Nissan GT-R R34 dijual pada harga RM3.1 juta – Clubman Race Spec, enjin Nismo R3, perbatuan 0 km!

Nissan GT-R R34 dijual pada harga RM3.1 juta – Clubman Race Spec, enjin Nismo R3, perbatuan 0 km!

Tahun lalu sebuah Nissan Skyline GT-R R34 telah terjual pada harga RM2.3 juta di Jepun, menjadikan ia sebagai GT-R R34 paling mahal pernah terjual setakat ini. Tapi rekod berkenaan mungkin akan dipecahkan tidak lama lagi – sebuah pengedar kenderaan di Hong Kong iaitu Contempo Concept HK Motors baru sahaja mengiklankan sebuah GT-R R34 dengan harga HKD 5,180,000 atau sekitar RM3.1 juta!

Sudah tentu, ini bukan R34 dengan spesifikasi serta kondisi biasa-biasa – ia adalah model dari spesifikasi Clubman Race Spec yang dibina oleh Nismo Omori Factory, diberikan warna badan Midnight Purple III, serta dengan meter perbatuan yang masih mencatatkan 0 km! Malah unit yang dijual ini juga merupakan versi paling berkuasa untuk Clubman Race Spec yang diberikan enjin Nismo RB26DETT R3 (R-tune concept engine Spec 3).

Enjin berkenaan menggunakan blok RB26 spesifikasi N1 sama seperti enjin R2 Nismo , dipadankan dengan kit kelengkapakan R3 termasuk pengecas turbo, aci sesondol, kotak komputer enjin dan kit penyuntik bahan api, bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa 450 PS dan tork maksima 471 Nm.

Nissan GT-R R34 dijual pada harga RM3.1 juta – Clubman Race Spec, enjin Nismo R3, perbatuan 0 km!

Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual bersama kit klac plat berkembar Nismo, dan juga sistem pacuan semua roda Atessa ET-S Pro yang dipertingkat dengan LSD Nismo 1.5 Way pada gandar hadapan serta unit kawalan ET-S Nismo Z-Tune. Untuk suspensi pula, model ini menerima penyerap hentak boleh laras Ohlins DFV, bersama perincian lain seperti bar penstabil hadapan dan belakang Nismo.

Banyak lagi perincian sistem dan mekanikal Nismo dipadankan pada R34 Clubman Race Spec ini, antaranya unit intercooler, sitem ekzos, sistem kemasukan udara, cagak-cagak enjin dan kotak gear, set-set bushing suspensi dan pelbagai lagi. Ia juga menerima sistem brek lengkap dari Brembo pada bahagian hadapan dan belakang.

Secara standard, versi Clubman Race Spec ini diberikan penggayaan luaran dengan R34 Nismo Z-Tune. Ia termasuk bampar hadapan, fender hadapan kesemuanya diperbuat dari gentian karbon, bonet hadapan Nismo R-Tune, cangkuk tunda hadapan dan belakang Omori dan juga set rim Nismo LMGT4.

Bahagian dalaman R34 Clubman Race Spec ini juga menerima banyak perincian dari Nismo, antaranya roda stereng tiga jejari, tombol gear titanium GT, panel instrumen dengan bacaan kelajuan maksima 320 km/h, tempat duduk bucket, set karpet kaki dan pelbagai lagi. Imej yang disiarkan ini juga menunjukkan setiap komponen dalam kabin R34 ini dalam keadaan seperti baru keluar kilang!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required