Kementerian Pengangkutan (MOT) mendedahkan sebanyak 652 kes kemalangan membabitkan kenderaan berat direkodkan di seluruh negara pada suku pertama tahun ini. Menurut Timbalan Menteri MOT, Datuk Hasbi Habibollah, jumlah tersebut turut merangkumi 287 kes maut, 95 parah dan 270 cedera ringan, laporan Berita Harian.
Jelasnya, kes kemalangan ini berpunca daripada pelbagai faktor termasuk kecuaian pemandu yang mengantuk, memandu melebihi had laju dibenarkan, dan kenderaan membawa lebih muatan serta tidak diselenggara dengan baik.
Beliau turut berkata, bagi menangani isu ini, pelbagai tindakan dilaksanakan termasuklah menggiatkan aktiviti penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya dari segi peraturan had muatan kenderaan dan had laju bagi kenderaan berat.
“Selain mengoperasikan 53 stesen penguat kuasa di seluruh negara, JPJ turut dibekalkan dengan 75 unit alat timbang mudah alih bagi tujuan penguatkuasaan. Tahun lalu, sejumlah 45,015 notis saman dikeluar membabitkan kesalahan muatan bahaya, manakala hingga April tahun ini pula, sejumlah 9,214 notis saman dikeluarkan,” katanya .
Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai statistik dan punca kemalangan membabitkan kenderaan berat bagi suku pertama tahun ini.
Menjelaskan lanjut, Hasbi berkata, Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kerja Raya sedang dalam proses akhir membangunkan sistem ‘High Speed – Weigh in Motion’ (HS-WIM).
“Menerusi penggunaan sistem HS-WIM, aktiviti penguatkuasaan kenderaan berat boleh dilaksanakan secara masa sebenar atau automatik tanpa memerlukan kenderaan itu berhenti untuk ditimbang. Penggunaan sistem HS-WIM juga akan dapat mengurangkan kebergantungan pada jumlah tenaga manusia atau anggota penguat kuasa yang tinggi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, anggota akan boleh melaksanakan aktiviti penguatkuasaan di lokasi-lokasi lain yang tidak dipasang sistem HS-WIM.
“Sistem HS-WIM dijangka dapat memperluas capaian, meningkatkan pematuhan dan memperkukuh lagi keberkesanan penguatkuasaan ke atas peraturan had muatan kenderaan motor serta menjadi penyelesaian jangka panjang dalam menangani isu had muatan kenderaan berat,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.