Jualan bagi kereta sport flagship Toyota iaitu GR Supra A91 dilaporkan menurun hampir separuh tahun lalu berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut laporan Motor Authority, berdasarkan pengumuman jualan tahun 2023 yang disiarkan oleh Toyota Amerika Syarikat Rabu minggu lalu, GR Supra hanya berjaya dijual sebanyak 2,652 unit sepanjang tahun lalu. Angka berkenaan adalah 46% lebih rendah dari jumlah jualan yang direkodkan pada 2022 di mana Toyota berjaya menjual sebanyak 8,937 unit GR Supra pada tahun berkenaan.
Bukan hanya GR Supra, satu lagi kereta sport coupe Toyota tetapi dijual pada harga lebih mampu milik iaitu GR86 turut mencatatkan penurunan jualan sebanyak 7.7% dengan jumlah keseluruhan 11,078 unit. Motor Authority menyatakan ini bukan bermakna permintaan terhadap kereta sport menurun di AS kerana jualan Mazda Miata MX-5 meningkat sebanyak 45.4% kepada 8,937 unit untuk 2023.
Toyota Supra generasi baharu ini telah membuat kemunculan sulung global di Amerika Syarikat pada 2019, dijual sebagai model 2020. Ia merupakan kereta sport yang dihasilkan oleh Toyota menggunakan asas yang sama dengan BMW Z4 G29, dan turut diproduksi di kilang yang sama iaitu di fasiliti Magna Steyr di Graz, Austria.
Versi tingkat taraf pada 2021 menyaksikan enjin petrol 3.0 liter enam silinder sebaris pada varian paling berkuasa Supra ini menerima kuasa tambahan sehingga 382 hp dan tork maksima 499 Nm, atau 47 hp lebih berkuasa dari versi asal.
Manakala pada 2022, GR Supra A91 ini turut menerima pilihan kotak gear enam-kelajuan manual berbanding hanya datang dengan transmisi automatik lapan-kelajuan pada versi sebelumnya. Laporan pada Ogos tahun lalu menyebut hampir separuh pembeli Supra terbaharu ini memilih kotak gear 6MT berbanding 8AT.
Dikhabarkan Toyota bakal memperkenalkan Supra dalam versi lebih berkuasa selepas ini yang menerima lencana Gazoo Racing Meister of Nürburgring (GRMN) seperti yang diberikan pada Yaris GRMN sebelum ini. Mungkin ini akan menaikkan semula jualan Supra generasi kelima tersebut?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.