Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah pun mengeluarkan data jualan kenderaan bagi Mei 2024, di mana sebanyak 68,665 unit kenderaan telah dihantar kepada pelanggan pada bulan tersebut. Ini mewakili peningkatan sebanyak 18% atau 10,674 unit, berbanding 57,991 unit yang terjual pada April 2024.
Di mana angka jualan pada Mei 2024 juga 9% lebih tinggi berbanding bulan yang sama pada 2023. Menurut MAA, peningkatan itu berpunca daripada hari bekerja yang lebih panjang pada bulan Mei serta prestasi kukuh oleh jenama nasional. Berkenaan dengan jumlah keseluruhan industri (TIV), sebanyak 328,901 kenderaan telah terjual pada lima bulan pertama tahun ini, iaitu 8% lebih tinggi bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.
Pengeluaran kenderaan juga menunjukkan tahap yang positif pada Mei 2024, dengan sejumlah 74,174 kenderaan telah dikeluarkan di kilang pemasangan. Ia menunjukkan peningkatan sekitar 30% berbanding yang dicatatkan pada April 2024 (56,895 unit), juga lebih 14% berbanding Mei 2023. Jumlah keseluruhan pengeluaran kenderaan sehingga akhir Mei 2024 mencecah 341,500 unit, naik sebanyak 12% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Untuk bulan Jun 2024, MAA menjangkakan rekod jualan akan lebih kurang sama dengan apa yang telah dicatatkan pada Mei tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.