Pemasangan kamera papan pemuka atau dashcam di dalam kenderaan kini dianggap sangat penting kerana ia dapat membantu pihak polis untuk memudahkan siasatan, menyelesaikan dan mendapatkan keadilan terhadap kes kemalangan mahu pun yang melibatkan jenayah. Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Komisioner Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, laporan SinarDaily.
“Dashcam boleh menunjukkan bagaimana kemalangan jalan raya berlaku, terutamanya apabila tiada saksi. Ia juga boleh dijadikan peranti tambahan tetapi kritikal untuk siasatan kes kemalangan. Dashcam juga
seperti peranti rakaman lain, seperti sistem CCTV, yang mana rakaman boleh digunakan sebagai sebahagian bukti penting dalam kes mahkamah,” katanya.
Tambah beliau, dashcam juga diiktiraf sebagai ‘bukti dokumentari’ di bawah Seksyen 3 Akta Keterangan yang penting dalam prosiding di mahkamah.
“Oleh itu, pengenalan mereka dalam kemalangan jalan raya akan memberi manfaat besar dalam prosiding mahkamah,” katanya lagi.
Bagaimana pun, Azman berkata untuk mewajibkan pemasangan dashcam merupakan satu cabaran kerana pihak berkuasa perlu merancang dan memutuskan cara untuk menguatkuasakannya.
“Selain itu, kerjasama yang serius diperlukan dengan semua pihak berkuasa yang terlibat dalam menjayakan perkara ini,” tambahnya.
Pengerusi Alliance for a Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye juga berkata perkara yang sama berhubung dengan pemasangan dashcam ini. Katanya, dengan adanya dashcam, ia boleh memberi petunjuk tersembunyi kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Sekiranya berlaku kemalangan atau jenayah, dashcam memainkan peranannya untuk merakam. Dan Rakaman itu boleh digunakan untuk memberi petunjuk kepada pihak berkuasa bagi menyelesaikan siasatan atau jenayah,” katanya yang turut menekankan kepentingan dashcam yang boleh membawa perbezaan baharu dalam masyarakat.
“Sebagai contoh, dengan adanya CCTV di kawasan tumpuan jenayah boleh membantu merekodkan tindakan di kawasan awam. Terdapat banyak negara yang telah memasang banyak CCTV, termasuk di jalan raya. Jadi, jika apa-apa berlaku di kawasan berkenaan termasuk jenayah, polis sentiasa boleh melihat rakaman tersebut. Dengan cara yang sama, dashcam boleh digunakan juga untuk tujuan yang sama,” katanya.
Walau bagaimana pun, Lee berkata pemasangan dashcam melibatkan perbelanjaan yang agak tinggi dan untuk mewajibkannya bukan mudah.
Sejak pemasangan dashcam semakin popular, banyak video tular di laman media sosial yang memaparkan kejadian kemalangan atau jenayah yang dirakam menggunakan peranti tersebut. Malahan ia juga dijadikan antara bahan bukti untuk siasatan dan pendakwaan di mahkamah. Termasuklah kes berkenaan Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Shakir yang maut dalam kejadian amuk di KM 293.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bangi, empat tahun lalu. Ekoran kejadian tersebut, si pelaku, Yew Wei Liang, dijatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini.
Pada hujung November 2023 pula, di Sungai Petani, seorang remaja lelaki ditahan polis kerana menyerang pemandu Grab dengan pisau. Video insiden berkenaan dirakam menerusi dashcam di dalam kenderaan e-hailing berkenaan seterusnya menjadi bahan bukti untuk pendakwaan.
Dalam kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan, di Damansara Damai, hujung tahun lalu, pihak polis turut menganalisa beberapa rakaman dashcam yang diperoleh dari penduduk Apartment Idaman bagi membantu siasatan mencari pembunuh yang bertanggungjawab.
Begitu juga dengan banyak video yang tukar di laman media sosial yang memaparkan rakaman kemalangan, dan pemanduan berbahaya yang dikongsikan oleh pengguna jalan raya. Kami kongsikan kembali beberapa pautan artikel mengenai paparan video yang ditularkan tersebut.
- Percubaan scam seorang lelaki di Klang seolah-olah dilanggar gagal; mangsa ada rakaman video dashcam
- Myvi diterbalikkan di Johor – rakaman dashcam buktikan penghantar makanan langgar lampu merah
- VIDEO: Seorang budak lompat ke arah kereta bergerak – satu cubaan penipuan? Pasang dashcam untuk bukti
- Hati-hati dengan penipuan atas jalan raya – pentingnya pasang dashcam pada kenderaan untuk bukti
- VIDEO: Budak lelaki serang pemandu Grab dengan pisau di Sg Petani – perlu ada dashcam dalam kereta
- VIDEO: Tayar lori tercabut hentam Honda City; jururawat nyaris maut, pemandu lori sudah disaman
- VIDEO: Perodua Bezza dan Honda City bertembung; pemandu selamat, keluar buka pintu sendiri
- VIDEO: Pemandu Mitsubishi Lancer Evo IX wagon ‘mengamuk’ di Plaza Tol Damansara – apa jadi ni?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.