OCH Proton Exora – kenapa perlu pakai komponen asli dari Proton dan jangan guna komponen custom?

OCH Proton Exora – kenapa perlu pakai komponen asli dari Proton dan jangan guna komponen custom?

MPV tujuh-tempat duduk Proton Exora memang sudah diketahui mempunyai satu kelemahan pada aspek mekanikal, iaitu hos penyejuk minyak (oil cooler hose atau OCH) yang kerap pecah dan bocor untuk model yang dijana enjin 1.6L Campro Turbo (juga enjin yang sama pada model Preve dan Suprima S).

OCH merupakan paip penyambung yang mengalirkan minyak pelincir dari enjin kepada unit penyejuk minyak bagi memastikan ia sentiasa berada dalam suhu operasi. Sekiranya hos berkenaan pecah, ia akan menyebabkan masalah enjin menjadi panas melampau dan merosakkan komponen lain kerana kekurangan (atau lebih teruk boleh habis terus) minyak enjin ketika ia beroperasi.

Ini mendorong beberapa pihak bengkel luar menghasilkan OCH versi custom masing-masing. Berbanding hos getah yang digunakan sebagai komponen asli yang dibekalkan Proton, OCH custom ini rata-ratanya menggunakan hos jenis steel braided.

OCH Proton Exora – kenapa perlu pakai komponen asli dari Proton dan jangan guna komponen custom?

Namun dengan kemunculan produk-produk custom ini, Proton sebelum ini telah pun mengeluarkan amaran agar pengguna Exora tidak menggunakan komponen-komponen ubahsuai tersebut. Ini kerana pembekal OCH alternatif ini diragui kepakarannya selain tidak mempunyai makmal untuk tujuan ujikaji komponen buatan mereka, seterusnya akan menyebabkan lebih banyak kerosakan berlaku.

Walau bagaimanapun, Proton masih belum menyebutkan apa kerosakan yang mungkin berlaku tersebut sekiranya pengguna terus menggunakan OCH custom berkenaan.

Untuk merungkai perkara ini, G Tuned Racing – rangkaian bengkel yang bukan sahaja pakar dalam ubahsuai prestasi dan penjagaan model-model Proton dan lain-lain jenama – telah melakukan pelbagai ujian untuk menyelidik apa yang akan terjadi sekiranya OCH custom ini terus digunakan pada enjin-enjin S4PH Campro Turbo Proton.

Proton Preve milik Sirim yang digunakan dalam ujian R&D yang dilakukan oleh pihak G Tuned di fasiliti mereka bagi mengetahui kesan dari penggunaan OCH custom

Menurut G Tuned, sepanjang ujian yang dilakukan, ada OCH jenis custom ini yang akan menyebabkan tekanan minyak pelincir menjadi lebih rendah dari yang sepatutnya. Dengan tekanan yang rendah, minyak pelincir berkenaan akan lambat untuk naik ke bahagian atas enjin.

Ini seterusnya akan menyebabkan kerosakan kepada dua komponen iaitu pulley untuk sistem injap bervariasi (VVT pulley) dan juga injap kawalan minyak (Oil Control Valve atau OCV).

Jadi bagi G Tuned, pihaknya berpendapat adalah lebih baik menggunakan OCH asli dari Proton, tetapi menjadikan komponen berkenaan sebagai komponen lusuh dan haus (wear and tear) yang perlu ditukar dalam jarak perjalanan 20,000 km sekali.

Apa yang disebut oleh G Tuned ini adalah senada apa yang telah dinyatakan oleh pihak Proton sendiri sebelum ini, cuma berbeza dari segi sela masa penukaran komponen tersebut. Proton sebelum ini telah menyatakan bahawa OCH asli berkenaan akan dipertingkat ketahanannya dari masa ke masa, dan ia dimasukkan dalam senarai barangan servis untuk jarak 40,000 km sekali.

Namun kami berpendapat, tidak salah untuk mengikut syor dari G Tuned bagi betul-betul memastikan anda tidak ‘tersadai’ di mana-mana kerana masalah OCH bocor ini. G Tuned mengenakan kos penukaran sekitar RM200 hingga RM250 (termasuk upah pasang) untuk OCH ini.

Dan untuk mereka yang terkesan dengan faktor ekonomi semasa, G Tuned turut menawarkan kaedah pembayaran secara ansuran untuk servis-servis mereka kepada pelanggan. Untuk keterangan lanjut, anda boleh menghubungi mereka di laman Facebook rasminya iaitu G Car Care.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required