Banyak kes kecurian motosikal berlaku akibat kecuaian pemiliknya sendiri – Polis Kedah

Polis Kontijen Negeri Kedah hari ini telah berkongsi satu video menerusi laman media sosial mengenai kes kecurian motosikal yang kerap berlaku di negeri berkenaan. Dalam rakaman video tersebut, anggota polis tersebut mahu menunjukkan betapa mudahnya satu jenayah curi motosikal boleh dilakukan disebabkan kecuaian pemilik kenderaan itu sendiri.

Dengan meronda kawasan tumpuan ramai termasuk di pusat komersial, ternyata ada pemilik motosikal yang cuai dengan meninggalkan kunci motosikal masing-masing, tanpa pengawasan. Pastinya ini mampu mengundang perhatian individu yang berniat jahat, maka terjadilah risiko kes kecurian motosikal hanya disebabkan kecuaian pemilik kenderaan terbabit.

Menurut anggota polis terbabit, dalam masa 40 minit rondaan sahaja sewaktu rakaman dibuat, beliau berjaya ‘mencuri'(mengesan) empat buah motosikal kerana kecuaian pemilik motosikal yang meninggalkan kunci pada suis penghidup enjin kenderaan terbabit. Ada pemilik motosikal terbabit yang memberikan alasan memarkir motosikal di hadapan pintu masuk kedai tetapi langsung tidak menyedari tindakan anggota polis terbabit yang ‘mencuri’ kenderaannya.

“Apabila kita meletakkan kenderaan di tempat awam, pastikan kita menggunakan kunci tambahan supaya dapat mengurangkan risiko jenayah curi motosikal,” nasihat anggota polis terbabit. Beliau juga menunjukkan antara contoh tindakan yang bijak apabila ada pemilik motosikal merantai tayar motosikalnya pada palang besi yang disediakan di kawasan parkir motosikal.

Dalam masa yang sama, Polis Kedah turut berkongsikan lokasi di mana kecurian kenderaan kerap berlaku iaitu di tempat letak kereta awam, kompleks membeli-belah, di hadapan rumah, di tepi jalan raya dan di tempat letak kereta di hotel-hotel dan rumah ibadat.

Katanya, antara faktor kecurian kenderaan termasuklah kenderaan tidak dikunci, tiada kunci tambahan, meletakkan di tempat yang terpencil atau gelap pada waktu malam dan meninggalkan barang berharga di motosikal atau kereta.

Katanya, antara tip untuk mencegah kecurian kenderaan ialah dengan memastikan kenderaan dipasang dengan alat penggera keselamatan yang baik, memasang kunci tambahan untuk stereng, gear, roda dan klac, pastikan juga kenderaan sentiasa dikunci dan sentiasa meletak kenderaan di tempat yang mudah dilihat dan pada waktu malam letak di tempat yang terang berlampu.

Selain itu, sila pastikan anda berhati-hati supaya kunci kereta tidak ditiru semasa menghantar kenderaan anda untuk diservis, jangan serahkan kunci kepada ‘jockey’ kereta, lebih baik untuk menukar nombor pendaftaran di cermin kereta (‘sandblasting’) dan elakkan meletak kenderaan bersebelahan dengan kenderaan yang lebih besar seperti lori atau bas kerana ini memudahkan pencuri mencurinya kerana terlindung dari pandangan orang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required