BMW Motorrad sudah mula menyiarkan teaser untuk model pelbagai guna terbaru mereka iaitu R1300 GS di dalam media sosial. Model ini muncul hanya lima tahun selepas R1250 GS, dan akan menjadi penggantinya di dalam pasaran.
Hanya satu gambar teaser disiar, menunjukkan motosikal itu meredah sungai kecil dan percikan air mengaburi bentuk sebenarnya. Apa yang boleh dilihat cuma perincian biasa seperti brek cakera berkembar serta penghadang angin yang rendah.
Walaubagaimanapun, bayangan model baru ini menampakkan ia seakan lebih kurus, dan kita boleh menjangkakan penggunaan enjin boxer yang diberi peningkatan berbanding keadaan sekarang yang berkapasiti 1,254 cc dan mampu menghasilkan kuasa 136 hp/143 Nm.
Semua laman media sosial BMW Motorrad menggunakan gambar yang sama, tetapi mempunyai keterangan yang berbeza. Di dalam Facebook, ia tertulis “sedia untuk menetapkan langkah dengan BMW #R1300GS serba baru?” manakala di dalam Instagram lebih ringkas dengan ayat “penantian hampir berakhir.”
Tetapi, apa yang sama adalah tarikh ia diberitahu akan didedah secara rasmi, iaitu pada 28 September jam lima petang mengikut waktu Eropah Tengah (CEST). Ini bersamaan jam 11 malam waktu Kuala Lumpur.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.