Perubahan rekaan logo Proton dari 1985 hingga kini

Perubahan rekaan logo Proton dari 1985 hingga kini

Hari ini mencatatkan satu lagi perkembangan penting untuk Proton. Tidak sekadar ingin berpuas hati dengan prestasi jualan yang positif seperti yang ditujukkan sejak SUV X70 diperkenalkan kira-kira setahun lalu, Proton mengorak satu lagi langkah dalam menjadikan jenama ini lebih kukuh dan semakin maju ke hadapan.

Di dalam satu majlis khusus hari ini, Proton berkongsi arah tuju dan imej baru jenama itu yang ingin di bawa selepas ini – dengan pengenalan logo serta slogan terbaru sebagai memaknai perubahan yang sedang dialaminya kini.

Logo baru Proton masih mengekalkan ikon harimau sebagai teras utamanya, kali ini dengan visual “logam” yang masih mengekalkan iras logo lama, tetapi dengan sentuhan lebih tajam, kemas serta elegan. Sementara slogannya pula kini diubah kepada “Inspiring Connections”, atau boleh kita terjemahkan kepada “Mengilhami Perhubungan”.

Perubahan rekaan logo Proton dari 1985 hingga kini

Tetapi, ini bukanlah kali pertama Proton menukar penampilan logonya. Sejak kelahiran jenama ini dengan pengenalan model Saga pada 1985 dahulu, kita telah menyaksikan lima loga lain sebelum pengenalan logo terbaru hari ini. Pada 1985, Proton muncul dengan logo “Bulan dan Bintang 14 Bucu”, tidak lain yang diambil dari bendera Malaysia sendiri yang melambangkan 14 buah negeri dan Wilayah Persekutuan yang membentuk negara tercinta ini.

“Bulan dan Bintang” berkenaan kemudiannya diletakkan di dalam ruang segi empat, dan dilengkapi luarannya dengan rekaan buku panjang ke bawah ala potongan mutiara – semua unsur yang digunakan ini sangat dekat dan mencerminkan keperibadian warga Malaysia. Ia kemudiannya disudahi dengan slogan “Pride of The Nation”, atau boleh diterjemahkan sebagai “Kebanggaan Negara”.

Perubahan pertama logo Proton dilakukan pada tahun 1993 pada model Wira. Walaupun masih kekal dengan unsur utama “Bulan dan Bintang” yang sama, ia menjadi lebih ringkas. Tiada lagi potongan ala mutiara yang memanjang ke bawah, dan “Bulan dan Bintang” itu dibendung di dalam rekaan dengan bentuk umum seolah-olah trapezoid sahaja, dan bukan lagi bentuk segi empat. Slogan bagaimanapun masih dikekalkan seperti sebelumnya.

Perubahan rekaan logo Proton dari 1985 hingga kini

Tujuh tahun lamanya Proton menggunakan rekaan logo itu. Menjelang peralihan tahun millenium 2000, barulah logo berkenaan diberikan nafas baru, agaknya sebagai menandai kemasukan kita ke alaf baru ketika itu. Dan, inilah kali pertama “bulan dan bintang” digugurkan dari logo Proton – yang ketika itu diberi kritikan yang keras juga kerana sebahagian masyarakat menyatakan tergamak Proton menggugurkan penggunaan lambang “Islam” dan menggantikannya dengan lambang haiwan; harimau. Padahal, seperti yang dinyatakan tadi, lambang “bulan bintang” itu datangnya dari bendera Malaysia.

Ia menggunakan wajah harimau (Harimau Malaya?) yang sinonim dengan Malaysia sebagai teras utama. Nama Proton diletakkan di atas bulatan harimau terbabit, dan semua ini dirampungkan di dalam satu lingkaran emas (seakan bentuk pick gitar). Dan, slogannya juga pertama kali ditukar, ketika itu menjadi “Spirit of Achievement” atau boleh diterjemah kepada “Semangat Pencapaian” – boleh kita lihat antaranya mula digunakan oleh model Waja.

Bentuk lingkaran yang sama serta kepala harimau ini kemudiannya dikekalkan sehingga logo terakhir Proton sebelum penegenalan versi terbarunya hari ini. Logo berkenaan bertahan selama lapan tahun sebelum dirombak semula, ketika pengenalan model Saga BLM pada 2008. Ketika itu, tiada lagi gandingan warna emas-hijau-biru digunakan.

Perubahan rekaan logo Proton dari 1985 hingga kini

Ia diganti dengan warna hitam dan perak sahaja – monotone, tetapi lebih kemas. Kepala harimau juga diberikan sedikit sentuhan untuk menjadikannya lebih menonjol. Ia juga hadir dengan slogan “Commited to be Better” atau “Kesungguhan Untuk Menjadi Lebih Baik”. Logo ini kekal digunakan untuk tempoh lapan tahun selepas itu.

Kali terakhir logo Proton diubah ialah pada tahun 2016, ketika itu pertama kali dengan pengenalan Proton Perdana yang di”rebadge” dari Honda Accord generasi ke-8. Ketika itu, nama Proton di atas kepala harimau pula dibuang, kemudian lingkaran dan garis warna perak yang digunakan itu dijadikan lebih tebal dengan kesan visual 3D diterapkan pada keseluruhan logo. Hasilnya, bahagian kepala harimau itu menjadi lebih besar dan menonjol. Dan, slogan yang digunakan; “It’s in the Drive!” atau “Segalanya tentang Pemanduan!”

Logo dan slogan berkenaan menjadi yang paling singkat digunakan; hanya untuk tempoh tiga tahun sahaja. Hari ini, Proton memperkenalkan logo baru – yang nampak lebih kemas dan elegan, seperti yang mula kita lihat hari ini, dan akan digunakan pada model-model akan datang Proton yang bakal diperkenalkan nanti. Bagi anda, logo yang mana satu lebih menarik dan bermakna?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required