JPJ dedah proses homologasi sebenar bagi peroleh VTA – pastikan M’sia terima model selamat, berkualiti

JPJ dedah proses homologasi sebenar bagi peroleh VTA – pastikan M’sia terima model selamat, berkualiti

Tahukah anda? Semua kereta yang dijual dalam pasaran Malaysia buat masa sekarang, perlu terlebih dahulu menjalani proses homologasi dan menerima Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval atau VTA) dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membolehkan ia diisytihar layak untuk berada di jalan raya.

Kelulusan tersebut diperlukan bukan sahaja untuk memastikan setiap model yang dijual dalam pasaran tempatan ini selamat untuk digunakan, seiring dengan pemeliharaan alam sekitar dan perkembangan teknologi semasa, malah kawalselia tersebut juga mampu mengelakkan pengeluar-pengeluar menjual kenderaan-kenderaan yang tidak berkualiti kepada pengguna di Malaysia.

Tapi, bagaimana sebenarnya JPJ menyelia proses homologasi untuk mendapatkan VTA ini? Adakah ia sekadar proses ‘syok sendiri’ dari Jabatan tersebut? Bagi memberikan penerangan kepada orang awam, JPJ buat pertama kalinya mendedahkan proses homologasi tersebut kepada pihak media yang dibuat di Putrajaya semalam.

JPJ dedah proses homologasi sebenar bagi peroleh VTA – pastikan M’sia terima model selamat, berkualiti

Program penerangan ini dibuat dengan kerjasama BMW Malaysia – JPJ melakukan simulasi bagaimana proses homologasi berkenaan dilakukan menggunakan SUV elektrik penuh (EV) yang baru sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia iaitu BMW iX xDrive40. Sesi penerangan tersebut diketuai oleh Pengarah Bahagian Kejuruteraan JPJ, Ir. Mohd Yusop Bin Mohamad. Malah, Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Zailani Hj Hashim turut hadir bagi menjawab pelbagai persoalan berkenaan homologasi VTA ini kepada pihak media.

Secara amnya, Malaysia merupakan antara 63 buah Negara Pejanji terhadap satu perjanjian multi-lateral iaitu Perjanjian 1958 di bawah rangka kerja World Forum Harmonization of Vehicle Regulation (WP29). Di bawah perjanjian tersebut, satu peraturan teknikal kenderaan dikenali sebagai Peraturan United Nation (UN) telah dibangunkan oleh kumpulan pakar antarabangsa untuk diharmonisasikan dikalangan Negara Pejanji menerusi kerangka prosedur VTA masing-masing.

Malah, semua pensijilan Peraturan UN yang dikeluarkan dikalangan Negara Pejanji juga diiktiraf bagi digunakan secara konsep mutual recognition of type approval. Jadi secara asasnya, JPJ bukan sahaja meletakkan pematuhan kepada Peraturan UN sebagai suatu penanda aras utama bagi menghasilkan prosedur homologasi VTA di Malaysia, malah pensijilan untuk semua komponen dalam kenderaan yang mahu diluluskan adalah wajib dari peraturan berkenaan.

JPJ dedah proses homologasi sebenar bagi peroleh VTA – pastikan M’sia terima model selamat, berkualiti

Malaysia menyertai WP29 ini pada 4 April 2006. Buat masa sekarang, sebanyak 63 Negara Pejanji yang menganggotai WP29 ini termasuk negara-negara di bawah Kesatuan Eropah (EU) seperti Jerman, Perancis, Itali, Sweden dan lain-lain. WP29 ini juga turut disertai oleh United Kingdom, Jepun, Australia dan New Zealand. Namun untuk Asia Tenggara, ia hanya disertai oleh Malaysia dan Thailand.

Mungkin kedengaran poyo, tapi hakikatnya dengan homologasi VTA JPJ yang menggunakan WP29 ini membolehkan kita menerima hanya model-model dengan spesifikasi setaraf dengan kenderaan-kenderaan yang diluluskan penggunaannya di Eropah dan negara-negara maju lain yang menyertainya. Dan mungkin kerana sebab ini juga, banyak model-model mampu milik yang dibangunkan dan dikilangkan oleh jenama-jenama antarabangsa di India dan Indonesia (kedua-dua negara ini tidak menganggotai WP29) tidak masuk ke pasaran Malaysia.

Dasar berkaitan prosedur VTA yang dikuatkuasakan oleh JPJ ini juga adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 66(1)(pp), Akta Pengangkutan Jalan 1987. Oleh itu, mana-mana model baharu hendaklah mempunyai satu pensijilan yang dikeluarkan di bawah prosedur VTA, sebelum ia layak menerima nombor pendaftaran dan juga disc cukai jalan bagi digunakan di atas jalan raya.

Jadi, bagaimana proses homologasi JPJ ini dijalankan? Proses homologasi ini dimulakan dengan permohonan yang dibuat oleh pengeluar sebelum satu-satu model baharu itu dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Sekiranya JPJ mengesan ada model yang telah dilancarkan mahupun telah diumumkan harga sebelum menerima kelulusan VTA ini, pengeluar berkenaan boleh dipanggil untuk memberikan keterangan.

Dalam permohonan yang dibuat, pengeluar perlu menyenaraikan kesemua sijil-sijil kelulusan untuk setiap komponen-komponen yang dipasang pada kenderaan berkenaan. Seperti yang disebut tadi, sijil-sijil tersebut bukan perkara mudah untuk diperolehi, ia perlulah diuji di makmal bebas dan disahkan oleh Negara Pejanji WP29.

Ketika sesi penerangan ini semalam, JPJ membawa ‘timbunan’ fail-fail sebenar yang dihantar oleh BMW Malaysia untuk proses homologasi VTA BMW iX berkenaan. Gambar untuk fail tersebut tidak boleh didedahkan, namun kami melihat sendiri bahawa setiap komponen dalam BMW iX tersebut sememangnya telah disahkan telah diuji dan menerima pensijilan yang telah ditetapkan.

Selepas semua dokumentasi tersebut disemak, model produksi sebenar BMW iX berkenaan perlu dihantar ke Bahagian Kejuruteraan JPJ untuk dilakukan pemeriksaan fizikal oleh pegawai-pegawai kejuruteraan automotif JPJ yang berpengalaman dan diiktiraf sebagai Jurutera Professional, Teknologis Professional, Juruteknik Proffesional serta pegawai yang mempunyai pengiktirafan profrssional lain yang dikeluarkan oleh badan-badan berkaitan sama ada pada peringkat domestik atau antarabangsa.

Menerusi pemeriksaan fizikal tersebut, pegawai-pegawai ini akan membuat pengesahan bahawa setiap komponen pada kereta sebenar tersebut adalah sama dengan yang tersenarai dalam dokumentasi yang telah dihantar sebelum itu. Anda tentu perasan dengan huruf ‘E’ besar bersama numerik di sebelahnya dan dibulatkan pelbagai komponen kereta anda yang boleh dilihat dengan jelas (nombor komponen/parts number biasanya diletak pada bahagian lebih tersorok), kemudian diikuti dengan nombor-nombor lain bukan?

Untuk pengetahuan anda kod yang dipanggil E-Marking tersebut memberitahu dari Negara Pejanji WP29 mana ia menerima pensijilan berkenaan (rujuk jadual di atas) – misalnya ia tertera kod ‘E1’, ia telah diuji di Jerman, dan angka-angka selepasnya merujuk kepada nombor-nombor pensijilan yang telah dikeluarkan dan direkodkan.

Selepas pemeriksaan fizikal ini lengkap, pegawai-pegawai JPJ terlibat melakukan pula ujian kelayakan untuk dipandu jalan raya. Ujian ini dilakukan di atas jalan raya awam tetapi di dalam keadaan terkawal bagi memastikan sistem-sistem seperti kawalan kestabilan elektronik, brek, dan juga sistem-sistem lain berfungsi dengan selamat. Ujian-ujian lain seperti ujian pencemaran alam sekitar (termasuk emisi udara, bunyi dan sebagainya) turut akan dibuat pada sesi ini menggunakan pelbagai kelengkapan bagi membaca parameter-parameter yang diperlukan.

Habis semua proses ini, kesemua hasil dan keputusan yang telah dibuat menerusi semakan serta ujian yang telah dibuat oleh JPJ akan dihantar kepada satu jawatankuasa khas yang digelar Jawatankuasa Kebangsaan untuk Kelulusan Jenis dan Homologasi.

Jawatankuasa tersebut akan menilai setiap permohonan VTA yang dibuat dan ia dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia dan dianggotai oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan seperti SIRIM, MIROS, MITI, MOT, KASTAM, PUSPAKOM, JAS, KPDNKK, MOSTI, Standards Malaysia dan juga Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Jika permohonan itu lulus, barulah sesebuah model itu menerima sijil VTA mereka dan kemudian boleh dilancarkan pada pasaran Malaysia secara rasmi. Menurut JPJ, keseluruhan proses ini (bermula dari permohonan dihantar oleh pengeluar sehingga menerima sijil VTA) biasanya akan mengambil masa selama 20 hari berkerja.

Kami juga sempat bertanya, bagaimana pula dengan kereta yang dibawa diimport secara persendirian ke Malaysia seperti unit-unit recond yang belum atau tidak dilancarkan di Malaysia secara rasmi? Menurut JPJ, proses permohonan VTA untuk kereta-kereta tersebut turut perlu dilakukan, dan ia perlu dipohon oleh pihak pengimport sendiri. Tetapi ia akan dibuat dengan kaedah sedikit berbeza. Walau bagaimanapun, apa perbezaan proses berkenaan tidak dijelaskan lebih lanjut oleh JPJ.

Menurut JPJ lagi, ada juga kenderaan yang tidak memerlukan VTA ketika di bawa masuk ke sini. Kenderaan-kenderaan tersebut adalah kenderaan yang dikategorikan dalam Kenderaan Mikromobiliti yang disifatkan sebagai “mana-mana kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia atau gabungan sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia, dan mempunyai kelajuan maksimum 50 km/j”.

Antara contoh kenderaan yang tergolong dalam Kenderaan Mikromobiliti ini termasuk moped elektrik berkelajuan tinggi sehingga 50 km/j, basikal elektrik, skuter elektrik berdiri dan sebagainya. “Tidak memerlukan VTA” ini bukan bermaksud ianya boleh dibeli dan digunakan di atas jalan raya, sebaliknya kenderaan-kenderaan tersebut tidak boleh didaftarkan dan menerima perlindungan insuran, atau dalam erti kata lain ia tidak sah digunakan di atas jalan raya awam.

Proses homologasi untuk mendapatkan sijil kelulusan VTA ini juga antara sebab mengapa anda akan disaman sekiranya melakukakan ubahsuai pada kenderaan masing-masing. Seperti yang telah disebutkan tadi, setiap komponen standard yang dibekalkan dari kilang telah pun disahkan oleh JPJ, berbanding komponen aftermarket yang tiada sebarang verifikasi dibuat sebelum dipadankan pada kereta anda – secara tidak langsung anda boleh ditahan atas kesalahan ubahsuai tanpa kebenaran.

Menerusi temubual kami bersama bekas Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif JPJ, Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib pada 2016, pemilik kenderaan yang ditahan atas kesalahan ubahsuai tanpa kebenaran tersebut akan menerima notis PG 1 dimana kereta berkenaan dilarang untuk berada diatas jalan raya selama sepuluh hari, dan dalam tempoh itu pemilik perlu men’standard’kan semula kenderaan mereka dan dihantar ke JPJ untuk diperiksa. Setelah JPJ berpuas hati, larangan tersebut akan ditarik balik. Jika pemilik gagal melakukan perkara berkenaan dalam tempoh masa yang diberikan, barulah JPJ akan mengeluarkan saman dengan jumlah RM300.

Dengan menyertai WP29 ini juga, JPJ dapat menguatkuasakan Peraturan UN di Malaysia bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan yang dijual disini adalah setara pada peringkat global. Menurut JPJ, 54 Peraturan UN telah pun dikuatkuasa pada 2012, dan kemudian ditambah pada 2015, 2017 dan 2020 menjadikan secara keseluruhan sebanyak 114 peraturan telah dikuatkuasa sehingga kini. Dengan penguatkuasaan Peraturan UN ini lah menjadikan model-model yang dipasarkan di Malaysia menerima perincian-perincian terkini yang telah ditetapkan dalam peraturan tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required