Kita biasa melihat video-video dashcam dari luar negara, khususnya dari China yang memaparkan individu yang berlari ke arah kereta yang sedang bergerak, seolah-olah dia dilanggar oleh kereta berkenaan, bertujuan untuk mendapatkan ganti rugi berupa wang tunai. Nampaknya kegiatan yang sama telah pun mula berlaku di Malaysia.

Video dashcam yang anda lihat ini dirakam oleh pemiliknya di Klang, atau lebih spesifik selepas jambatan ketiga untuk menuju ke Kapar. Video berkenaan dengan jelas memaparkan seorang lelaki berlari dari seberang jalan ke arah bahagian hadapan kereta tersebut, sebaik sahaja kereta itu membelok masuk ke simpang.

Kemalangan yang sengaja dicetuskan oleh lelaki berkenaan telah menyebabkan cermin hadapan kereta tersebut turut retak teruk, sementara ‘mangsa yang dilanggar’ jatuh ke hadapan kereta. Apa yang menarik lagi, tidak semena-mena datang dua orang ‘saksi’ untuk menolong lelaki berkenaan.

Sekali tengok, sudah tentu orang ramai dan juga polis akan percaya terhadap cerita scammer tersebut yang disokong oleh dua orang saksi bahawa dia telah dilanggar. Namun apabila pemilik kereta itu meminta mereka tunggu dahulu sehingga polis datang kerana dia mempunyai dashcam yang merakam seluruh kejadian, kesemua mereka tergesa-gesa meninggalkan tempat kejadian.

Ada yang menyatakan bahawa polis sudah pun mengetahui modus operandi kumpulan ini kerana sebelum ini sudah ada mangsa mereka yang membuat laporan polis terhadap taktik penipuan yang dibuat. Jadi pengajarannya, kalau ada duit lebih, pasanglah dashcam. Macam-macam cara orang nak menipu zaman sekarang ni.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.