Proton Exora – produksi dihentikan ketika permintaan meningkat; jualan 2023 naik 11.5% dari tahun lalu

Proton Exora – produksi dihentikan ketika permintaan meningkat; jualan 2023 naik 11.5% dari tahun lalu

Dalam kenyataan berkenaan prestasi jualannya bagi bulan Oktober yang dikeluarkan minggu lalu, Proton secara rasmi menyebut bahawa produksi MPV segmen-C Proton Exora sudahpun dihentikan. Proton turut mengesahkan bahawa sejumlah 196,583 Exora telah dihasilkan sepanjang 14 tahun ia diproduksi di Kilang Pengeluaran Medium (MVF) yang terletak di Shah Alam.

Bagi bulan Oktober 2023 sebanyak 393 unit Proton Exora telah terjual, menjadikan jualan kumulatif tahunan untuk 10-bulan pertama tahun ini mencecah 3,910 unit. Menurut Proton angka jualan bagi Exora tersebut sebenarnya telah meningkat sebanyak 11.5% berbanding tahun lalu.

Exora bukan sahaja MPV pertama yang dihasilkan oleh Proton, malah ia adalah MPV pertama dari jenama tempatan (Juara dan Perodua Rusa didaftarkan sebagai van). Pembangunan MPV yang dikenali dengan kod P6-20A ini dibuat pada zaman Proton dipimpin oleh Tan Sri Syed Zainal Abidin, dan ia adalah hasil sepenuhnya kejuruteraan tempatan, disesuaikan untuk penggunaan rakyat Malaysia.

Proton Exora – produksi dihentikan ketika permintaan meningkat; jualan 2023 naik 11.5% dari tahun lalu

Dengan berakhirnya produksi Proton Exora ini bermakna tiada lagi penawaran MPV segmen-C di Malaysia dari mana-mana jenama selepas ini. Exora sebelum ini mendominasi jualan segmen berkenaan dan menjadi model paling laris dalam kelasnya selama bertahun-tahun, sehingga ia kekal sebagai satu-satunya MPV segmen-C yang dijual di sini tanpa saingan.

Proton mengemaskini penawaran Exora dari tahun ke tahun. Ia pernah dijual dalam versi paling murah iaitu Standard MT pada 2015 dengan harga RM56,888, dan pernah ditawarkan dalam versi paling mahal iaitu Exora Prime pada 2011 yang menampilkan konfigurasi enam-tempat duduk termasuk tempat duduk kapten pada baris kedua, 12 tahun sebelum kewujudan Proton X90.

Kali terakhir Exora dikemaskini adalah pada tahun lalu yang menampilkan logo ‘Thundercats’ baru Proton (Exora sempat berada dalam tiga zaman logo Proton yang berbeza), dijual pada harga bermula RM62,800 hingga RM69,800.

Ketika diperkenalkan pada 2009, Exora hanya tampil dengan enjin Campro CPS 1.6 liter yang menghasilkan 125 hp dan tork maksima 150 Nm. Mengambil respon orang ramai yang mengatakan enjin berkenaan tidak cukup kuasa (era yang sama menyaksikan Toyota menjual Avanza dengan hanya enjin 1.3 liter), Proton menawarkan enjin CamPro Charged Fuel Efficiency (CFE) 1.6L yang disuap pengecas turbo bagi menghasilkan kuasa 138 hp/205 Nm.

Proton Exora – produksi dihentikan ketika permintaan meningkat; jualan 2023 naik 11.5% dari tahun lalu

Enjin berkenaan diperkenalkan menerusi Exora Bold 2011, dan MPV tersebut menjadi model Proton pertama yang menerima enjin turbo dari kilang sebelum unit rangkaian kuasa sama ditawarkan pada sedan Proton Preve pada tahun 2012, diikuti versi hatchbacknya iaitu Suprima S pada 2013.

Enjin CFE itu juga menjadikan Exora sebagai antara MPV segmen-C paling berkuasa dalam pasaran. Namun walaupun prestasinya agak mengujakan, enjin ini dihambat dengan masalah hos penyejuk minyak pelincir (OCH) yang selalu pecah, serta agak kuat ‘menelan’ petrol.

Exora juga merupakan antara MPV yang paling selamat dizamannya dengan menerima pengiktirafan empat-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP), yang dilihat lebih ketat berbanding ujian ASEAN NCAP yang dibuat di Malaysia.

Dengan permintaan yang sentiasa ada, adakah anda rasa Proton patut menghasilkan model gantian generasi baharu untuk Exora ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Sayang sekali produk yang boleh dikatakan seratus peratus hasil buah tangan Malaysia akhirnya berkubur begitu sahaja disebabkan kemalasan pihak proton berfikir unruk meneruskan hayat Exora. Berfikir tidak memerlukan kos atau teknologi tetapi menuntut jati diri untuk meneruskan perjuangan mempertahankan apa milik bangsa dan negara. Dan kini tanpa rasa segan silu Proton menguar-uarkan jualan Proton meningkat. Di manakah hasil protonya jika hanya sekadar menempek lambang kepala harimau ?

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required