Proton X50 facelift dilihat sedang diuji – masih versi pemanduan sebelah kiri, perubahan luar dan dalam

Proton X50 facelift dilihat sedang diuji – masih versi pemanduan sebelah kiri, perubahan luar dan dalam

Baru-baru ini Proton telah dilihat sudah mula menguji versi facelift untuk SUV paling larisnya iaitu X50. Dan ini – kami baru sahaja menerima imej lebih jelas unit prototaip berkenaan, dikirim oleh pembaca paultan.org, Noor Syazwan Sajali.

Nampaknya unit prototaip ujian ini masih dalam bentuk peringkat paling awal iaitu dalam versi pemanduan sebelah kiri yang dibawa dari China. Dan asas model facelift ini jelas diambil dari Geely Binyue facelift (juga dikenali sebagai Binyue Cool) yang sudah pun diperkenalkan di sana pada tahun lalu.

Binyue Cool di China menerima rekaan yang lebih agresif serta perubahan agak besar pada bahagian hadapan dan belakang. Untuk muka, ia diberikan lampu utama baharu yang lebih nipis dan tajam, bersama gril hadapan dan gril bampar yang sangat besar dengan elemen mesh, memberikan imej seakan huruf-X persis model-model Lexus.

Unit prototaip awalan ini nampaknya masih mengenakan gril asal Binyue Cool bersama logo Geely yang disorok di sebalik pelekat penyamaran. Kemungkinan besar (seperti biasa) bahagian ini akan diberikan sentuhan Proton dengan signatur rekaan studionya di Shah Alam.

Manakala di belakang, lampu SUV kompak ini menampilkan rekaan yang lebih nipis, dan ia kini merentangi sepenuhnya pintu hatch belakang dengan perumah nombor pendaftaran telah dialihkan ke bawah.

Bampar juga direka semula dengan lebih garang, menampilkan reflektor yang kini diposisikan menegak dan lebih tinggi pada perumah berbentuk seperti liang ambilan udara. Empat tip ekzos pada bampar masih lagi dikekalkan, dengan diffuser yang direka semula untuk disesuaikan dengan imej baharu ini.

Geely Binyue Cool 2022

Apa yang menarik, set foto kali ini turut memperlihatkan sedikit bahagian dalaman unit ujian X50 facelift berkenaan. Dapat dilihat jelas ia menerima perubahan besar pada papan pemuka di mana skrin instrumen digitalnya memberikan gaya paparan yang sama seperti pada Proton X90 serta ia bersambung dengan skrin infotainmen di tengah.

Liang penghembus udara pada bahagian tengah juga nampak berbeza dari model sedia ada, manakala suis-suis kawalan gaya kekunci piano di bawahnya juga menerima rombakan rekaan yang besar.

Geely Binyue Cool 2022 di China kini sudahpun menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder turbo berkuasa 181 hp. Namun untuk Proton X50 facelift 2024 kelak boleh dijangka ia akan masih dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo berkuasa 177 PS/255 Nm.

Ini kerana Proton baru sahaja melabur sejumlah RM1.8 bilion untuk kilang enjinnya di Tanjung Malim, Perak bagi memproduksi enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder tersebut bermula tahun lalu, dan menyatakan bahawa ia akan menjadi enjin utama bagi model-model baharunya selepas ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required