Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

Sayap perlumbaan dan juga prestasi sesuatu jenama automotif seperti Mitsubishi Ralliart, Toyota Gazoo Racing dan Nissan Motorsport International (NISMO) bukan sahaja berfungsi sebagai platform penyelidikan dan pembangunan (R&D) semata-mata. Falsafah dan keghairahan badan-badan penala rasmi ini juga biasanya akan menjadi alat pemasaran yang baik dengan mewujudkan sekumpulan peminat/fanboy yang fanatik terhadap jenama berkenaan persis peminat-peminat pasukan bola sepak atau artis-artis Kpop.

Formula yang sama dilihat berkesan untuk pasukan lumba dan divisi prestasi tinggi Proton iaitu Race Rally Research (R3). Ia ditubuhkan pada 2003, dan kemudian berjaya menjuarai pelbagai perlumbaan bukan sahaja di peringkat tempatan, malah turut menempa nama di peringkat antarabangsa.

Sebagai balasan kepada peminat yang memberikan sokongan, satu ketika dahulu R3 bukan hanya menjual cenderamata, malah ia turut hadir dengan katalog peralatan prestasi untuk kereta-kereta Proton, serta menghasilkan pelbagai model-model talaan penuh yang boleh dibeli di bilik pameran.

Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

Pada 2005, pasukan Proton R3 telah berjaya menjadi juara keseluruhan perlumbaan ketahanan terulung di Malaysia ketika itu iaitu Merdeka Millennium Endurance (MME). Perlumbaan yang diadakan setiap tahun berkenaan (kini dikenali sebagai Sepang 12 Hours) memerlukan kereta yang bertanding berlumba mengelilingi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selama 12 jam.

Jentera pilihan pasukan R3 untuk berhadapan dengan jentera perlumbaan seperti Porsche 996, Nissan Skyline GT-R R34, Mitsubishi Lancer Evo dan sebagainya adalah Lotus Exige 300RR – jangan lupa, ketika ini Lotus merupakan hak milik penuh Proton dan pembangunan kereta-kereta jalan raya Proton dijalankan bersama Lotus.

Lotus Exige 300RR pasukan R3 berkenaan dipandu oleh Tengku Djan Ley, bersama Tony Ricciardello dan Genji Hashimoto, berjaya menamatkan perlumbaan selama setengah hari berkenaan dengan 279 lap. Pasukan R3 bukan sahaja menjadi juara untuk kelas O, malah dinobatkan sebagai juara keseluruhan MME 2005.

Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

Bagi meraikan kejayaan tersebut, Proton telah melancarkan dua buah model edisi terhad iaitu Proton Waja MME Edition dan juga Gen2 MME Edition, dilancarkan pada Ogos 2006. Kedua-duanya dihasilkan hanya 200-unit setiap model, dan penuh dengan kit pengayaan serta peralatan prestasi dari R3 dan hanya ditawarkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

Namun pelancaran dua model berkenaan membuatkan seorang peminat Proton R3, Cikgu Amin Yahaya dari Pulau Pinang kecewa – ini kerana dua bulan sebelum Waja MME diperkenalkan, dia baru sahaja membeli sebuah Proton Waja 1.6 Campro baharu! Walau bagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat Cikgu Amin untuk menjadikan Waja miliknya sama seperti Waja MME.

Cikgu Amin bukan sekadar peminat biasa-biasa, dia boleh dikategorikan sebagai peminat fanatik Proton dan R3 – selain dari Waja berkenaan yang masih disimpan, Cikgu Amin terus setia dengan Proton dan sehingga kini memiliki model-model baharu Proton.

Dia mempunyai hubungan akrab dengan ahli pasukan R3, khususnya Daryl Lam bagi mendapatkan aksesori-aksesori asli R3 yang sama seperti apa yang ada Waja MME. Sedikit demi sedikit, barangan-barangan tersebut dikumpul, dibeli terus dari ibu pejabat R3 di Shah Alam dengan bantuan Daryl.

Namun belum sempat Waja berkenaan disiapkan sebagai sebuah Waja R3 MME sebenar, Daryl Lam meninggal dunia pada 2019, ketika itu dia masih bertugas sebagai pengurus pasukan lumba Proton R3 yang masih berjuang di perlumbaan Sepang 1000 KM (S1K).

Selepas keluar artikel kami memaparkan Proton Satria GTi hasil restorasi pertama Dream Street Restoration (DSR) kira-kira tiga tahun lalu, Cikgu Amin tahu di mana dia perlu menyudahkan Waja miliknya itu. Ini kerana pengasas bersama DSR iaitu Suriya Sankaran bukan sahaja salah seorang bekas ahli pasukan R3 yang pernah bertugas sebagai ketua projek Proton Satria Neo R3 Lotus Racing, malah merupakan salah seorang sahabat baik kepada Daryl Lam.

Waja ini diserahkan kepada DSR tahun lalu, dan projek ini didekasikan sepenuhya untuk mendiang Daryl Lam. Menurut Suriya, ketika Cikgu Amin menyerahkan Waja ini kepadanya, ia masih dalam keadaan yang sangat baik dan terjaga, serta sudah pun dilengkapkan dengan beberapa aksesori asli R3 seperti kit badan dan juga set rim. Namun untuk proses restorasi dan mengubah Waja ini untuk tampil seperti Waja MME sebenar, kesemua aksesori yang digunakan adalah baharu dalam kotak siap termasuk satu lagi set kit badan dan juga rim!

Tidak seperti projek-projek DSR sebelum ini, enjin Waja Cikgu Amin ini tidak dilakukan proses rombak rawat mahupun blueprinting. Ini kerana walaupun meter perbatuan sudah melebihi 350,000 km, enjin berkenaan masih dalam keadaan yang sangat baik.

Menurut Suriya, ketika rocker cover enjin Campro berkenaan dibuka untuk menukar gasket, mekanisma dalam kepala silinder tersebut seperti aci sesondol, rocker arm dan sebagainya masih dalam keadaan yang sangat bersih dan seperti baharu. Oleh itu selain dari gasket untuk rocker cover, DSR hanya menukar timing belt enjin tersebut.

Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

Kami sendiri menyaksikan enjin Campro Waja Cikgu Amin ini beroperasi tanpa sebarang gegaran, masih senyap dan tiada langsung bunyi ‘berdetar’ seperti lazimnya enjin-enjin Campro lain dengan bacaan odometer yang tinggi. Rahsianya? Enjin berkenaan dijaga dengan penuh kasih sayang di mana ia diservis dengan sela masa hanya sekitar 2,000 hingga 3,000 km!

Kemudian komponen-komponen R3 yang dibekalkan oleh Cikgu Amin dipasang pada ruang enjin Waja ini. Ia termasuk strut bar aluminum, cam valley cover dan penutup minyak enjin aluminium, ‘stokin’ dan juga penutup aluminium untuk reservoir minyak brek.

Enjin Campro berkenaan menggunakan extractor ekzos dari Powerzone, dan digandingkan dengan sistem ekzos R3 yang turut menampilkan muffler bersama tip berbentuk oval dan diukir dengan logo R3. Ketika Waja MME dilancarkan dahulu, R3 mendakwa sistem ekzos berkenaan mampu memberikan kuasa tambahan sebanyak 8 hp.

Bagi model Waja MME sebenar juga perubahan pada sebelah dalam adalah sangat sedikit berbanding Waja biasa – ia hanya diberikan tombol gear aluminium R3. Namun untuk Waja Cikgu Amin ini, DSR membuat rombakan penuh yang memberikan rupa lebih unik dan tersendiri serta lebih banyak perincian R3.

Pertama sekali, semua komponen-komponen dalam kabin telah dicabut keluar. Papan pemuka yang sudah berusia lebih 15 tahun berkenaan diperkuatkan dan direstorasi semula agar nampak seperti baharu. Panel-panel penutup tiang dibalut semula dengan fabrik berwarna hitam, bersama pelapik bumbung dan pelindung matahari yang turut dibalut semula dengan fabrik berwarna hitam.

Ia masih menggunakan tempat duduk asal Waja, tetapi ia telah dibalut semula dengan fabrik yang sama pada tempat duduk keluaran Recaro, dengan fabrik merah yang sama seperti Recaro Tomcat serta diberikan sulaman ‘MME Edition’ pada perehat kepala. Fabrik berkenaan turut membaluti sebahagian dari panel pintu.

Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

DSR turut memberikan sentuhan semula pada panel meter. Rekaan grafik pada meter berkenaan diubah dengan nombor yang nampak lebih besar, latar belakang dan juga lampu kini berwarna biru, logo DSR diletak pada takometer, dan logo ‘MME Edition’ ditambah pada meter kelajuan.

Waja MME sebenar juga masih menggunakan roda stereng asal dengan beg udara dan butang kawalan radio, manakala Waja MME Cikgu Amin ini nampak lebih hardcore dengan menerima roda stereng Momo Tuner (seperti Satria R3) yang dipasang menggunakan bosskit asli R3.

Selain dari itu, Waja MME Cikgu Amin ini juga menampilkan tombol gear asli R3 (ia dari versi automatik dengan kotak gear 4AT berbanding Waja MME asli yang datang hanya dengan kotak gear manual), set pedal aluminium asli R3, set tali pinggang berwarna merah serta set karpet kaki DSR yang nampak sama seperti karpet kaki R3.

Ketika dilancarkan, kesemua 200 unit Waja MME hanya dihasilkan dengan warna badan Deep Burgundy, iaitu warna perang gelap kemerah-merahan yang nampak seperti hitam. Untuk Waja MME Cikgu Amin ini pula DSR memberikan warna badan istimewa ungu gelap yang nampak seperti hitam.

Kalau anda perasan, Waja MME sebenar diberikan pelekat ‘laurel wreath’ bernombor 15 dengan satu bintang di atasnya pada kedua-dua fender hadapan, sempena Lotus Exige 300RR pasukan R3 yang berlumba dengan nombor 15. Namun tak sampai sebulan Waja MME ini dilancarkan, pasukan R3 sebenarnya sekali lagi bergelar juara MME untuk edisi 2006, dengan Exige 300RR yang sama, kali ini menggunakan nombor 12, dipandu oleh Tengku Djan Ley, Faidzil Alang dan Damien French.

Oleh itu, DSR memberikan ‘laurel wreath’ bernombor 12 dengan dua bintang di atasnya pada Waja MME Cikgu Amin ini sempena kemenangan dua tahun berturut-turut pasukan R3 dalam Merdeka Millenium Endurance. Dan apa yang istimewa, ‘laurel wreath’ berkenaan bukan dibuat menggunakan pelekat, sebaliknya diabadikan terus pada badan Waja berkenaan dengan airbrush.

Bukan itu sahaja, logo DSR dan juga MME Edition pada penutup bonet belakang juga dihasilkan menggunakan airbrush. Malah jika anda perhatikan dengan teliti, turut terdapat grafik holografik MME pada bahagian bawah sisi Waja ini yang juga dibuat menggunakan airbrush.

Seperti yang disebut tadi, Waja turut dipadankan dengan kit badan baharu yang masih tersimpan di dalam kotak, iaitu kit badan “Zerokit” R3 yang sama seperti Waja MME sebenar. Kit tersebut menampilkan bampar hadapan yang direka bersama gril berbentuk ‘Wau’, spoiler bawah serta liang yang seakan mengalirkan udara dari hadapan ke ruang roda, skirt sisi, lips bampar belakang dan juga lid spoiler pada but belakang.

Lampu hadapan Dark Titanium HID R3 Waja yang sama seperti Waja MME asli turut dipadankan, dan sebagai tambahan Waja MME Cikgu Amin ini juga diberikan logo R3 pada gril hadapan. Waja ini dilengkapkan dengan beberapa lagi perincian yang sama seperti Waja MME sebenar iaitu set rim 16-inci dengan lebar 6.5 j JRD ‘Comel’ rekaan R3, cakera brek hadapan yang ditebuk bersama pad brek Mintex R3, serta badan yang direndahkan sekitar 25 mm berbanding Waja standard menggunakan set spring asli R3.

Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

Cikgu Amin adalah salah satu contoh bagaimana sesebuah badan penala itu menjadi organisasi penting dalam jenama automotif bagi mewujudkan kesetiaan pelanggan. Harap-harapnya Proton akan meneruskan legasi R3 ini yang telah diasaskan dari pengurusan terdahulu bagi membolehkan semangat patriotik terus disalurkan dalam industri automotif dan sukan permotoran.

Tahun lalu Proton dilihat sudah seakan memberikan ‘suntikan’ baharu kepada R3 dengan meletakkan jenama berkenaan di bawah Proton Global Servis (PGS) dan memperkenalkan pelbagai barangan gaya hidup, serta pilihan minyak enjin asli dan penapis minyak enjin R3 yang dijual menerusi outlet R3 yang diwujudkan di pusat-pusat 3S/4S terpilih.

R3 juga dirancang bakal tampil dengan lebih banyak lagi komponen prestasi untuk kereta Proton serta bakal menghasilkan semula model talaan penuh seperti dahulu, dan ini semua dijangka akan berlaku tahun ini. Tetapi dalam masa yang sama, R3 nampaknya telah direhatkan beberapa tahun dan tidak lagi berlumba di Sepang. Namun bagi penulis sendiri masih berharap apa yang dirancang untuk R3 oleh pengurusan baharu Proton ini akan berjalan lancar!

GALERI: Proton Waja MME Edition ketika dilancarkan pada Ogos 2006

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required