Proton R3 sah akan hasilkan semula model talaan sebenar, tawar peralatan prestasi dalam masa terdekat

Proton R3 sah akan hasilkan semula model talaan sebenar, tawar peralatan prestasi dalam masa terdekat

Selepas Proton menjalinkan kerjasama dengan Geely, sayap prestasi dan perlumbaannya iaitu Race Rally Research (R3) dikhabarkan akan ditutup. Tetapi perkara berkenaan jelas hanyalah khabar angin kerana pasukan R3 masih lagi dilihat aktif berlumba dalam kejohanan Malaysia Championship Series (MCS) dan perlumbaan endurance Sepang 1000KM (S1K).

Namun selain berlumba, R3 dilihat tidak lagi menjual aksesori dan juga peralatan prestasi yang boleh digunakan untuk kereta-kereta Proton seperti era ia dipimpin oleh Tengku Djan Ley dahulu. Ia juga tidak lagi menghasilkan model-model talaan prestasi penuh dan edisi terhad seperti Satria R3, Satria Neo R3 Lotus Racing dan lain-lain.

Tahun lalu, Proton melancarkan Saga R3 Limited Edition dan juga Iriz R3 Limited Edition, tetapi model yang dikatakan untuk meraikan kemenangan R3 dalam perlumbaan S1K tersebut sebenarnya tidak langsung mendapat sentuhan R3, sebaliknya hanya diberikan tambahan pada aspek kosmetik semata-mata.

Minggu lalu, Proton seolah-olah melancarkan semula jenama R3 ini. Proton R3 kini diletakkan di bawah satu anak syarikat Proton Edar yang diberi nama Proton Global Service (PGS), iaitu syarikat yang diwujudkan dengan matlamat agar Proton “hadir lebih kerap di sisi peminatnya”.

Buat permulaan, R3 kini menghasilkan semula barangan-barangan gaya hidup seperti kemeja-T, topi dan sebagainya. Untuk sesuatu yang boleh ‘dihadiahkan’ pada kereta Proton anda pula, R3 kini hadir dengan minyak enjin premium yang dihasilkan bersama Petronas dan juga penapis minyak enjin. Kesemua ini anda boleh dapatkan di 20 outlet R3 Premium Merchandise Partner (PMP) yang diwujudkan di pusat-pusat 4S/3S Proton di seluruh negara.

Setakat ini sahaja penampilan R3 dalam pasaran? Dalam temubual dengan CEO PGS iaitu Lee Yeet Chuan dan juga CEO Proton Edar Roslan Abdullah (juga memegang jawatan sebagai naib CEO Proton) selepas perasmian outlet R3 PMP di Setia Gemilang Auto Sabtu lalu, kami diberitahu bahawa R3 bakal tampil kembali seperti dahulu – R3 nampaknya bukan sahaja akan menjual semula peralatan prestasi menerusi R3 PMP, malah turut akan menawarkan khidmat modifikasi untuk pelanggan serta menghasilkan model talaan prestasi penuh berdasarkan model-model produksi Proton sedia ada!

“Semestinya kami mahu membawa semula zaman kegemilangan R3. Seperti mana yang anda tahu, R3 adalah prestasi, ia lahir kerana keghairahan terhadap prestasi tinggi. Melihat kehadapan, kami berharap untuk membawa kelengkapan pretasi untuk kereta sehingga ke aksesori dan mungkin selepas itu penalaan – ini yang paling penting. Kami akan cuba untuk memilih beberapa model dari Proton yang boleh kami ubahsuai dan jualnya kepada peminat R3,” kata Lee Yeet Chuan yang lebih mesra disapa dengan nama YC.

YC turut menjelaskan bahawa model baharu dengan lencana R3 sebenar berkenaan mungkin akan muncul seawal setahun dari sekarang kerana pelbagai proses pembangunan dan juga kelulusan dari pihak berkuasa.

“Biasanya untuk membangunkan satu-satu varian baharu, ia mengambil masa paling kurang pun setahun. Ini kerana banyak proses undang-undang seperti kelulusan jenis kenderaan (VTA) dari JPJ, ujian ketahanan, dan walaupun hanya menghasilkan peralatan prestasi anda tak boleh jual terus, anda perlu melakukan ujian yang ketat seperti komponen OEM. Jadi ia akan mengambil masa lebih kurang setahun, dan anda boleh jangkakan paling cepat pun tahun hadapan,” jelas YC.

“Tahun lepas kita ada (Saga dan Iriz) R3 Special Editon, yang mana ia lebih kepada kosmetik. Jadi apa yang YC sebutkan tadi, kami akan ada model seperti edisi istimewa yang mana ia bukan sekadar kosmetik, malah ia lebih kepada model model prestasi sebenar R3 yang sah digunakan di jalan raya seperti apa yang telah dibuat sebelum ini,” tambah Roslan Abdullah pula.

“Buat masa sekarang kami masih lagi membuat penyelidikan kerana perkara paling mustahak yang saya beritahu YC adalah kita tak boleh hasilkan model R3 tapi apabila tengok dalam geran ia cuma tulis Proton Saga. Jadi kami perlu hasilkan model dengan nama R3 tertera di geran. Tetapi untuk menghasilkan model seperti ini, banyak kerja proses tambahan yang perlu dibuat. Kami juga perlu membuat imbangan dari segi harga.

“Kami perlu jual harga yang betul dan juga bekerjasama dengan pihak berkuasa. Apabila anda perlu menghasilkan varian tambahan untuk R3, anda perlu melalui proses yang sama seperti menghasilkan varian baru. Kami perlu pergi ke JPJ untuk proses VTA,” jelas Roslan.

Proton R3 sah akan hasilkan semula model talaan sebenar, tawar peralatan prestasi dalam masa terdekat

Berkenaan model yang akan dipilih untuk diberikan varian prestasi ini nanti, Roslan menyatakan bahawa ia boleh jadi model apa sahaja di bilik pameran Proton buat masa sekarang.

“Contohnya sekarang kita ada Saga, kita ada Iriz, mungkin kita boleh mula dengan model-model ini dulu. Sudah tentu ada orang yang kata kenapa tidak X50? Kenapa tidak X70? Itu juga merupakan cadangan yang baik yang kami terima dan kami akan tengok peluang tersebut. Peluang itu ada, tetapi kami kini masih sedang dalam penyelidikan. Sebelum kami pergi lebih dalam, kami perlu mula langkah demi langkah.

“Untuk proses yang lengkap saya rasa kita akan ambil masa yang lebih lama, jadi sekurang-kurangnya kita sudah buat penjenamaan semula. Dari sini, kita boleh jangka apa yang pelanggan mahu, apa yang pelanggan jangkakan, dan berdasarkan jangkaan tersebut, bagaimana pula tahap kesediaan kami.

“Jadi kami perlu pastikan bahawa semua aspek telah diteliti dan bersedia untuk membawa kami ke hadapan. Jadi inilah sebab mengapa R3 kini di bawah PGS. YC akan sepenuh masa memastikan semua aspek telah diteliti. Jadi pihak pengurusan melihat YC mempunyai pasukan yang terdiri dari pakar yang berada dalam pasukan lumba R3 sebelum ini, dan juga mereka yang terlibat dengan aksesori juga akan berada di bawahnya. Jadi mereka tidak akan terlibat dengan jualan kereta baharu, sebaliknya hanya fokus terhadap R3,” jelas Roslan lagi.

Namun menurut Roslan, model talaan penuh ini juga tidak semestinya akan dihasilkan sebagai model produksi, dan mungkin hanya prototaip untuk menilai penerimaan dalam pasaran. Dengan respon dari prototaip tersebut, R3 mungkin akan menawarkan khidmat ubahsuai untuk menjadikan kereta pelanggan sebagai sebuah model dengan prestasi R3 sebenar tanpa ia dicatatkan pada geran, jika pelanggan mahukan.

Bercakap tentang ubahsuai dan penawaran aksesori dan kelengkapan prestasi ini, YC pula mengesahkan bahawa R3 akan menawarkan produk-produk seperti set rim, suspensi, kit aero pelekat-pelekat custom dan sebagainya dalam masa terdekat, atau lebih spesifik tahun ini juga.

Menurut YC, R3 Motorsport sebelum ini hanyalah pasukan lumba, namun selepas ini R3 di bawah PGS akan menawarkan lebih perkhidmatan contohnya modifikasi kenderaan, talaan suspensi serta talaan/remap enjin. Ini kerana R3 sebenarnya telah banyak menerima permintaan dari peminat untuk mengubahsuai kereta mereka berberapa tahun kebelakangan ini.

“Oleh kerana mereka (R3) sebelum ini bukan berorientasikan perniagaan, mereka tak boleh ambil tempahan kerja tersebut. Jadi sekarang apabila mereka berpindah ke PGS, kami akan cuba masuk ke modifikasi sukan bermotor, seperti perniagaan House of R3 terdahulu, jadi kami boleh menyediakan servis kepada pelanggan kami. Bukan hanya untuk kereta baru, juga untuk pelanggan Proton sedia ada,” kata YC.

“Kami masih membuat penelitian terhadap pilihan yang ada buat masa sekarang. Ini kerana bila kita bercakap, berkomunikasi berkenaan R3, berkenaan aksesori, kosmetik, saya rasa ini tidak cukup. Semua orang boleh buat kosmetik, semua orang boleh buat aksesori. Untuk Proton, kami boleh buat kedua-duanya. Dalam aspek prestasi, aksesori, jadi kami akan menggunakan tenaga pakar yang masih bekerja dengan kami, untuk manfaat pelanggan,” tambah Roslan pula.

Roslan juga menyatakan beliau mungkin akan menggunakan kepakaran Automotive Conversion Engineering (ACE) yang juga kini berada di bawah Proton Edar. Mungkin ada yang belum tahu, ACE adalah firma kejuruteraan di bawah Proton Edar yang menghasilkan model-model ubahsuai istimewa seperti Proton Perdana Limosin yang digunakan oleh kerajaan sebelum ini.

Proton R3 sah akan hasilkan semula model talaan sebenar, tawar peralatan prestasi dalam masa terdekat

“Cuma nak jelaskan lagi apa yang YC cakap berkenaan modifikas tadi, mungkin anda pernah dengar pasal ACE yang pernah buat modifikasi kenderaan untuk kereta-kereta Proton, ia juga di bawah Proton Edar, yang juga di bawah saya. Jadi saya akan gabungkan dua syarikat ini bagi membolehkan PGS bekerja bersama bagi membolehkan kerja-kerja ubahsuai yang YC sebutkan tadi boleh dibuat di bawah ACE.

“Jadi apa yang kami lihat YC boleh membangunkan sesuatu untuk ubahsuai, dan secara asasnya apayang saya buat adalah untuk menggunakan apa sahaja sumber yang kami ada dalam Proton yang terbukti berkesan tetapi kami akan menjadikannya lebih baik kali ini,” tegas Roslan lagi.

Jadi untuk mereka yang sering bertanya bila Proton R3 nak jadi macam dulu – buat kereta prestasi, buat peralatan prestasi, patutnya sekarang dah kena kumpul duit. Ye lah, dulu masa belum ada sibuk tanya, nanti dah ada jangan lupa bagi sokongan pula ya!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required