Polis Dearah Jeli, Kelantan, sedang mengesan pemandu Suzuki SX4 berwarna merah dan sebuah treler kuning yang didapati memandu secara berbahaya di Lebuhraya Timur-Barat, Jeli.
Ia susulan satu video berdurasi 32 saat yang dikongsikan di laman FacebooK DashCam Malaysia yang memaparkan kejadian tersebut, dirakamkan oleh kereta yang hampir-hampir bertembung dengan dua kenderaan berkenaan.
“Pada 20 Oktober 2023 jam lebih kurang 7 malam, telah tular satu rakaman video berdurasi 32 saat di laman media sosial Facebook yang memaparkan satu kejadian sebuah motokar disyaki jenis Suzuki berwarna merah bersama sebuah treler berwarna kuning yang dipandu secara merbahaya di Jalanraya Timur Barat, Jeli.
“Siasatan lanjut mendapati kejadian tular tersebut berlaku pada hari yang sama anggaran waktu sekitar tengahari, di mana kedua-dua kenderaan tersebut telah dipandu secara merbahaya dengan memotong di garisan berkembar di KM120 Jalanraya Timur Barat, Jeli,” kata polis Jeli.
Tambahnya, perbuatan ini boleh mendatangkan bahaya pada diri sendiri dan pengguna jalanraya yang lain. “Pihak polis IPD Jeli memohon jika ada pemandu kenderaan yang melihat kejadian untuk memberikan maklumat lanjut bagi membantu mengesan kedua-dua kenderaan yang dipandu secara merbahaya.
“Pemilik atau pemandu kedua-dua kenderaan terlibat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya lagi.
Inilah antara punca kemalangan jalan raya apabila ada pemandu yang tidak bertimbang rasa, tidah tahu hendak bersabar, mementingkan diri sendiri dan ‘hati kering’ dengan selamba memandu secara melulu hingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.