Mercedes-Benz GLS FL 2024 tiba di Malaysia — GLS 450 berharga RM1 juta, Maybach GLS 600 RM1.9 juta

Mercedes-Benz GLS FL 2024 tiba di Malaysia — GLS 450 berharga RM1 juta, Maybach GLS 600 RM1.9 juta

Mercedes-Benz GLS generasi X167 versi facelift kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dengan ditawarkan dalam dua versi iaitu permulaan GLS 450 4Matic pada harga (tidak termasuk insurans) RM999,888 dan Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic RM1,918,888.

Bagi GLS 450 4Matic, ia datang dengan enjin petrol enam silinder 3.0 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 381 PS dari 5,800 rpm hingga 6,100 rpm dan tork 500 Nm pada 1,800 rpm, dan dibantu dengan sistem hibrid ringkas integrated starter alternator (ISG) yang boleh memberikan tambahan 20 PS (20 hp) dan 200 Nm tork. Kuasa dihantar kepada semua roda melalui transmisi automatik sembilan kelajuan.

Membezakan bahagian luar model facelift yang tiba dengan kemasan AMG Line ini berbanding model sebelumnya adalah gril hadapan, bampar hadapan serta bukaan udara di bucu bamparnya. Ia kemudiannya ditambah lagi dengan kemasan pelindung bawah bampar, pemijak tepi berlampu serta rim AMG 22 inci. Tugas serapan dilaksana suspensi Airmatic.

Mercedes-Benz GLS FL 2024 tiba di Malaysia — GLS 450 berharga RM1 juta, Maybach GLS 600 RM1.9 juta

Lampu utama GLS 450 4Matic menggunakan unit adaptif Multibeam LED, sementara lampu belakang pula mendapat pencahayaan baru berbentuk tiga petak di dalamnya. Turut disediakan adalah lampu di bawah pintu hadapan, yang boleh memancarkan logo Mercedes-Benz apabila pintu dibuka, dan kelengkapan seperti Magic Vision Control, pintu bukaan kuasa serta Guard 360.

Masuk ke dalam, sistem infotainmen MBUX SUV tiga baris tempat duduk ini dinaik taraf dengan paparan baru, yang disediakan dalam tiga pilihan iaitu Classic, Sporty atau Discreet, serta tiga mod iaitu Navigation, Assistance dan Service.

Penumpang yang duduk di baris kedua akan mendapat lebih lagi kemudahan dan sistem hiburan MBUX High-End Rear Seat Entertainment System, yang terdiri daripada dua skrin sesentuh 11.6 inci untuk memainkan video atau melayari internet. Ia juga boleh disambungkan kepada peranti pintar dengan sistem Apple CarPlay dan Android Auto, dan didatangkan dengan fon kepala tanpa wayar, manakala sistem bunyi pula diambil daripada Burmester.

Kemasan di bahagian dalam GLS 450 4Matic menggunakan gabungan panel kayu walnut berwarna coklat serta balutan kulit sintetik Nappa dan Artico. Untuk tempat duduk hadapan, ia disediakan dengan kusyen jenis aktif, kesan urutan batu panas, fungsi pemanas dan liang udara, Energising Air Control serta Air Balance Package.

Sementara itu, tempat duduk baris kedua pula mendapat fungsi mengurut serta sokongan lumbar, dan ditambah dengan pakej Rear Comfort Package Plus yang memberikan penyandar kepala mewah, tablet MBUX dan pengecas tanpa wayar. Turut disediakan adalah pengecas USB dengan kadar 100 watt serta kawalan pendingin hawa automatik Thermotronic.

Senarai panjang sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang terdapat pada GLS 450 4Matic turut ditambah dengan pakej kamera 360 darjah, yang boleh memaparkan keadaan sekeliling kenderaan, seperti ClearSight Ground View daripada Land Rover.

Mercedes-Benz GLS FL 2024 tiba di Malaysia — GLS 450 berharga RM1 juta, Maybach GLS 600 RM1.9 juta

Jika mahukan SUV ini dalam versi yang lebih mewah dan berprestasi, pilihannya adalah GLS 600 4Matic. Selain lencana yang jelas tertulis Maybach, ia boleh dikenali dengan penggunaan lebih banyak kemasan krom, termasuk pada grilnya yang besar, serta beberapa bahagian lain di badan kenderaan. Rim menggunakan unit 23 inci, dan dipegang oleh suspensi Airmatic serta sistem E-Active Body Control.

Di bawah hud model ini terdapat enjin V8 petrol 4.0 liter biturbo yang mampu menghasilkan kuasa 557 PS pada 6,000 rpm dan tork 770 Nm antara 2,500 rpm ke 4,500 rpm, dan turut dibantu oleh sistem hibrid ringkas integrated starter-generator (ISG) yang memberikan tambahan kuasa 22 PS dan 250 Nm.

Kelengkapan tambahan lain di bahagian luar yang datang sekali pada Maybach GLS 600 4Matic ini adalah termasuk lampu yang boleh memancarkan logo corak Mercedes-Maybach di bawah pintu hadapan dan belakang serta pintu jenis vakum. Badannya pula boleh dipilih dengan warna dua tona.

Di bahagian dalam, Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic menyediakan lebih kemewahan dengan pakej balutan Manufaktur yang menggunakan kulit Nappa termasuk pada tempat duduk, lapik bumbung serta panel tepi, dan konsol tengah yang mempunyai jahitan corak berlian.

Tiada tempat duduk baris ketiga pada Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic ini, dan baris kedua dijadikan lebih mewah dengan tempat duduk Executive berserta perehat kaki yang datang dengan fungsi mengurut – panel kawalannya berada di bahagian tengah. Menjadikan bunyi audio lebih sedap pada model ini adalah pakej penebat Acoustic Comfort dan penumpang juga boleh menikmati lampu suasana di bahagian bumbung.

GALERI: Mercedes-Benz GLS450 4Matic facelift 2024 X167 di Malaysia

GALERI: Mercedes-Maybach GLS600 4Matic 2024 di Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required