MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

BMW Group Malaysia hari ini turut memperkenalkan MINI Countryman U25 serba baru di Malaysia. Dengan saiz yang lebih besar berbanding model generasi kedua F60 yang terdahulu, ia ditawarkan dalam janaan enjin petrol dan untuk pertama kali, versi elektrik sepenuhnya.

Varian yang ditawarkan terdiri daripada Countryman SE All4 elektrik, dengan harga anggaran RM260,000 — ini RM26,000 lebih murah berbanding BMW iX1 xDrive30. Varian petrol pula diwakili oleh John Cooper Works Countryman, yang dijual dengan harga RM399,000. Serahan dijangka akan dilakukan pada suku ketiga tahun ini.

MINI Countryman SE All4

Bagi model SE, All4 merupakan konfigurasi dengan dua motor elektrik, yang secara keseluruhannya menjana 313 PS (230 kW) dan 494 Nm. Ini angka janaan yang sama dengan iX1 xDrive30, dan membolehkannya mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat (0.1 saat lebih pantas berbanding model BMW tersebut), dengan laju maksimum 180 km/j.

Model ini dilengkapi dengan bateri 66.5 kWh, dengan jarak perjalanan 432 km mengikut kitaran WLTP. Untuk pengecasan, Countryman memanfaatkan pengecas pantas DC 130 kW (bateri 10-80% dalam masa 30 minit), dengan input pengecasan AC 22 kW. Menggunakan UKL2 platform yang sama dengan iX1, Countryman baru ini lebih besar dengan 130 lebih panjang dan jarak roda bertambah 22 mm berbanding model sebelumnya.

MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

Antara kelengkapan yang ada termasuklah lampu utama LED berpetak dengan DRL, gril depan besar, kemasan fender besar, pemegang pintu unik dan lampu belakang LED “matrix” boleh kustom. Spesifikasi untuk Malaysia adalah dengan kemasan Favoured, yang hadir dengan tambaran kemasan luar hitam berkilat, skid plate hiasan serta pilihan antara bumbung warna Piano Black atau Vibrant Silver. Ini dilengkapi dengan rim Windmill Spoke 20-inci dua-tona.

Di dalam, ruangnya juga lebih luas — ruang barangan misalnya boleh dipertingkat dari 460 liter menjadi 1,350 liter dengan kerusi belakang dilipat. Rekaan papan pemuka balutan fabrik Dark Petrol, stereng sport tiga jejari, corong pendingin menegak dan konsol tengah lebar dengan banyak ruang simpanan.

Skrin sentuh OLED di tengan bersaiz 9.4-inci dengan perisian MINI Operating System 9 berasaskan Android, dengan sistem kawalan suara “Hey MINI”. Kluster instrumen pula diganti oleh head-up display. Turut tersedia ialah MINI Digital Key Plus untuk telefon pintar, MINI Driving Sounds dan sistem kamera 360-darjah dengan Remote 3D View. Suis di bawah skrin diringkaskan menjadi dua — untuk pemilih gear dan juga mod pemanduan, serta ada tombol pembesar suara, butang brek parkir dan tombol penghidup yang unik.

MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

Kemasan Favoured melibatkan tambahan kerusi sport JCW yang diperbuat daripada kulit buatan Vescin Beading dalam warna Vintage Brown atau Dark Petrol. Selain itu, ada juga ciri kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori dan urut, pelapik bumbung hitam dan sistem bunyi Harman Kardon dengan 12-pembesar suara.

Dari segi kelengkapan, kereta ini datang standard dengan pakej Driving Assistant Plus, yang hadir dengan tambahan AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, bantuan stereng evasif, peninjau titik buta dan pengesan papan tanda trafik. Selain itu turut dipasang ciri Parking Assistant Professional — terdiri daripada bantuan parkir jarak jauh melalui telefon pintar, Manoeuvring Assistant dan Reversing Assistant.

MINI John Cooper Works Countryman All4

MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

Walaupun sebagai model prestasi, versi JCW mempunyai kuasa yang kurang berbanding varian EV. Enjin B48 2.0 liter turbocas empat-silindernya menghasilkan 300 PS dan 400 Nm tork. Digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dan pacuan semua roda, model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Penyerap hentak adaptif juga disediakan.

Membezakan versi JCW daripada SE ialah pakej luaran lengkap yang datang dengan bampar depan lebih agresif, rekaan diffuser besar dengan empat muncung ekzos serat bumbung dan perumah cermin warna merah. Rim pula 21-inci JCW Flag Spoke dengan tayar Pirelli P Zero, serta kaliper brek JCW Performance merah.

Di dalam, yang berbeza ialah stereng JCW, kemasan fabrik dalaman khusus JCW dalam warna merah-hitam, kerusi balutan kulit buatan JCW Black Vecsin. Ruang butnya juga lebih besar dengan 505 liter dan boleh dilanjutkan menjadi 1,530 liter dengan kerusi dilipat.

MINI Countryman SE All4

MINI John Cooper Works Countryman All4

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required