CEO Proton Dr. Li Chunrong sahkan X50 dan X70 facelift akan dilancarkan tidak lama lagi

CEO Proton Dr. Li Chunrong sahkan X50 dan X70 facelift akan dilancarkan tidak lama lagi

Hujung tahun lalu Proton dilihat mula menguji versi facelift untuk dua model sedia adanya iaitu SUV segmen-C Proton X70 dan juga SUV segmen-B Proton X50. Ketika berlangsungnya majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2024 Proton bersama media malam tadi, CEO syarikat tersebut Dr. Li Chunrong memberikan bayangan bahawa kedua-dua model tingkat taraf berkenaan bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Menurut Dr. Li, empat model Proton yang diasaskan dari model Geely yang dijual di China iaitu X70, X50, X90 dan S70 dihasilkan sebagai sebahagian dari strategi Proton untuk kembali menghasilkan keuntungan. Dengan pelancaran X90 dan S70 tahun lalu, ini bermakna fasa tersebut telah lengkap dan Proton kini dalam fasa bagi mengekalkan pertumbuhannya.

Dalam fasa baharu ini Proton bakal memberikan tingkat taraf dan penyegaran bagi model-model tersebut. Oleh itu dua model berasaskan Geely terawal iaitu X70 yang diperkenalkan pada Disember 2018 dan X50 yang muncul pada Oktober 2020 akan dilancarkan semula dalam versi facelift dengan rupa yang lebih segar tidak lama lagi.

Bagi X70 facelift, unit prototaip yang diuji dilihat hampir lengkap sebagai model produksi. Ia nampaknya tampil dengan bahagian muka hadapan yang lain sepenuhnya, dilengkapi dengan lampu hadapan lebih nipis, bonet hadapan yang lebih berotot dan juga bampar dengan kemasan liang udara yang nampak lebih lebar, di mana kesemua perincian ini kelihatan seiras dengan kembarnya di China iaitu Geely Boyue facelift 2022.

CEO Proton Dr. Li Chunrong sahkan X50 dan X70 facelift akan dilancarkan tidak lama lagi

Namun pada bahagian gril, X70 facelift ini diberikan rekaan asli dari Proton bercorak pin krom seperti pada X90 dan S70 yang sebenarnya diinspirasikan dari corak kain songket warisan melayu. Sebelum ini X70 menerima gril dengan rekaan infinite weave yang diilhamkan dari corak ukiran rumah tradisional melayu.

Unit prototaip itu juga dilihat menggunakan unit rim yang sama seperti Boyue facelift 2022. Manakala di belakang, emblem ‘X70’ sudah pun dilekat pada pintu tailgate (tetapi masih dilindung dengan pelekat hitam), serta rekaan kemasan diffuser di bawah bampar juga menerima pembaharuan.

Untuk X50 pula, unit prototaip ujian yang dilihat tahun lalu mengesahkan bahawa ia menerima rupa yang sama dengan Geely Binyue versi facelift yang dikenali dengan nama Binyue Cool di China. Jadi perubahan muka pada X50 facelift ini juga adalah drastik dan lebih agresif berbanding model sedia ada.

Ia diberikan lampu utama baharu yang lebih nipis dan tajam, bersama gril hadapan dan gril bampar yang sangat besar dengan elemen mesh, memberikan imej seakan huruf-X persis model-model Lexus. Perubahan ketara juga diberikan pada sebelah belakang dengan rekaan lampu belakang menampilkan lebih nipis, dan ia kini merentangi sepenuhnya pintu hatch belakang dengan perumah nombor pendaftaran telah dialihkan ke bawah.

Bayangan digital Proton X50 facelift oleh Theophilus Chin

Walau bagaimanapun, unit prototaip X50 facelift tersebut masih lagi dalam peringkat awalan di mana ia masih dalam versi pemanduan sebelah kiri serta masih menggunakan gril dan logo Geely pada bahagian hadapan. Jadi boleh dijangka ia akan dilancarkan lebih lambat, mungkin pada suku ketiga atau keempat tahun ini.

Untuk X90 dan S70, walaupun kedua-dua model ini baru sahaja masuk ke pasaran tidak sampai setahun tidak bermakna ia tidak akan menerima sebarang kemaskini dari Proton. Seperti yang kami laporkan sebelum ini, sistem infotainmen untuk X90 bakal ditingkat taraf bagi membolehkan ia menerima sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

Manakala untuk S70 pula, sedan dengan enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dan kotak gear DCT tujuh kelajuan berkenaan berkemungkinan bakal menerima varian dengan prestasi lebih baik yang diberikan lencana sayap talaan dan perlumbaannya iaitu R3.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required