Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Syahril Hanafiah menjangkakan sedan segmen-C baharu Proton S70 yang bakal dilancarkan secara rasmi pada minggu hadapan bakal dijual pada harga lebih murah dari SUV X50, dan juga dua model segmen-B jenama Jepun utama iaitu Honda City dan Toyota Vios.
Menurutnya dalam nota penyelidikan yang dipetik oleh akhbar Berita Harian, selepas menamatkan pengeluaran Proton Exora yang telah diproduksi selama 14 tahun, Proton kini telah memulakan produksi S70 yang akan dipasarkan kelas sedan segmen-C bagi memberikan saingan sengit kepada model-model sedia ada.
“Kami menjangka Proton S70 ditetapkan pada harga lebih rendah berbanding Proton X50 dan pesaing terkemuka seperti Honda City dan Toyota Vios,” tambahnya lagi.
Untuk konteks, Proton X50 dijual pada harga atas jalan bermula RM86,300 untuk varian asas 1.5T Standard sehingga RM113,300 bagi varian tertinggi 1.5T Flagship. Toyota Vios hanya ditawarkan dalam dua varian di Malaysia, bermula dengan 1.5E dijual pada harga RM89,600 dan varian 1.5G dijual pada harga RM95,900.
Manakala Honda City pula dijual pada harga bermula RM84,900 untuk varian asas 1.5S, dan model dengan enjin petrol varian tertinggi 1.5RS dijual pada harga RM99,900. City turut ditawarkan dalam versi hibrid e:HEV dengan kit penggayaan RS, dijual pada harga RM111,900.
Oleh itu ada kemungkinan model paling asas bagi Proton S70 ini mungkin dijual pada harga di bawah RM85,000. Harga berkenaan bukan sahaja boleh menggugat saingan sekelasnya seperti Honda Civic dan Toyota Corolla Altis, malah Proton S70 dilihat boleh mengacau pasaran sedan segmen-B kerana dibekalkan dengan enjin yang lebih berkuasa, kotak gear lebih baik dan saiz lebih besar.
Proton S70 merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.
Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.
S70 bakal ditawarkan dalam empat varian berbeza bermula dengan varian asas Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Perbezaan penawaran spesifikasi antara varian boleh anda baca ada PAUTAN INI, dan kami turut sudah menguji sedan ini di litar ujian Proton dua minggu lalu di mana ulasannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Pelancaran model ini akan dibuat pada 4.30 petang Selasa minggu depan (28 November 2023). Proton turut mewujudkan satu laman web mikro untuk pelancaran ini yang boleh anda daftarkan minat pada PAUTAN INI.
GALERI: Proton S70 Flagship dan Flagship X 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.