PANDU UJI: Proton S70 Flagship X 2024 – sedan segmen-C yang lebih sempurna selepas Preve?

PANDU UJI: Proton S70 Flagship X 2024 – sedan segmen-C yang lebih sempurna selepas Preve?

Sedan dan Proton memang tidak dapat dipisahkan. Sejak ia ditubuhkan pada 1983, Proton telah memilih model sedan sebagai produk pertamanya menerusi Proton Saga yang dilancarkan pada 1985. Pada masa itu Proton mungkin boleh memilih model hatchback bagi menawarkan model dengan harga yang lebih mampu milik, namun sedan adalah segmen yang memberikan impak lebih tinggi kerana penggunaannya yang lebih versatil termasuk boleh memuatkan seisi keluarga kecil bersama ruang but yang besar.

Selepas itu Proton menawarkan lebih banyak model-model sedan seperti Wira, Waja, Persona, di mana model-model ini bukan hanya praktikal, malah memberikan keseronokan memandu yang sebenar. Bagi sedan segmen-C terakhir dihasilkan oleh Proton sebelum kerjasama bersama Geely iaitu Preve, model berkenaan turut memberikan pengendalian yang cukup baik, malah boleh dikatakan antara yang terbaik dalam kelasnya.

Namun Preve mempunyai satu kelemahan iaitu unit rangkaian kuasa – dengan sumber yang terhad, Preve diberikan enjin 1.6 liter Campro Turbo, dan digandingkan bersama kotak gear CVT dari Punch. Enjin tersebut memberikan kuasa yang agak baik, namun dengan kadar penggunaan bahan api yang agak tinggi, manakala kotak gear CVT Punch agak merencatkan keseronokan memandu kerana bising, kurang responsif dan menyebabkan enjin meraung tidak tentu hala.

Akhir tahun lalu, Proton hadir dengan model gantian untuk Preve, kali ini dengan unit rangkaian kuasa yang lebih menyakinkan dan dilihat setara dengan apa yang ditawarkan oleh pesaing-pesaing terdekatnya. Diberi nama Proton S70, adakah sedan ini model yang sempurna menutupi kekurangan Preve sebelum ini?

PANDU UJI: Proton S70 Flagship X 2024 – sedan segmen-C yang lebih sempurna selepas Preve?

Ketika dilancarkan, Proton S70 ditawarkan dalam empat varian bermula varian paling asas Executive berharga RM73,800, Premium berharga RM79,800, Flagship berharga RM89,800 dan Flagship X berharga RM94,800. Harga yang dinyatakan adalah atas jalan tidak termasuk insurans. Manakala unit yang penulis uji ini adalah dari varian paling tinggi lengkap dengan bumbung suria iaitu Flagship X.

Seperti yang ramai tahu, S70 dibangunkan berdasarkan Geely Emgrand yang dijual di pasaran China, Filipina dan beberapa pasaran Timur Tengah. Jadi pada bahagian luaran, S70 menampilkan rupa hampir sepenuhnya sama seperti Emgrand, kecuali gril hadapan Cascading Cosmos Geely digantikan dengan gril Proton yang menggunakan motif corak kain songket warisan Melayu.

Pada pendapat penulis sendiri, walaupun Proton hanya menukar gril, ia sudah memadai untuk mengubah karekter S70 berbanding Emgrand. Gril berkenaan membolehkan muka S70 ini nampak lebih lebar, ditambah dengan kit badan asli yang dipadankan, sedan dari Proton ini nampak lebih tegap berbanding Geely Emgrand.

Tiada gimik rekaan yang try hard seperti menampilkan bumbung yang nampak seperti sebuah coupe, atau bentuk-bentuk lampu pelik seperti kapal angkasa, S70 nampak kacak kerana ia adalah sedan yang menampilkan rekaan klasik tiga kotak yang kita semua rindui.

Ditambah dengan pengaruh rekaan dari bekas pereka Volvo iaitu mendiang Peter Horbury (sebelum ini menyandang jawatan sebagai naib presiden rekaan global di Geely Auto Group) seperti garis bahu dan penutup hud hadapan yang nampak berotot, menambahkan lagi karisma terhadap sedan ini.

Konsep bersederhana ini diteruskan pada rekaan kabin. Papan pemuka S70 ini direka ringkas dengan rekaan mendatar di mana liang penghawa dingin dilihar seperti merentangi sepenuhnya pada lapisan tengah. Butang-butang kawalan penghawa dingin pula direka seperti kekunci piano yang dapat menjimatkan banyak ruang berbanding menggunakan suis putar.

Ruang dalaman Proton S70 ini juga tidak lokek dengan material sentuhan lembut. Selain dari panel yang selalu bersentuhan dengan pemandu seperti perehat tangan, pemegang pintu dan sebagainya, komponen lain seperti pada bahagian atas papan pemuka, panel pintu juga terasa lembut.

Tapi apa yang paling champion pada ruang dalaman S70 ini adalah ruang-ruang storan yang diberikan cukup banyak dan besar. Untuk meletak telefon, ada dua ruang yang boleh anda guna – sama ada letak sahaja pada pad pengecas tanpa wayar, atau anda boleh letak pada slot di hadapannya.

PANDU UJI: Proton S70 Flagship X 2024 – sedan segmen-C yang lebih sempurna selepas Preve?

Pad pengecas tanpa wayar pada konsol terowong itu juga sebenarnya direka ‘terapung’ kerana di bawahnya terdapat satu ruang storan yang sangat besar membolehkan golongan wanita untuk ‘menyembunyikan’ beg tangan mereka di bahagian tersebut.

Pemegang cawan pada konsol tengah ini juga menampilkan dua saiz di mana salah satu daripadanya adalah lebih kecil dan kurang ‘dalam’ membolehkan anda meletak cawan kopi panas dengan selamat. Manakala pada perehat tangan juga mempunyai ruang storan yang besar di dalamnya, cukup untuk anda menyimpan sebungkus goreng pisang dengan nilai RM10 agar ia tidak terlalu sejuk bila sampai di rumah.

Tidak cukup ruang storan pada konsol tengah, ruang simpanan pada panel pintu juga tidak kurang besarnya. Kedua-dua pintu hadapan mempunyai pemegang botol yang boleh memuatkan botol air mineral 1.5 liter, bersama satu lagi slot yang boleh memuatkan sekaki payung lipat dengan kemas.

Kita beralih kepada tempat duduk pula. Mungkin ada yang berbalah S70 ini kereta segmen-C atau segmen-B? Menerusi tempat duduk, penulis berpendapat S70 adalah model segmen-C sebenar. Ini kerana tempat duduk hadapan sedan ini tidak direka ‘tertenggek’ seperti kebanyakkan model-model segmen-B di mana rekaan ‘tertenggek’ sebegitu dibuat kerana untuk memberikan ruang lutut yang lebih besar menggunakan ruang dalaman yang sebenarnya tidak berapa besar.

Tempat duduk hadapan memberikan posisi pemanduan yang baik dan sporty – ia cukup rendah, tetapi tidak terlalu rendah sehinggakan sukar untuk keluar dari kabin. Kerusi itu sendiri juga direka dengan saiz penuh, bermakna ia memberikan sokongan sepenuhnya pada peha serta memberikan ‘pelukan’ yang kemas terhadap badan pemandu.

Walaupun dengan konfigurasi sedemikian, penumpang belakang masih diberikan ruang lutut yang cukup baik. Bercerita tentang kabin belakang, posisi duduk pada bahagian ini juga adalah selesa dengan sudut perehat belakang yang patut dan ruang antara kepala dan bumbung yang sangat cukup.

Penumpang belakang juga menerima corong pendingin hawa sendiri, dan di bahagian tersebut turut diberikan ‘poket’ untuk telefon bimbit serta port pengecas USB Type A dan Type C. Bonggol lantai di bahagian tengah ini juga sangat rendah membolehkan penumpang mudah untuk bergerak ke kiri atau ke kanan kabin.

Dengan rekaan yang ringkas dan normal juga membolehkan S70 menyediakan ruang but yang besar berkapasiti 500 liter yang boleh digunakan hampir keseluruhannya dengan dinding-dinding dan lantai yang rata serta rendah, lengkap dengan tayar gantian jenis penjimat ruang di bawah penutup lantai tersebut. Tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan nisbah 60:40 membolehkan barangan yang panjang dimuatkan dalam but itu.

Kembali ke tempat pemandu, segala paparan instrumentasi bagi varian Flagship dan Flagship X diberikan pada skrin LCD penuh 10.3-inci (hanya meter analog biasa pada Premium dan Executive) . Ia adalah skrin yang dikongsi bersama SUV paling besar Proton iaitu X90, dan ia jauh lebih canggih berbanding skrin pada Geely Emgrand sebenar.

Ini kerana S70 menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) termasuk cruise control pintar dengan kawasan stereng ala-sistem Pilot Assist Volvo, di mana segala maklumat dan kawalan fungsi tersebut perlu dipaparkan pada skrin ini, sementara Geely Emgrand tidak menerima sebarang sistem ADAS.

Skrin ini juga boleh diubah dengan beberapa konfigurasi berbeza. Namun pada pendapat penulis sendiri, rekaan pada skrin yang tidak menonjolkan bacaan takometer ini agak kurang sporty berbanding skrin yang ditawarkan pada X50 dan grafik paparannya nampak lebih sesuai untuk model yang menawarkan sistem elektrifikasi.

Beralih ke skrin infotainmen, bagi varian Flagship dan Flagship X ia diberikan dengan skrin sesentuh 12.3-inci. Skrin ini memberikan paparan untuk kamera 360-darjah, dan juga digunakan untuk pelarasan dan tetapan untuk pelbagai fungsi kereta. Selain dari menggunakan suis fizikal, sistem penghawa dingin turut boleh dikawal menerusi skrin ini yang memberikan paparan digital yang lebih interaktif.

Seperti yang diketahui, Proton S70 dan juga model-model terkini buat masa sekarang belum lagi diberikan sokongan untuk fungsi Android Auto dan Apple CarPlay. Walau bagaimanapun anda masih boleh menggunakan fungsi screen mirroring menerusi aplikasi QD Link yang disertakan bagi membolehkan aplikasi telefon pintar digunakan pada skrin tersebut.

Memang agak sedikit leceh untuk menggunakan QD Link ini berbanding Apple CarPlay mahupun Android Auto, namun bagi penulis skrin ini tidak perlu dihubungkan pun pada telefon pintar. Ini kerana skrin itu sendiri sudah tersedia aplikasi strim muzik iaitu Spotify dan Jook serta mempunyai sistem navigasinya sendiri tanpa perlu anda menggunakan Waze atau Google Maps di telefon pintar.

Sistem navigasi bina-dalam ini turut dihubungkan kepada internet membolehkan ia menerima maklumat trafik masa sebenar seperti Waze dan Google Maps dan menyediakan laluan terpantas yang boleh dipilih oleh pengguna. Grafik yang digunakan untuk menunjukkan lorong yang perlu anda gunakan juga ditunjuk dengan jelas, malah informasi dan peta bagi navigasi tersebut turut boleh dipaparkan pada skrin instrumen pemandu.

Selain dari skrin, S70 juga menerima tombol gear yang berbeza dań lebih canggih dari Geely Emgrand. Berbanding Emgrand yang menerima tuil penukar gear konvensional yang perlu digerakkan ke hadapan atau belakang untuk memilih gear, S70 pula sekali lagi menerima perincian dari X90 iaitu tombol gear shift-by-wire bersama mod manual.

Ini kerana S70 turut menerima kotak gear yang lebih canggih iaitu transmisi klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan, berbanding hanya kotak gear CVT yang dipadankan pada Geely Emgrand.

Bukan itu sahaja, Proton juga memadankan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik seperti pada SUV X50 varian Premium ke bawah, berkuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm. Enjin ini tidak ditawarkan pada mana-mana Geely Emgrand pada pasaran lain di dunia, di mana ia hanya menerima enjin 1.5 liter NA yang hanya menjana 114 PS dan tork maksima 147 Nm.

Walaupun tidak berkuasa seperti enjin 1.5L VTEC Turbo pada saingan sekelasnya iaitu Honda Civic FE, dengan enjin dan kotak gear ini sudah cukup membolehkan Proton S70 ini sebagai sedan produksi baharu paling berkuasa di Malaysia yang boleh anda beli pada harga bawah RM100,000.

Bagi penulis, dengan kotak gear DCT yang memberikan rasa ‘terus’ dari enjin ke roda ini membuatkan Proton S70 ‘terasa’ seperti lebih pantas berbanding Civic yang masih menggunakannya kotak gear CVT, walaupun hakikatnya Civic masih lagi lebih laju.

Namun ada sedikit rasa ‘turbo-lag’ dapat dirasakan ketika memecut sekiranya bermula dari kadar rpm rendah. Sekiranya ada pedal penukar gear, lag berkenaan mungkin boleh dielakkan kerana kita boleh menurunkan gear dengan lebih pantas dengan satu klik pada pedal berkenaan. Namun untuk menurunkan gear kita perlu menggunakan tombol gear yang agak lambat untuk menurunkan gear secara manual.

Dan ia lebih menjengkelkan apabila anda mahu mula bergerak pada kedudukan mendaki – lag berkenaan dirasakan bermula pada sekitar 1,000 rpm, dan bila anda menekan pedal pendikit untuk mengatasi lag tersebut, kuasa yang diberikan akan menjadi terlebih dan kereta akan menerpa ke hadapan. Walau bagaimanapun selepas tiga-empat hari memandu kereta ini penulis sudah biasanya dengannya dan dapat memberikan input pedal pendikit yang lebih baik sekiranya berhadapan dengan situasi seperti itu.

Proton memberikan tiga mod pemanduan pada S70 ini untuk dipilih pemandu. Mod Comfort ditetapkan sebagai mod default dengan keseimbangan antara kuasa dan ekonomi bahan api, sementara mod Eco pula akan menjadikan enjin dan kotak gear terasa lebih ‘malas’ bagi memberikan lebih penjimatan bahan api.

Manakala mod Sport pula ia akan memberikan input pendikit yang jauh lebih agresif serta menghilangkan lag yang dirasakan dalam mod Comfort. Namun dengan respon pendikit yang sangat agresif, mod ini agak tidak selesa untuk digunakan ketika pemanduan dalam bandar.

PANDU UJI: Proton S70 Flagship X 2024 – sedan segmen-C yang lebih sempurna selepas Preve?

Satu lagi perkara yang penulis rasa tidak sepatutnya berlaku adalah Proton tidak menyediakan butang fizikal pada roda stereng atau pada konsol tengah bagi menukar mod-mod pemanduan tersebut. Mod tersebut hanya boleh ditukar menggunakan skrin infotainmen sahaja. Apa yang lebih teruk tiada ikon untuk akses terus ke pemilihan mod pada paparan utama, di mana ia dilonggokkan bersama tetapan-tetapan lain yang atak leceh untuk dicari.

Bukan sahaja sukar untuk anda menukar mod Sport sekiranya ia diperlukan segera seperti untuk memotong kenderaan di hadapan, malah ini agak melecehkan untuk pengguna yang lebih sukakan mod Eco kerana ia akan secara automatik berubah semula ke mod Comfort setiap kali enjin dimatikan dan dihidupkan semula.

Bagi penggunaan bahan api, dalam perjalanan sejauh 200 km yang menggabungkan laluan bandar yang sibuk dan juga lebuhraya, penulis mencatatkan kadar 12.0 km/L. Jimat ke tidak? Dengan prestasi yang diberikan, penulis rasakan ia sudah cukup memadai dan berbaloi.

Sebagai pengganti Preve, tentu ramai yang menjangkakan model ini akan memberikan pengendalian yang lebih baik atau setidak-tidaknya sama tahap dengan model terdahulu itu kan? Malangnya, pengendalian S70 ini tidaklah sebaik Preve.

PANDU UJI: Proton S70 Flagship X 2024 – sedan segmen-C yang lebih sempurna selepas Preve?

Seperti yang kita tahu, Preve dibangunkan sendiri sepenuhnya oleh Proton dengan ‘ilmu’ yang ditimba dari Lotus. Kerekteristik pengendalian Preve sebenarnya sudah ditentukan ketika Proton membangunkan casis kereta berkenaan di mana ia bukan sahaja sangat keras, malah tahap keras-lembut pada bahagian tertentu pada kerangka itu sendiri sengaja dibuat bagi memberikan respon yang tajam terhadap pengendalian.

Berbeza dengan S70, kerangka untuk sedan ini telah dibangunkan oleh Geely berdasarkan platform BMA jenama tersebut. Jadi ketika diterima oleh Proton, talaan yang boleh dibuat hanyalah pada penyerap hentak dan spring.

Walau bagaimanapun, ini bukan bermakna pengendalian S70 ini teruk. Ia cuma dirasakan tidak sebagus Preve, tetapi masih lagi sebuah kereta yang seronok untuk dipandu pada jalan berliku. Proton memberikan talaan keseimbangan antara keselesaan dan juga prestasi mengambil selekoh pada sedan ini seakan model-model dari Eropah, menjadikan ia masih terasa selesa dan solid ketika melalui jalan tidak rata, tetapi masih memberikan daya olengan yang minima ketika meredah selekoh dengan laju.

Apa yang membuatkan ia kurang seronok berbanding Preve adalah respon stereng dalam ‘memberitahu’ keadaan jalan, dan juga tidak memberikan rasa yang cukup tajam ketika mengambil selekoh dan menukar lorong – ini mungkin turut disebabkan S70 hanya diberikan suspensi jenis torsion beam di belakang berbanding multilink yang lebih jitu dipadankan pada Preve.

Jadi pada pendapat penulis, kekurangan yang ada S70 ini berbanding Preve hanyalah pada pengendaliannya sahaja, sementara untuk perincian lain seperti unit rangkaian kuasa, kualiti pembuatan, teknologi keselamatan dan lain-lain perkara yang diberikan adalah jauh lebih baik dari model sebelumnya itu.

S70 juga bukanlah model yang lebih baik dari pesaing-pesaingnya yang lain seperti Honda Civic dan Mazda 3. Namun dengan spesifikasi yang diberikan dan harga yang ditawarkan, ia adalah lebih seronok untuk dipandu berbanding model-model segmen-B jenama Jepun yang dijual pada julat harga yang sama seperti sedan segmen-C Proton ini.

Walaupun ia sebuah model yang berbaloi untuk dibeli, penulis masih berharap Proton akan membuat kemaskini terhadap model ini bagi menyelesaikan perkara-perkara kecil seperti memberikan suis mod pemanduan dan juga memberikan talaan lebih linear pada kuasa enjin.

Spesifikasi lengkap Proton S70 ini serta perbezaan perinciannya mengikut varian telah kami catatkan dalam laporan pelancarannya yang boleh anda baca pada PAUTAN INI. Kalau nak tahu dan buat perbandingan S70 ini dengan model-model saingannya, anda boleh layari laman Carbase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Normal_user on Jun 09, 2024 at 10:29 pm

    Rebiu yg bagus & sy setuju dgn komen2 yg ditulis. Ruang bahu/torso penumpang depan & blkg mmg lebih lebar dari City/Vios, output enjin dan beratnya (hampir 1.3 tan) meletakkannya sah dlm segmen C. Kelemahan pd ketiadaan butang fizikal utk mod pemanduan & kamera 360. Tak perlu lihat jauh, ikut saja apa yg ada di steering Alza.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required