Model edisi terhad HotWheels Proton Saga akan mula dijual esok pada harga RM9.90, hanya ada di Malaysia!

Model edisi terhad HotWheels Proton Saga akan mula dijual esok pada harga RM9.90, hanya ada di Malaysia!

Ada sesiapa yang tertunggu-tunggu bila sebenarnya model edisi terhad HotWheels Proton Saga akan mula dijual? HotWheels Malaysia baru sahaja memberitahu kami sebentar tadi bahawa anda boleh mula untuk membeli model ini di gedung-gedung beli-belah utama, kedai-kedai mainan, kedai serbaneka dan juga di kedai-kedai stesen minyak seluruh negara bermula esok, 23 April 2024!

Sekiranya anda berjaya mendapatkan model ini di outlet-outlet yang disebutkan tadi, bermakna anda boleh membeli sebuah Proton Saga HotWheels edisi terhad ini pada harga runcit yang disarankan RM9.90 sahaja. Walaupun ia dijual pada harga yang sama dengan versi mainline, kami difahamkan versi edisi terhad ini tidak terkandung dalam mana-mana kumpulan Dash/Case mainline 2024 dan ia hanya dijual di pasaran Malaysia sahaja.

Seperti yang disebut sebelum ini, model edisi terhad ini masih menampilkan Proton Saga generasi pertama skala 1/64 seperti versi mainline Hot Wheels yang sudahpun mula dijual bermula Oktober tahun lalu. Saga berkenaan datang dalam kemasan badan berwarna merah, diberikan grafik logo asli ‘Saga’ bagi model 1985 pada pintu belakang dan logo HotWheels pada pintu hadapan, serta set roda plastik AeroDisc.

Namun untuk versi edisi terhad ini ia akan menggunakan pakej kad blister istimewa rekaan kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun, Saw Jane Harn dari Pulau Pinang telah menjadi pemenang pertama pertandingan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition tahun lalu.

Hern menghasilkan rekaan berkenaan dengan hanya lukisan tangan menampilkan unsur-unsur Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas, Bunga Raya, Harimau Malaya dan Burung Kenyalang pada kad blister tersebut. Hasil karya Hern dan peserta-peserta yang menyertai pertandingan ini turut dinilai oleh Azlan Othman, ketua pereka Proton yang dilantik sebagai salah seorang juri.

Nama dan perincian rekaan yang dihasilkan oleh Hern juga nampaknya diabadikan oleh HotWheels menerusi perincian yang ditulis pada bahagian belakang kad blister berkenaan. Ini pastinya bakal memberikan kenangan yang cukup manis buat Hern bukan?

Projek bagi menjelmakan Proton Saga generasi pertama ini diumumkan secara rasmi pada Disember 2022. Ia merupakan kerjasama rasmi pertama antara Proton dan HotWheels sempena ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia (anak syarikat Mattel Inc), juga untuk menyambut ulangtahun Proton ke-40 tahun lalu.

Kilang pertama Mattel di Malaysia yang tarletak di Pulau Pinang mula dibuka pada tahun 1981, dan buat masa sekarang kilang tersebut sememangnya kilang HotWheels terbesar di dunia dan memproduksi model-model mainline Hotwheels untuk pasaran global. Ia mampu menghasilkan sekitar 900,000 unit kereta mainan HotWheels seminggu, dengan tenaga kerja seramai 3,900 orang.

Mattel bercadang untuk membesarkan lagi fasiliti tersebut bagi membolehkan jumlah pekerjanya naik 10% kepada hampir 4,300 orang. Pembesaran tersebut turut akan memanfaatkan Mattel Development and Tooling Sdn. Bhd. (MDT), iaitu kilang kedua Mattel di sini yang dibuka pada 1985, yang juga merupakan fasiliti untuk pembangunan produk, penghasilan model digital, rekaan acuan dan juga pengilangan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required