Semalam telah berlangsung perhimpunan tahunan terbesar pemilik-pemilik Proton Wira iaitu WiraDay di Litar Antarabangsa Gong Badak, Kuala Terengganu. Apa yang menarik, perhimpunan yang telah masuk edisi ke-lima sepanjnag tujuh tahun penganjurannya dan dikenali sebagai WiraDay 5.0 berkenaan turut dihadiri oleh “Hero” dikalangan pemilik Wira iaitu pemandu rali kebangsaan, Karamjit Singh serta jentera rali Proton Wira 1.8 DOHC EXi “Wira Schumacher” milik pengasas Dream Street Restoration (DSR), Suriya Sankaran.
Sepanjang kariernya, nama Karamjit sememangnya sudah sinonim dengan Proton Wira kerana beliau telah berlumba di dalam negara dan peringkat global menggunakan Mitsubishi Lancer Evolution II dan Evolution III pasukan Proton PERT yang telah dihomologasikan sebagai Proton Wira 4WD Turbo oleh Mitsubishi Ralliart pada era 90’an.
Selain dari “Wira Evo” berkenaan, Karamjit turut pernah berlumba dengan sebuah jentera Proton Wira sebenar yang dibina oleh Proton PERT, disumbat dengan enjin 4G63T dan sistem pacuan semua roda dari Lancer Evolution. Dengan jentera yang dikenali dengan nombor pendaftaran BEJ5459 tersebut, Karamjit telah menjuarai Rally Ng Pilipinas untuk tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1995, 1996 dan 1997.
Jentera tersebut sebelum ini telah ditemui dilelong di Pickles Auction dan ia telah dibeli oleh seorang peminat fanatik Wira. Dan khas untuk WiraDay 5.0 ini, pemilik baharu BEJ5459 berkenaan telah membawa jentera ini ke acara itu untuk ditemukan semula dengan Karamjit Singh. Pemilik tersebut bercadang untuk merestorasi kembali Wira 4WD itu selepas berakhirnya WiraDay 5.0 ini.
Karamjit hadir ke acara ini bersama Suriya Sankaran, yang juga sebelum ini seorang pemandu rali dan pernah berkhidmat dengan pasukan Proton R3 sebelum menubuhkan DSR. Malah Proton Wira 1.8 EXi DOHC dengan livery perlumbaan Shell milik Suriya berkenaan turut dikenali sekian lama kerana ia pernah dipandu oleh juara Formula 1 tujuh-kali, Micheal Schumacher pada kelajuan 236 km/j.
Wira ‘tiang gol’ ini juga sebenarnya merupakan kereta rali sebenar yang digunakan oleh Suriya ketika berlumba dalam Kejohanan Rali Malaysia dari penghujung era 90’an hingga awal era Y2K. Dan tidak seperti kereta lumba lain yang khas dibina untuk berlumba, Suriya turut menggunakan Wira ini sebagai kereta hariannya ketika itu dengan set rollcage yang boleh dipasang dan dibuka semula dengan mudah.
Selepas tidak lagi berlumba, Wira ini kemudiannya dicat dengan warna putih dan terus digunakan setiap hari oleh Suriya. Dan khas untuk acara Art of Speed tahun lalu, Suriya mengambil keputusan untuk mengaplikasikan semula livery perlumbaan Shell tersebut dan mempamerkan Wira ini di reruai DSR dalam acara tersebut.
Selain dijemput sebagai VIP dalam WiraDay 5.0, Karamjit dan Suriya turut diberikan slot untuk sesi sembang santai untuk berkongsi pengalaman serta tips untuk menyertai rali, dan nasihat untuk meraka yang berminat untuk berlumba serta meningkatkan kemahiran memandu.
WiraDay 5.0 ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Asmadi bin Mohamad Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, dan turut diserikan dengan sesi tazkirah dan sembang santai bersama Uztaz Azhar Idrus. Acara ini telah merekodkan pendaftaran lebih dari 5,400 pemilik Proton Wira dari seluruh negara, dan ia turut menawarkan hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah Mitsubishi Lancer Evolution III dan juga sebuah Proton Wira yang sudah direstorasi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.