Toyota GR Yaris Rally2 – jentera rali sebenar sudah boleh dibeli, mula berlumba dalam WRC2 tahun ini

Toyota GR Yaris Rally2 – jentera rali sebenar sudah boleh dibeli, mula berlumba dalam WRC2 tahun ini

Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT) mengumumkan bahawa jentera rali GR Yaris Rally2 kini sudahpun menerima sijil penuh homologasi dari Persekutuan Automobil Dunia (FIA) pada 1 Januari lalu. Jadi secara rasmi, jentera ini sudahpun boleh mula dibeli dan diedarkan ke seluruh dunia menerusi program perlumbaan pelanggan, dan bakal berlumba pada pusingan pertama Kejuaraan Rali Dunia (WRC) 2024 yang akan bermula di Rally Monte Carlo 25 Januari ini.

Berbeza dengan jentera GR Yaris Rally1 yang digunakan dalam kategori tertinggi WRC diasaskan dari kerangka space frame, GR Yaris Rally2 yang berlumba dalam kategori lebih rendah iaitu WRC2 ini masih menggunakan kerangka GR Yaris produksi yang dijual di bilik-bilik pameran Toyota.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Toyota tidak menyebut jenis enjin yang digunakan pada jentera rali sebenar ini. Namun menerusi spesifikasi yang tertulis bahawa enjin tersebut merupakan enjin tiga-silinder turbo berkapasiti 1,618.2 cc dengan omboh berdiameter 87.5 mm dan lejang 89.7 mm, dapat disimpulkan ia masih menggunakan enjin G16E-GTS yang sama seperti versi produksi.

Toyota GR Yaris Rally2 – jentera rali sebenar sudah boleh dibeli, mula berlumba dalam WRC2 tahun ini

Untuk pengetahuan anda, jentera WRC GR Yaris Rally1 bukan sahaja menggunakan kerangka badan berbeza, malah ia turut masih menggunakan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo yang diambil dari jentera Yaris WRC terdahulu, dan dibantu oleh modul hibrid elektrik pada gandar belakang.

Berbalik pada enjin GR Yaris Rally2 ini, ia dipadankan dengan unit resrictor 32 mm pada pengecas turbo seperti yang disyaratkan oleh FIA, menghasilkan kuasa yang lebih kurang sama dengan jentera-jentera Rally2 dari pengeluar lain iaitu sekitar 290 hp.

Ia juga menerima kelengkapan standard untuk jentera Rally2 seperti kotak gear lima-kelajuan sequential (tanpa pedal penukar pada setereng, hanya tuil tangan biasa), dan dihubungkan kepada sistem pacuan semua roda – diberikan LSD pada setiap gandar hadapan dan belakang, tanpa differential tengah dan tanpa sebarang sistem agihan tork aktif (kekal 50:50 setiap masa).

Toyota GR Yaris Rally2 – jentera rali sebenar sudah boleh dibeli, mula berlumba dalam WRC2 tahun ini

Jentera rali sebenar ini juga menerima kelengkapan aerodinamik yang lebih agresif dari model produksi, tetapi masih tidak ekstrim seperti jentera Rally1. Ia menampilkan fender sisi lebih lebar dengan panel yang turut menyumbangkan downforce, liang-liang udara bersama spoiler dan splitter lebih besar pada bampar hadapan, dan juga spoiler gergasi di belakang.

Ini menjadikan GR Yaris Rally1 ini 15 mm lebih lebar kepada 1,820 mm berbanding 1,805 mm pada model produksi. Manakala beratnya pula berada pada kadar paling minima yang dibenarkan oleh FIA iaitu 1,230 kg termasuk satu tayar gantian.

Toyota GR Yaris Rally2 ini telahpun membuat penampilan sulungnya dikhalayak ramai ketika berlangsungnya Rally Japan 2022, iaitu pusingan terakhir WRC musim berkenaan. Sebelum menerima sijil homologasi ini jentera berkenaan telah dipandu secara kompetitif sejauh 15,000 km menerusi penyertaannya dalam Kejohanan Rali Jepun (JRC) dan diuji oleh pelbagai pemandu profesional termasuk pengerusi Toyota ‘Morizo’ Akio Toyoda di pelbagai negara keadaan seluruh dunia.

Toyota GR Yaris Rally2 – jentera rali sebenar sudah boleh dibeli, mula berlumba dalam WRC2 tahun ini

“Morizo turut berharap agar GR Yaris Rally2 ini akan menjadi langkah pertama bagi menghubungkan antara kereta lumba dan model produksi menerusi perlumbaan rali – langkah yang mungkin boleh menyumbang bagi menambahbaik pasaran rali di seluruh dunia,” kata Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Pelumba pertama yang mengesahkan akan memandu GR Yaris Rally2 ini adalah bekas juara Junior WRC dari Finland, Sami Pajari – tidak mengejutkan kerana Pajari merupakan antara pelumba yang menguji GR Yaris Rally2 sebelum ini. Pelumba yang baru berumur 22 tahun itu memandu Skoda Fabia RS Rally2 tahun lalu bersama pasukan Toksport, berhijrah ke pasukan dan jentera baharu ini bersama juruarahnya, Enni Mälkönen.

Dikhabarkan sebanyak empat GR Yaris Rally2 ini akan memulakan perlumbaan di Monte Carlo hujung bulan ini. Pemandu-pemandu pembangunan Toyota dari Jepun selepas ini turut dijangka akan menggunakan jentera tersebut – sebelum ini pemandu pertama program itu, Takamoto Katsuta berlumba dengan jentera Ford Fiesta R5 dalam kategori WRC2, sebelum dapat beralih ke kategori utama dengan memandu Yaris WRC dan GR Yaris Rally untuk pasukan TGR-WRT bermula 2019 hingga sekarang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required