadi satu-satunya varian yang mendapat side skirt, spoiler belakang, bumbung hitam serta hiasan hitam pada tailgate belakang.

Di dalam, varian Premium kini datang dengan balutan leatherette penuh, berbanding semi-leatherette. Sama seperti luar, logo baru Proton juga digunakan pada roda sterengnya. Selain daripada itu, bahagian lain di dalam kabin masih sama seperti sebelum ini, termasuk susunan tempat duduk 2-3-2 tempat duduk baris kedua yang boleh dilipat 60:40 dan baris ketiga 50:50.

Melihat kepada kelengkapan, varian Executive datang dengan lampu halogen, rim 16 inci (sama seperti sebelum ini), cermin sisi lipat secara manual, roda stereng urethane, balutan fabrik, pendingin hawa manual dengan corong di belakang dan penapis kabin N95, head unit biasa dengan sambungan Bluetooth serta empat pembesar suara.

Proton Exora 2023 dilancar – logo baru, tempat duduk balutan leatherette penuh, ESC standard, dari RM63k

Varian Premium, seperti yang dinyatakan di atas, mendapat DRL LED, rim dua tona, aksesori luaran serta balutan leatherette penuh, dan juga roda stereng kulit dengan butang kawalan pelbagai fungsi, perehat tangan pada tempat duduk baris pertama dan kedua serta penghadang cahaya matahari (sun visor) untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Pada varian yang lebih tinggi ini juga anda akan menerima skrin sesentuh tujuh inci dengan sistem Global Key User Interface (GKUI) yang mempunyai kawalan suara “Hi Proton” dan sambungan internet 4G melalui kad eSIM. Fungsi lain adalah termasuk stream muzik, navigasi langsung, sambungan kepada telefon pintar, mirroring untuk Android serta Wi-Fi hotspot.

Untuk aspek keselamatan, ESC kini diberikan secara standard untuk kedua-dua varian, tetapi hanya Premium sahaja yang mendapat kamera undur. Ciri lain masih tidak diubah dari sebelum ini, termasuk dua beg udara, ABS, EBD, dua pengesan undur serta lampu kecemasan.

Lima warna ditawarkan untuk Exora baru ini iaitu Snow White, Indiana Grey, Rosewood Maroon, Ruby Red dan Cocoa Grey, dan semuanya adalah sama seperti sebelum ini dan disediakan untuk kedua-dua varian. Setiap pembelian datang dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km, upah servis percuma tiga kali serta pakej data lima tahun (1 GB setiap bulan).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required