BMW R 1250 GS dan R 1250 RT didedah kepada umum

BMW R 1250 GS dan R 1250 RT didedah kepada umum

Dua model terbaru daripada BMW Motorrad iaitu R 1250 GS dan R 1250 RT 2019 cuma akan dilancarkan secara rasmi dalam masa beberapa bulan lagi, tapi syarikat itu telah mendedahkannya lebih awal atas talian. Kedua-duanya adalah model yang mempunyai banyak pembaharuan, di mana GS berada dalam segmen kembara/jelajah manakala RT pula lebih kepada perjalanan jauh atas lebuh raya.

Pembaharuan utama yang menjadi perhatian adalah pada bahagian enjin, di mana unit boxer pada motosikal ini sekarang dilengkapi dengan ShiftCam, iaitu satu sistem yang memberikan pemasaan injap boleh ubah untuk memperbaiki penggunaan bahan api dan menepati tahap emisi yang ditetapkan. Sistem ini digunakan untuk injap yang berada pada bahagian intake.

Juga baru untuk dua motosikal R 1250 ini adalah rantai penggerak cam bergigi, yang menggantikan rantai jenis roller sebelum ini. Dipadankan lagi dengan injector twin-jet, enjin 1,254 cc pada R 1250 ini boleh menghasilkan kuasa sehingga 136 hp pada 7,750 rpm dan 143 Nm tork pada 6,250 rpm. Sebelum ini, model R 1200 GS dan R 1200 RT menggunakan enjin 1,170 cc dan kuasanya cuma 125 hp dan 125 Nm tork.

Untuk sistem keselamatan, Automatic Stability Control (ASC) – atau juga boleh dikenali sebagai kawalan cengkaman – serta Hill Start Control (HSC) didatangkan secara standard untuk dua model R 1250 baru ini. Kemudiannya, disediakan pula dalam pilihan tambahan adalah Riding Modes Pro, yang memberikan tambahan mod tunggangan, Dynamic Traction Control (DTC), ABS Pro, Hill Start Control Pro dan Dynamic Brake Assistant (DBC).

Kini, BMW menyediakan skrin TFT-LCD berwarna penuh untuk memaparkan informasi kepada penunggang, dan ia adalah unit 6.5 inci untuk GS manakala RT pula menggunakan unit 5.7 inci. Pada RT, skrin digital ini digunakan bersama meter kelajuan dan rpm analog, serta lampu jenis LED di semua lampu iaitu di depan, belakang dan penunjuk arah. Lampu siang LED juga disediakan sebagai pilihan.

Untuk keselesaan, tempat duduk asal GS dan RT baru ini boleh dilaras dalam beberapa tahap dan sekiranya masih tidak menepati kemahuan, pemilik boleh mendapatkan pilihan tempat duduk lain yang disediakan dalam katalog BMW. Satu lagi bahagian aksesori buatan khas BMW Motorrad Speziale turut menyediakan pelbagai lagi aksesori untuk dua motosikal ini.

Mereka yang berminat untuk membeli R 1250 ini diberikan dua pilihan untuk R 1250 GS iaitu dua model asas dan dua varian gaya berbeza iaitu Touring dan Adventure. Untuk R 1250 RT pula terdapat satu model asas yang disediakan dan dua lagi adalah varian dengan kelengkapan yang berbeza.

GALERI: BMW R 1250 GS 2019


GALERI: BMW R 1250 RT 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required